Friday, April 17, 2009



















Batu 12, Sungai Gombak, 35 x 50 cat air : 2007

Wednesday, April 15, 2009

Main Pondok-Pondok

Setiap kali kembali ke kampung halaman, saya seperti kembali ke masa kecil saya. Isam Kak Nik Nab, Jeman Alik Baruh, Ajip Pekak Badak, Seli Sepera, Matye Pakya, Nasir Pakda Him, Matnor Butir Nako, Mail Wak Lah, Yudin Pak Mat, Sehimi Kelubi dan macam-macam gelaran yang kami ada. Terjun sungai, bidas burung, jebak puyuh, racip tekukur, timba baruh, tengok wayang kulit, dan macam-macamlah yang kami; budak-budak buat. Kami tak dok tv dan panggung wayang gambar. Itu dulu-dululah. Tapi sekarang dah lain dah. Lain sangat. Apabila balik ke kampung setiap dua minggu sekali, saya duduklah di depan tv. Kali ini saya menonton orang-orang sedang ‘Main Pondok-Pondok’ kat tv di rumah ayah saya. Saya kembali ke masa lampau saya, zaman budak-budak. Ajip Pekak Badak kami lantik jadi Tok Ketua. Yudin Pak Mat jadi Penolong Ketua. Isam Kak Nik Nab yang mulut rabit teradak keris jadi Ketua Pengawal Kampung, Sehimi Kelubi, Jeman Alik Baruh, Matye Pakya dan lain-lainnya semua ada pangkat. Seronok juga rupa-rupanya apabila melihat orang ‘Main Pondok-Pondok’. Saya terkejut, bila anak saudara saya, Ikmal yang Darjah 3 itu panggil, “Ayah Ngah, Tuk Wan tunggu jadi imam Solat Maghrib!” “Ikmal, tadi siapa yang main pondok-pondok?” Dia terpinga-pinga dengan soalan saya. Dan anak saudara saya itu tentunya tak faham. Dan tak akan faham.

Monday, April 13, 2009

Pengkhianat Itu Kembali Lagi

Apa nak kata dah kerana pengkhianat itu telah kembali lagi. Pengkhianat itu ditakdirkan Tuhan bermukim di kampung kami beberapa tahun yang lalu. Kemudian dia berpindah, tak lama sekitar setahun. Kini pengkhianat itu kembali lagi ke kampung kami. Banyaklah hal yang dikhianatinya di kampung kami. Kampung kami, kampung kecil, tetapi pengkhianat itu telah lebih mengecilkannya. Ditukarkan nama sekolah di kampung kami menjadi sekolah yang beraurakan namanya. Dinobatkan tokoh-tokoh di kampung kami yang tak sepatutnya mendapat gelar, tetapi diberikannya juga. Selama setahun ketiadaannya di kampung kami, khabarnya dia telah menjual sebuah pulau milik kami. Apa nak kata dah, pengkhianat itu telah kembali lagi. Moga-moga Allah SWT selamatkan kami, warga yang tidak berupaya.

Wednesday, April 8, 2009

Aspirasi 09

Malam tadi saya bersama Ahmad Marzuki Abu Hassan, dan Muhd. Termizie Mokhtar menghadiri pembukaan pameran Aspirasi 09 anjuran Galeri Tenaga dan Galeri Arusidea di Wisma TNB, Petaling Jaya. Pelukis-pelukis yang terlibat, iaitu Johan Marjonid, Din Omar, Zaim Durulaman, Yusof Ghani, Awang Damit, Zaharuddin Sarbini, Suzlee Ibrahim dan Fauzin Mustafa. Harga lukisan yang paling murah RM3,600 dan yang paling mahal RM150,000. Dan saya tentunya tidak mampu untuk membeli meski pun sebuah. Itulah yang saya bisikan kepada pelukis Ise dan Faizal Sidek. Cukuplah dengan datang melihat-lihat akan permainan warna yang manis-manis belaka.

Tuesday, April 7, 2009

Siri Wawancara

Apabila dianggap sebagai penyair, konon-kononnya, saya kerapkali menerima panggilan mahasiswa universiti awam tempatan, sama ada yang buat BA, MA, mahupun PhD. Biasanya dengan apologi dan maaf mereka kerana masa yang terhad tetapi penting ingin menemui. Ada yang dengan teriak tangis pun. Dan saya selalunya jarang menghampakan para mahasiawa ini. Ada yang datang menemui saya di pejabat, ada yang nak jumpa kat DBP, kat Pena, kat warung bucu DBP, kedai mamak, di KLCC dan macam-macam tempat. Ada yang meminjamkan buku-buku saya dan tidak mengembalikannya, dan tidak mengangkat telefon saya. Sms saya supaya dipulangkan kembali bahan-bahan yang dipinjam juga tidak berjawab. Bahkan, ada yang datang untuk menemuramah saya, tetapi tidak pernah sebuah pun buku puisi saya dibacanya.

Friday, April 3, 2009

Pujian-pujian

Saya menemuinya pada satu malam hari (menjelang pagi sebenarnya) di Sunway Batu Caves. Ketika menerima panggilannya, jam sudah satu pagi itu, dia sudah berada di sana menunggu saya. Dia beria benar ingin menemui saya. Saya jemputnya ke rumah, tetapi dia menolaknya kerana tidak ingin menyusahkan. Saya keluar, dan sampai di sana tak sampai lima minit dari rumah saya. Saya menyalaminya dan dia memeluk saya. Dia jemput dan saya duduk.
“Tuan, nampak sugul!” soal saya.
“Terima kasih kerana boleh membaca wajah saya.”
“Tuan sakit?”
“Tidak. Tak sakit. Alhamdulillah, sihat. Cuma jiwa saya tercela dan hitam apabila ramai yang memuji-muji, kerana saya amat takut akan segala puji-pujian itu. Puji-pujian hanya berhak diberikan kepada Dia, bukannya kepada hamba –hina dan daif seperti saya. Tuan tulislah di blog tuan tentang pertemuan ini, tetapi usahlah disebut-sebut akan nama saya.”
Saya memahaminya.

Sakit

Dalam pertemuan jam satu pagi itu, tak banyak percakapan sebenarnya antara kami berdua.
“Bila sampai KL?”
“Sekejap tadi. Dan akan berangkat balik selepas pertemuan ini.”
“Iya. Sekejapnya?”
“Saya ke mari hanya kerana ingin melihat tuan.”
“Melihat saya?” soal saya.
“Saya mendapat tahu, tuan sakit.”
“Ok. Tak sakit. Bulan lepas ada la. Tak serius pun. Keracunan makanan, lima hari juga.”
“Tak serius apa, lima hari keracunan makanan? Apa yang enta makan?”
“Payau, ketam goreng dan udang goreng…masin…kat Semporna.”
“Patut la tuan sakit, tuan telah termakan apa yang bukan hak tuan.”
“Bukan hak saya?”
“Bukan hak tuan…biarlah ia keluar semuanya. Alhamdulliah, tuan disayangi sebab itu dikeluarkan semuanya apa yang telah tuan makan.”
Saya tercegang. Selepas percakapan pendek itu, dia bermohon diri untuk balik ke Kelantan.
“Bila saya teringatkan tuan, saya akan datang, meskipun hanya beberapa minit. Dan kalau tuan sesekali kelapangan, ziarahlah saya. Kita bersahabat dunia dan akhirat.” Saya termenung hingga ke pagi.

Busuk

Sahabat saya bercerita tentang kawannya, sepasang suami isteri yang berpelajaran tinggi, tetapi memanggil anaknya dengan panggilan, “Busuk! Busuk! Busuk!” Sedangkan ayah ibu itu telah memberikan namanya di surat beranak dengan nama yang baik. Lalu panggilan itu berulang-ulang untuk anaknya. Berulang-ulang dilafazkan. Dan ternyata akhirnya, doa ibu dan ayah itu amat mustajab. Lalu termakbullah doanya. Anaknya benar-benar berbau busuk. Setelah dimandi, disabun dan disembur dengan pelbagai pewangi, anaknya tetap busuk. Berhari-hari disemburkan dengan pewangi, tetapi anaknya tetap juga busuk. Sesal tiada sudahlah sepasang suami isteri itu kerana mulut mereka berdua. Datanglah suami isteri tersebut menemui ustaz untuk menyatakan musibah yang sedang mereka hadapi. Kata ustaz, “Doa ibu untuk anaknya adalah amat mustajab. Ana tak dapat berbuat apa-apa, tuan/puan berdua bermohonlah kepada-Nya agar anak tuan/puan itu kembali sebagaimana asalnya.”

Thursday, April 2, 2009

Puisi dan Saya

Keseluruhan puisi saya adalah mewakili diri saya. Segala apa yang saya suka, saya marah, saya benci, saya sayang dan apa-apa yang berkaitan dengan perasaan, penglihatan dan renungan semuanya bermula dari dalam diri saya sebagai penyair.
Jadi puisi saya adalah saya.

Aku tak mahu terhutang darah

Satu Jumaat kami minum di Ampang Point. Kami tak lama kenal, tetapi cepat akrab. Sebelum ini saya minum dengannya dan beberapa kawan yang lain. Dan sudah tentu, saya tidak banyak bercakap, tetapi lebih banyak mendengar. Sahabat saya ini tak pernah minum sepanjang kami minum, kecuali meneguk botol mineral yang dibawanya. Dan hari itu di jelaskan kenapa dia tak pernah minum.

“Kau pernah tengok aku minum bersama kawan-kawan yang lain?”
“Tak. Saya nampak abang bawa botol mineral.”
“Kau tahu, kenapa?”
“Tak.”


“Aku tak mahu terhutang darah. Bila aku minum atau makan belanjanya, aku terhutang darah. Dan aku tidak mungkin menegur dan menyebut akan kelemahannya. Hari ini aku minum sebab kau yang belanja.” Saya diam mengangguk. Kepada semua kawan-kawan jauh dan dekatku, halalkanlah segala makan minum yang pernah tuan puan belanjakan sebelum ini – dunia dan akhirat. Amin.

RM1.50 yang menganggu


Bulan lepas saya beli suratkhbar di tepi sebuah restoran. Bayar, ambil, bayar dan belah. Bila sampai ke tempat yang dituju, rupa-rupanya saya terambil 2 akhbar yang sama. Jadi terhutanglah saya RM1.50. hutang itu berhari-hari menggangu saya. Dan pagi tadi saya selesaikan hutang tersebut dengan membeli selembar akhbar baru, tetapi membayarnya dengan harga RM3.00.
“1.50 sen ni hutang saya, saya bayar kerana terambil dua surat khabar anda bulan lepas,” kata saya.
“You baik. Ada ramai orang datang makan sini, wang tak dak. Kalau you tak bayar pun, I tak tahu.”
“Betul. Tetapi Allah saya tahu.” Dia terdiam. Dan saya tinggalkan kaunter restoran India dekat Sentul dengan lega kerana telah lesaikan 1.50 itu.