Monday, June 28, 2010

AKU BERGULING
DI DALAM KABUT

aku berguling di dalam kabut
angin terus mendesah
tubuhku dingin dalam gementar
kuraba bibir,darahlah
yang tiba-tiba mengalir

kabus dinihari
seakan kapas awan
menutup pandangan
aku selamanya gagal
menyatukan diri dengan kesunyian
seperti hikayat lama,aku keluar
ke negeri jauh
menyamarkan diri

aku sebenarnya gagal
menakluki mimpi
hanya godaan manis
seperti dongeng purba
aku tertusuk luka.

Sunday, June 27, 2010

ABU JAHAL

"Abu Jahal itu rupa-rupanya ada di sepanjang zaman. Bukan zaman Nabi SAW sahaja," ucap kawan saya satu malam.
"Apa kena dengan dia? Dia tu musuh Nabi SAW sejak zaman Baginda SAW hidup dan selepas wafatnya," tambah saya.
"Kat taman perumahan aku pun ada Abu Jahal!"
"Dia hidup balik ke?"
"Abu Jahal baru, bukan yang lama. Kau bayangkan dia tutup jalan utama masuk ke taman perumahan kami yang lebih 200 penghuninya. Ketika ahli kariah berlumba ke masjid tengah hari Jumaat itu, para pekerja menutup jalan dan memasang khemah untuk majlis perkahwinan anaknya. Kereta dari rumah-rumah jirannya yang terdekat di sepanjang jalan itu terkepung di dalam garaj selama 3 hari. Ini benar-benar Abu Jahal, seingat aku tak ada, tak ada orang lain di taman tempat aku tinggal yang pernah tutup jalan utama seperti itu. Ini benar-benar Abu Jahal. Tak ada orang yang aku temui kat taman aku yang tidak menyumpah dan memaki-makinya."
"Maafkanlah dia." kata saya.
"Aku dah maafkan. Tapi aku tak tahu dengan lebih 200 penghuni yang lain. Khabarnya tak sampai seminggu perkahwinan anaknya, pengantin baru itu telah bercerai."
"MasyaAllah!".

Tuesday, June 22, 2010

ORANG AWAM YANG KELIRU

Tiga minggu lepas saya terjumpa sebuah buku tulisan Prof. Dr. Hamka dengan judul "Sebuah Polemik Agama TEGURAN Suci & Jujur Terhadap MUFTI JOHOR" (Pustaka Dini:2009). Beli dan membacanya beberapa ketika. Saya petik mukadimahnya:

"Ama ba'du, buku ini saya tulis sekali-kali bukanlah hendak mencari pertentangan perlawanan dan jauh daripada maksud permusuhan. Hanya semata-mata hendak memberi peringatan atas beberapa kesalahan yang timbul daripada shahibul fadhillah was samahah as-Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad, mufti negeri Johor dalam keterangan beliau membantah kaum muda.

Beliau adalah merdeka buat membantah dan menolak fahaman dalam agama Islam yang tiada beliau setujui dan berlainan faham terhadap masalah agama kalau kita pandai membawakannya menjadi rahmat bagi umat Islam, tetapi di dalam pertukaran fikiran itu jika timbul kecurangan dan kebohongan maka berlainan pendapat itu akan membawa mudarat dan fitnah terhadap umat. Padahal bukanlah itu yang kita kehendaki."

Orang awam yang baru-baru ingin berjinak dengan agama-Nya menjadi keliru dengan permasalahan kaum muda dengan kaum tua atau kini lebih dikenali sebagai Wahabbi dengan Ahli Sunnah Waljamaah ini. Tetapi saya tidaklah terkeliru. Membaca buku ini saya segera teringatkan "MEMOIR ARENA WATI - Endang Gulingku" (UKM: 1991). Arena Wati seorang Sasterawan Negara. Saya petik tulisan Arena Wati di dalam memoirnya itu pada halaman 442:

"Ketika Buya Hamka tiba di Pustaka Antara, datanglah Harun Hassan, Othman Abdullah, Hassan Haji Muhammad dan Nik Hassan (dari Jabatan Perdana Menteri). Beliau menduduki kerusi Encik Aziz. Hati saya terlalu sakit melihat sikap Encik Aziz yang begitu tenang sahaja. Maka saya majulah ke hadapan:
"Buya sudah bukan buya lagi -Hamka! Betulkah Buya cuma terima kain pelekat dan jam Rolex dari Pustaka Antara?"

Beliau pernah tinggal lama di Makasar, dan beliau arif tentang sikap orang Makasar dalam hal-hal maruah dan kebenaran, dan sekarang dia sedar bahawa di hadapannya ada seorang anak Makasar, dan berkata tegas kepadanya. Buya Hamka tunduk sahaja.

Saya melihatnya hanya seperti seekor semut. Saya sanjung dia sebagai ulama. Saya hormati dia sebagai orang tua. Saya kagumi dia sebagai pengarang. Tetapi saya jijik melihatnya sebagai pembohong. Dia sudah menghasut orang-orang Minang di sini."

Kali ini saya bukan lagi orang awam yang keliru. Saya benar-benar keliru. Kepada siapakah agaknya saya ingin bertanya tentang kekeliruan saya? Kerana ketiga-tiga tokoh besar yang terlibat dalam petikan ini, semuanya telah berada di alam yang lain. Peminat buku yang belum membacanya harus membaca kedua-dua buku ini.

Friday, June 11, 2010

KAWAN-KAWAN BERCUTI

Dah dua malam terakhir, kesemua kawan penulis saya gagal dihubungi. Panggilan dan sms semuanya tak berjawab. Mungkin semuanya bercuti kat luar negara mengambil sempena cuti sekolah dua minggu. Makluman royalti dah banyak, tak habis makan. Lut tentunya balik ke Ulu Bakai!

Dan dua malam keluar minum dengan guru tingkatan 6 saya dulu, penyair Rosli K.Matari. Ada banyak cerita menarik, fasal balak, pohon jarak dan gaharu. Paling penting tuntulah fasal Puteri Saadong yang baru ditabalkan di PCB itu.

Kepada kawan-kawan yang sedang bercuti di Pengkalan Kubur, Sungai Makmur, Cherating, Ulu Bakai, Chemor dan di mana-mana, selamat bercuti! Kalau bercuti kat Pengkalan Kubur atau Padang Besar tak payahlah beli jersi bola yang tak ori. Gatal dan melekit bila pakai. Beli yang orilah, royalti kan ada.

Thursday, June 10, 2010

BUAYA DAN SEMINAR

Apabila sesuatu seminar itu dianjurkan, apakah ia bertujuan untuk mencari jalan jernih ke arah pencerahan atau pun memang untuk mencarikhancurkan masa depan bidang tersebut? Pertanyaan sebegitu seringkali bermain dalam benak akal saya menyebabkan, saya memilih untuk tidak hadir di seminar yang sebegitu. Kalaulah setakat sarjana yang 'suam-suam kuku' yang 'julung berkeris' ingin berpencak di hadapan anak-anak sekolah yang masih belum mampu membezakan makyung dengan main teri, tidak usahlah saya membazirkan masa saya. Sarjana kolaj yang tidak pernah sedarkan keupayaan diri ini tumbuh subur, sesubur jalaran kangkung profesor yang menjalar di air-air limbah di belakang dapur.

Saya pernah membaca dua buah buku yang berjudul "Sejarah Teater Indonesia" oleh Prof. Jakob Sumardjo dan siri Ensklipedia - Indonesian Heritage "Seni Pertunjukan" yang disusun dan diketuai oleh Prof. Edi Sedyawati dengan 30 orang pakar bidang seni persembahan dari Indonesia. Kedua-dua buku tersebut mencatatkan bahawa makyung adalah teater tradisional dari Semenanjung Malaya. Saya petik dari ensiklipedia tersebut di bawah bab Mak Yong dan Randai: "Mak yong dan randai merupakan dua bentuk teater tradisional utama di Pulau Sumatera dan Kepulauan Riau. Mak yong merupakan gaya teater tradisional Melayu yang lahir di Semenanjung Malaya sekitar abad ke-17 dan masuk ke Kepulauan Riau sekitar abad ke-19. Randai adalah drama tari tutur tradisional Sumatera Barat di wilayah Minangkabau."(Edisi Bahasa Indonesia, Buku Antar Bangsa, 2002:100). Manakala edisi Bahasa Inggerisnya oleh Didier Milles, 1998 (untuk yang tak pandai berbahasa Melayu lagi). Ini merupakan kenyataan dan kesepakatan oleh 31 orang sarjana, dan aktivis kesenian di Indonesia.

Sekiranya ada dakwaan mengatakan makyung di Malaysia ini berasal dari Riau atau dari Serdang Muda, umpamanya silakanlah. Ia tidak merubah ada-apa dan tidak memberikan 'kudis gatal' pun kepada kesenian tersebut. Kalau belum baca dua buah buku tersebut, saya boleh pinjamkan. Ia tidak merubah struktur dan bentuk makyung. Saya selalu terkenangkan analogi oleh SN S. Othman Kelantan, orang akan takut kepada singa kerana kehebatannya, tetapi orang tidak takut kepada keldai yang memakai topeng singa.

Di air yang tenang, jangan disangka tiada buaya. Di lubuk yang dalam tentunya terdapat banyak buaya. Buaya di lubuk yang dalam kebiasaannya berpuaka, besar, hebat, paling tidak pun, katakanlah macam Bujang Senang. Saya pernah melihat buaya di Zoo Negara di Ulu Kelang, yang beberapa minit dari rumah saya. Dan pernah juga melihat buaya di Sungai Kuantan dan Kuala Bera ketika berakit dari Sungai Jelai sehingga ke Pekan, Pahang.

Seekor buaya yang buta kedua-dua belah matanya, dan kudung pula ekornya tetap akan timbul menampakkan sirip belakangnya di air yang tohor. Tentulah orang yang paling tak berguna sekali, orang yang membawa buaya buta dan kudung ini untuk tontonan masyarakatnya.

Wednesday, June 9, 2010

Seminar

Seminar dan forum tentang apa pun tidak pernah menyelesaikan masalah dalam bidang yang dibicarakan. Pembentang akan memakaikan baju palsunya, dan menyogok khalayak dengan segala macam teori yang tidak masuk akal. Akhirnya mauduk yang dibincangkan tinggal berhabuk. Seperti si buta yang menafsir tentang seekor gajah. Atau paling akhir terbitlah sebuah buku yang mengumpulkan kesemua kertas kerja tersebut, termasuklah kertas kerja yang ditulis 2 atau 3 halaman sahaja, sebab saya sarjana yang sibuk.

Kalau di organisasi daun lontar, saya pernah membentangkan kertas saya di Bengkel Tradisi Lisan di Genting Highland pada tahun 2000, dan buku hasil bengkel tersebut diterbitkan pada tahun 2007. Saya tidak pernah menerima naskhah untuk penulis, apalagi penyata royaltinya? Royalti tak kisahlah sangat sebab aset lukisan dah banyak. 2 juta. (Ini dipetik daripada kenyataan SM Zakir).

Paling kelakar, penganjur yang menganjurkan seminar sebegitu buta mata hatinya tentang siapakah yang paling wajar dan layak untuk ditampilkan. Maka teraba-rabalah si buta, merapu-rapulah dia di hadapan khalayak yang 'pekak badak' pula. Maka jadilah 'sulung bermain angin' untuk 'sulur bermain angin' dan 'sawah mengorak lingkaran' untuk 'sawa mengorak lingkaran.' Tetapi biarkan 'si luncai terjun dengan labu-labunya'. Biarkan! Biarkan!

ps: Selamat menunaikan umrah untuk adikanda saya, Rosnan Abdul Rahman. Bila pulang ke tanah air, usahlah berlakon dalam filem yang seumpama filem-filem sebelum ini. Yang bijaksana itu biasanya selalu tersembunyi dan sampah-sarap itu tempatnya di dalam longkang dan parit. Pilihlah untuk menjadi bijaksana!
Melayan Perasaan

Malam tadi melayan perasan dengan menonton Keroncong Kasih di Dewan Filharmonik. Teman saya tentulah SM Zakir dan Haji Shamsudin al-Johori. Kalau saya membuat pilihan seat atau kalau diberikan seat, saya memilih view yang terbaik untuk sahabat-sahabat saya. Kalau tidak saya memilih untuk tidak hadir.
Nak ajak Bung Saleeh, dia di luar negara mencari sejarah leluhurnya. Lutfi, dia ahli falsafah dan tak sempat nak berhibur. Duan, orang baik yang pulang ke rumah ibu mertuaku memenuhi cuti sekolah dan puluhan kenduri kahwin. Luqman Quek tak angkat telefon, sibuk kayuh basikalnya keliling Sungai Buluh sebab dia ada 4 buah basikal. Semuanya yang mahal-mahal.
Selepas menonton, kami mencari char kuey teow (entah betul ke ejaannya?) yang kononnya terbaik di KL. SM Zakir dapat 15 ekor udang, bayangkan!
Malam ini tak ada ulasan. Seronok atau tak seronok, terhibur atau tak terhibur itu hal yang lain. Hanya yang ada malam ini debat dan fatwa-fatwa sastera Malaysia yang demam. Orang selalu menyalahkan panel Hadiah Nobel Dunia di Sweden dengan segala macam lobi dan tak layaknya panel yang tidak membaca. Apa yang berlaku di negara sendiri pun sebenarnya tak banyak berbeza. Ada yang tak layak dapat, tetapi telahpun diberikan, dan ada yang tak layak jadi panel, dipanelkan. Ada yang melobi kerana berkeinginan. Dan paling tolol dalam sejarah sastera Malaysia, harus menyediakan biodata sendiri dan mencalonkan diri sendiri. Patut dilelong sahajalah institusi yang bertangguhjawab itu di uptown atau di mana-mana pasar malam. (Ini kata-kata saya.) SM Zakir dan Haji Sham tak kata, dia orang dengar. Kawan saya ni orang baik-baik.
Jam 1 pagi saya memandu balik ke rumah, dan menjelang pagi begini tak sampai lima belas minit, saya sudah sampai di rumah.
Tak sempat nak pasang cd Abeda Parveen, Nusrat Pateh Ali Khan pun atau Maria Callas.