Thursday, February 12, 2009

Kematian

Kematian adalah sunatullah. Kerana setiap yang hidup wajib mati. Dunia teater kehilangan Datuk Syed Alwi, dan dunia sastera kehilangan Arenawati. Saya kehilangan dua teman baik, Haji Sazalee Hj. Yaacob dan Samoza (Sabri Mohd. Zain) dalam waktu yang terdekat. Semuanya itu adalah peringatan untuk diri supaya sentiasa berawas, bahawa diri kamu juga akan dijemput tanpa memberikan sebarang isyarat.

Malam kelmarin kami kehilangan bapa saudara yang dipanggil pulang di Alor Setar setelah menziarahi saudaranya yang sedang sakit. Haji Abdul Manaf Mat atau kami memanggilnya Pak Teh, seorang peneroka dan ushawan yang berjaya di Feda Jengka 5. Setiap kali kami menziarahinya di Jengka, dia dengan bangganya memberitahu jiran-jirannya, “Ini anak menakan kami!” Al-fatihah.

Tong Sampah

Kisah seorang mak cik yang berasa dirinya hebat. Dia nak mengarah, dia minta draf skrip 1, 2 dan 3, nak study. Dan soal lagi cerita itu ditulis dari sudut mana?. Aku boleh jawab dan boleh tidak untuk menjawabnya. Apa yang kau tau pasal skrip? Kalaulah Uwei tahu, tentu dia stopkan cerita ini sebelum saya menulisnya. Ini kisah tong sampah sajalah.

Wednesday, February 11, 2009

Dua Kumpulan Puisi Palestin

Terdapat dua kumpulan puisi yang ditulis untuk Palestin sebagai tanda prihatin yang mendalam terhadap penderitaan dan kesengsaraan yang mereka alami. Sebuahnya “Genting Gaza, Gentingnya Genting” (Pena dan Inska: 2009) diselenggarakan oleh Shamsudin Othman dan SM Zakir dan sebuah lagi “Selamatkan Anak-Anak Palestin” (DBP: 2009) diselenggarakan oleh Salmiah Ismail dan Zaiton Ajmain. Selamat membaca.


Tuesday, February 10, 2009

Prison Diary

Buku puisi Ho Chi Minh ini sebenarnya sudah lama saya ingin dapatkan. Tetapi tak ketemui. Sewaktu ke Saigon (Ho Chi Minh City) tahun 2007, saya cuba mencarinya, tetapi tak ketemui. Cuma saya temui, orang di sana yang menegur saya dalam dialek Kelantan. Aneh selepas dua tahun kemudian, saya menemuinya di Kuala Lumpur. Prison Diary

Thy body is in jail.
But thy spirit, never.
For the great cause to prevail,
Let thy spirit soar, higher!




Antologia De Peoticas

Kumpulan puisi Inonesia, Portugal, Malaysia dalam dwi bahasa Indonesia/Melayu dan Portugal. Terdapat karya 50 orang penyair Portugal, 51 orang penyair Indonesia dan 16 orang penyair Malaysia. Penyair Indonesia yang karyanya terdapat di dalam buku ini antara lain Hamzah Fansuri, Raja Ali Haji, Amir Hamzah, Chairil Anwar, Sitor Situmorang, Subagio Sastrowardojo, Ramadhan KH, Teoti Heraty Noerhadi, Taufiq Ismail, Rendra, Sapardi Djoko Damono, D. zawawi Imron, Abdul Hadi WM, Acep Zamzam Noor dan ramai lagi. 16 orang penyair Malaysia, iaitu A. Samad Said, Usman Awang, Kemala, Muhammad Haji Salleh, Latiff Mohidin, Abdul Ghafar Ibrahim,Siti Zainon Ismail, Moechtar Awang, Lim Swee Tin, Kassim Ahmad, Zaen Kasturi, Marsli NO, Hasyuda Abadi dan Rahimidin Zahari. Seorang lagi, komputer saya hampir terpadam apabila ingin menuliskan namanya. Puisi saya, “Rumput Bumi”:







Friday, February 6, 2009

Collector

Collector itu dihubungkan dengan pemilik koleksi barangan tertentu. Biasanya yang berharga, yang aneh-aneh dan yang antik-antik. Di Malaysia, collector karya seni dianggap sebagai orang elit. Hanya orang elit yang memiliki kekayaan yang mampu membeli karya-karya seni yang mahal. Di Malaysia pun ramai collector karya seni. Umpamanya pameran ‘Koleksi Saya’ Rahime Harun sedang berlangsung di BSLN. Dalam kalangan collector, berebut-rebut untuk memiliki karya terbaik dari seniman pilihan mereka. Paling sukar untuk menentukan siapakah collector terbaik selagi keseluruhan karya yang berada dalam koleksinya itu diketahui oleh pengkritik seni dan khalayak seni. Mana tahu collector yang tidak dikenali tiba-tiba dalam simpanannya terselit beberapa karya terbaik oleh pelukis terbaik negaranya. Di Inodnesia, koleksi bekas Presiden Sukarno itu lebih banyak daripada koleksi BSLN. Bahkan koleksi Sasterawan Pak Ajip Rosidi dianggap antara yang terbaik di Indonesia. Jadi, tak hairanlah kita kalau collector yang dianggap hebat dan mengumpul lebih 30 karya seseorang pelukis, tetapi tidak memiliki karya pelukis-pelukis terbaik Malaysia seperti Latiff Mohidin, Ibrahim Hussain dan Syed Ahmad Jamal itu sebagai koleksi terbaik? Sahabat saya, Nur Hanim, tolong jawab!

Thursday, February 5, 2009

Mahasiswi

Seorang mahasiswi ingin menemui saya. Saya bertanya untuk apa, “untuk menulis tugasan atau siapkan tesis tentang puisi?” Jawapnya, “tidak”. Kalau tidak, tak payahlah jumpa saya. “Kena jumpa jugak, abang…”. Saya terus memotong, “Pak Cik”. “Saya ada masalah peribadi,” katanya. “Iya, semua orang ada masalah peribadi,” potong saya. “Saya nak bincang dengan abang..”. “Stop..Pak Cik” kata saya. Saya bukan kaunselor dan tak ada bakat nak menasihat awak tentang apa-apa pun. Suaranya pause beberapa minit di hujung telefon. “Saya sedang jatuh cinta dengan seorang penyair,” sambungnya. “Baguslah, anda sedang menuju dewasa,” tambah saya. “Saya nak tahu lebih lanjut tentang dia. Dia kata Pak Cik kawan baik dia.” “Semua penyair kat Malaysia termasuk Indonesia, semuanya kawan baik saya.”

Saya mula marah. “Siapa mamak tu? Kawan saya, pensyarah yang dah haji tu?”. “Bukan!”. “Kawan saya yang macam general tu?”. “Tidak!”. “Kawan saya yang setiap bulan ke luar negara tu?”. “No!”. “Kawan saya yang dah pencen?”. “Bukan!”. “Kawan saya yang pengerusi masjid?”. “Juga bukan!”. “Siapa mamak tu?” Saya tempik kuat-kuat. Saya tutup telefon. Padan muda dia. Dan saya sebenarnya tahu siapakah mamak yang mengaku kawan saya itu….

Wednesday, February 4, 2009

Buku

Saya memandu, dan membayar tol sebanyak RM49.80 dan tangki minyak diisi sebanyak RM60.00 untuk membeli sebuah buku yang berharga RM200.00. Beberapa hari sebelum ke sana, saya telefon, juru cakap memaklumkan harganya RM100.00 sahaja. Saya beli dua buah, sebuahnya kerana pesanan seorang sahabat saya. Buku dalam bahasa Inggeris itu setebal 244/245. Saya baca 40 minit dan selesailah.(Walaupun tidak pernah sehari ke sekolah jenis kebangsaan dan tidak dibesarkan di Damansara atau PJ!). Bukunya cantik, dan lay out juga bagus. Kertas kualiti dengan jilid kulit keras, tetapi isinya… Kebetulan bidang yang ditulis itu bidang yang saya tekuninya selama 7 tahun. Apalagi muntahlah saya. “Anak, kalau lain kali nak tulis buku tentang bidang itu, jumpalah pak cik ni, ya!”.

Gatal Tangan

Lebih sepuluh tahun dulu saya menulis esei pendek di sebuah akhbar arus perdana tentang buku tebal yang isinya nipis. Entahlah tangan gatal sangat barangkali ketika itu. Apalagi, saya tidak ditegur oleh penulis tersebut sehingga ke hari ini, walau pun saya tidak menyebut namanya dan judul bukunya. Sensitifnya dia, dalam hati saya. Beberapa minggu lalu, pengarah Mior Hashim Manap membawa dua jilid adaptasi drama tv untuk 40 episod dari buku tebal tersebut. Dia beria-ria benar minta saya bacakan. Saya tersenyum menerima dua jilid tebal manuskrip yang diserahkan Mior kepada saya. Sampai hari ini saya masih terdiam.

Keldai

Keldai mengingatkan saya kepada banyak cerita Timur Tengah. Luqman Hakim dan anaknya. Nasruddin Hoja dan lain-lain kisah. Satu hari seorang kawan bercerita tentang bukunya yang banyak bertimbun sehinggakan dalam almari pakaian, peti ais dan bawah katil dipenuhi buku. Saya bertanya, “Berapa buah yang sudah you baca?” Jawapnya, “Baru beberapa buah.” Saya tanya lagi, “Apa yang kau dapat daripada buku-buku itu?”. Dia diam. Saya merenung ke dalam matanya. “Anak, jangan jadi keldai yang memikul kitab di tengah-tengah gurun pasir tetapi berotak kosong. Anak balik ke rumah dan bacalah buku-buku itu, kemudian datanglah jumpa pak cik semula!”

Tuesday, February 3, 2009

Mahal

Ketika saudaraku di Palestin dihentam kekejaman Yahudi laknatullah, aku dihidangkan dengan sepinggan nasi yang berharga RM700.00. Ah! Mahal sekali apa yang kumakan malam ini ya Allah. Aku tiba-tiba kenyang sebelum sempat mencicipi makanan yang terhidang.

Buruk

Mataku, ya Allah, kenapa melihatnya begitu buruk sekali? Walhal dia mungkin berasakan dirinya itu amat cantik. Paling cantik melebihi ciptaan-Mu barangkali? Lebih cantik dari dugong dan burung piguin. Aneh, aneh sungguh kerana mataku yang dianugerahkan-Mu melihatnya begitu buruk. Buruk sekali. Sehingga mengalirlah air mataku ini.

Sifu Taik

Cium tangan sifu. Semuanya pun cium. Stensen tv pun mensifukan dia. Surat khabar bilis dan paus mensifukannya. Stesen radio baru dan buruk juga. Tiba-tiba seorang Wak (guru saya) bergumam, “Sifu taik!”