Friday, October 30, 2009

DARI JENDELA ZAMAN INI

Foto buku ini saya hadiahkan khusus untuk Tok Mulu dari Aswara. Kawan-kawan yang lain jangan pula kecik hati ya. Selamat menjadi penyair.

Friday, October 23, 2009

ARABIC POETRY IN EGYPT

Sedang membaca An Anthology Of The New Arabic Poetry in Egypt, sebuah kumpulan puisi Arab yang dipilih, diterjemah dan diberikan pengenalan oleh M.M. Enani.

Wednesday, October 21, 2009

ANUGERAH SASTERAWAN NEGARA KE-10

Tahniah kepada SN Dato’ Dr. Haji Anwar Ridhwan yang menerima anugerah tersebut malam tadi. Tahniah atas ucapan yang lembut dan menusuk. Tahniah juga kepada Mior Hashim Manap yang memilih cuplikan yang tepat untuk mengisi slot pementasan pendek Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman. Embekan ‘kambing’ malam tadi moga-moga akan difahami oleh kambing-kambing yang lain. Paling akhir, takziah untuk penyampai pidato…

BUKU LAGI

Kawan-kawan saya mengirimkan lagi 20 buah buku semalam. Terkejut saya dibuatnya. Kerana banyak sangat, saya hanya paparkan tiga foto kulit dulu.

Tuesday, October 20, 2009

A.B. IBRAHIM DAN LUKISAN CAT AIR MELAYU

Penggunaan bahantara cat air antara medium tertua dalam sejarah seni lukis. Tetapi di Malaysia hampir tidak ada Institut Pengajian Tinggi Awam yang menawarkan kursus Ijazah dalam seni halus yang menekankan medium tersebut. Ini menjadikan kolektor seni tidak berminat untuk membeli lukisan cat air sebagai himpunan koleksinya. Lulusan universiti dalam negeri akan mencebih bibir apabila ada rakan-rakannya yang ingin meneruskan berkarya dengan menggunakan medium cat air. Apatah lagi seniman perupa yang terdidik dalam tradisi Barat, biasanya akanlah lebih-lebih lagi mencemuhnya, seolah-olah dia sendiri sebagai pelancong Barat yang singgah bersiar-siar di Kuala Lumpur.

Semasa hayatnya, Rahime Harun melalui A.P. Art Gallery miliknya bersama Pusat Kebudayaan Universiti Malaya pernah menganjurkan pameran Ide Dan Kreativiti Melayu pada 13-27 Disember 1997. Dalam katalog pemeran tersebut, Rahime Harun menulis: “Jumlah koleksi lukisan cat air dalam koleksi BSLN sehingga 1992 ialah 215 karya sahaja, sungguhpun tradisi catan cat air mempunyai keaktifan yang tinggi. Usaha untuk meningkat koleksi cat air telah diabaikan berbanding dengan media yang lain. Jika diperhitung dari rasio koleksi cat air, ia merupakan hanya 10 peratus dari jumlah koleksi BSLN. Koleksi pelukis cat air Melayu jelas amat sedikit dalam koleksi negara. Untuk pengetahuan umum, koleksi seni lukis oleh pelukis Melayu ialah 24 peratus daripada seluruhan koleksi BSLN, menurut kajian yang dilakukan pada tahun 1992.”

Tulisan Rahime Harun merujuk kepada kajian tahun 1992, sekarang sudah 2009 dan akan masuk 2010. Barangkali hal itu sudah berubah. Lukisan cat air Melayu barangkali telah banyak berubah dan jumlah peratus pelukis Melayu pun telah banyak bertambah. Moga-moga! Sayanglah kan, kalau pelukis cat air terbaik negara seperti Mansor Ghazalli, Mohd. Zain Idris, dan Mokhtar Ishak tak ada dalam koleksi negara. Seperti Abdullah Ariff, A.B. Ibrahim, dan A.J.Rahman, Mansor Ghazalli dan Mohd Zain Idris juga sudah kembali ke alam arwah. Yang tinggal hanya karya-karya mereka.

Pada akhir Julai 2007 saya berada di Alor Setar, Kedah beberapa hari kerana ditugaskan untuk menulis sebuah skrip pentas. Tentulah tempat utama saya ke Muzium Kedah. Lain yang saya cari, lain pula yang saya dapat. Saya menerima hadiah sebuah katalog pameran lukisan A.B. Ibrahim yang diadakan pada 5 Januari 1993. Menarik apabila hampir 100 buah karya A.B. Ibrahim seorang pelukis cat air Melayu yang bergantung hidup sepenuhnya pada lukisan karyanya berjaya dikumpulkan.

Ismail Hj Salleh telah menuliskan esei pendek tentang A.B. Ibrahim dalam katalog pameran itu. Walapun pendek tetapi banyak informasi yang perlu diketahui oleh peminat dan khalayak seni lukis Malaysia. Tulisnya: “Balai Seni Negara mempunyai 12 buah karyanya dan Balai Seni Negeri Kedah mempunyai 9 buah.” Tetapi apabila saya meneliti Inventori Himpunan Tetap Warisan Seni Tampak Negara 1958-2003 (tanpa tahun terbit) jumlah koleksi A.B. Ibrahim yang terdapat dalam koleksi Negara hanya empat buah sahaja dengan judul karya Kota Melaka (1952, cat minyak), Alam Benda (1953, cat minyak), Pemandangan (1940, cat air) dan Potrait Ibu Tua (1940, cat air). Lukisan Pemandangan kemudiannya diistiharkan sebagai Warisan Negara pada tahun 2009. Kalaulah benar tarikh 1940 terhasilnya Pemandangan dan Potrait Ibu Tua, A.B. Ibrahim menghasilkan dua karyanya yang menjadi koleksi negara ketika usianya baru 15 tahun. Ini mengambil kira tahun kelahirannya pada 1925.

Sejak memperolehi katalog pameran A.B. Ibrahim, saya cukup teruja untuk memiliki salah sebuah karyanya. Apabila melihat di internet, harga karya lukisannya telah mencecah RM6000 hasrat itu menjadi menurun. Beberapa foto yang menawarkan karyanya di internet juga memaparkan beberapa karya yang ditiru daripada gayanya. Dan menyebabkan saya membiarkan sahaja hasrat untuk mendapatkan karya beliau. Sehinggalah saya diberikan salinan warna 38 buah karya A.B. Ibarahim dan adiknya A.B. Hassan oleh pelukis Ahmad Marzuki Abu Hassan, sahabat saya. Marzuki memberikan saya no telefon Haji Alias Mohd. Samah tuan punya yang menyimpan karya-karya tersebut.

Saya segera menelefonnya ke Alor Setar. Haji Alias memberitahu dia telah menjualkan semuanya kepada BSLN dengan harga RM2,100 untuk sebuah dengan jumlah 60 buah. BSLN mengambil semua sekali dengan meja tempat A.B. Ibrahim melukis termasuk berus dan pellet yang pernah digunakan oleh pelukis itu. Melepaslah harapan saya untuk mendapatkan karya beliau. “Pak Cik masih ada sikit lagi, itu pun terselit di dalam almari lebihan daripada dibeli oleh BSLN.” Mendengar penjelasannya saya lega, pasti saya akan mendapat karyanya. Baguslah juga kerana BSLN telah mengambil tindakan yang tepat dengan memborong kesemua karya A.B. Ibrahim.

Saya menghubungi Uwei Haji Shaari memaklumkan hal itu. Dia inginkan dua buah karya A.B. Hassan, manakala karya A.B. Ibrahim sudah ada dalam koleksinya. Saya ke Alor Setar tiga bulan lepas, tetapi tak sempat mengunjungi ke rumah Cikgu Alias kerana acara yang amat padat. Malam terakhir di Alor Setar, saya dibawa oleh sahabat saya Wan Darus seorang kolektor ke rumahnya. Koleksinya bagus. Dan dia memiliki beberapa karya terbaik A.B. Ibrahim. Saya terpegun apabila beliau menunjukkan Potret Lelaki Bersemutar karya A.B. Ibrahim miliknya. Karya-karya dalam koleksinya itu pun dibeli daripada Cikgu Alias.

Selepas zaman Yong Mun Sen dan Abdullah Ariff, A.B. Ibrahim dan teman-temannya yang dikenali sebagai “Pelukis Tiga Serangkai” (A.B. Ibrahim, A.J. Rahman dan Saidin Yahaya) merupakan peneruskan kepada seni lukis cat air pada zamannya. Menarik apabila mereka bertiga berjaya membuka “Warna Art Studio” pada 1 April 1946 di Pekan Rabu, Alor Setar. Dua adik A.B. Ibrahim, iaitu A.B. Hassan (yang juga menggunakan nama A. Aziz atas sebab-sebab tertentu) dan A.B. Kechik mengikuti jejak langkah abangnya melukis dengan menggunakan medium yang sama.

Akhirnya Cikgu Alias Mohd. Samah menelefon Marzuki bahawa dia akan ke Putraja untuk menjual semua karya A.B Ibrahim dan A.B Hassan yang masih ada dalam simpanannya. Sebelum ke sana beliau singgah untuk menunjukkan karya-karya yang masih ada dalam simpanannya itu. Yang ada, dah tak sampai 30 buah. Dan sebahagiannya sudah bertompok dengan acid kerana sudah melewati 40 tahun. Saya telefon Uwei dan kami memilih dua buah seorang. Karya yang kami pilih akan disimpan dan kami akan telefon kemudian untuk pembayarannya nanti. Selepas menefon kembali Haji Alias, dia memahami masalah kami, dan bersetuju dengan harga yang diberikan. Dua minggu kemudian anaknya, menghantarkan lukisan tersebut.

Saya terpegun amat dengan rumah berlangsir merah di bawah redup pohonan kelapa. Sapuan cat air dibiarkan putih di dinding rumah yang terkena cahaya matahari. Begitu juga dengan batang kelapa yang dibiarkan dengan kertas putih yang asal. Di belakang rumah sepohon hijau yang merimbun meneduhkan pandangan. Tiga ekor ayam sedang mematuk-matuk mencari makan. Entahlah pula dengan lelaki berbaju merah yang mengandar jualan itu. Apalah dia sedang menuju ke halaman untuk menjualnya atau pun membawa pulang hasil dapatannya pada hari itu. Langit pula dicat biru kekukingan lembut, jernih dan indah. Di tangga depan yang tidak kelihatan, belum tentu tuan rumah akan membeli hasil jualan.

Saya percaya dalam waktu terdekat karya-karya lukisan cat air A.B Ibrahim, dan A.J. Rahman yang manis dan syahdu itu akan menjadi buruan kolektor yang serius dan yang benar-benar memahami erti seni. Nostalgia silam seolah-olah hidup di dalam sejumlah karya mereka. Tetapi Melayu sebenarnya mudah lupa. Dan ingatan Melayu pun semakin mereput dan musnah. Mengigau dan meracau-racau di siang hari. Yang tertinggal hanya setitik air mata. Selebihnya dipungah keluar hasil kekayaan negara dalam bidang apa sekali pun. Anak cucu? Usahkan ditanyakan. Biarlah mereka menjadi diri mereka.

Monday, October 19, 2009

BUKU-BUKU LAGI

Kawan-kawan saya macam tak setuju saya ingin berhenti menjadi penyair. Sepulang dari Sumedang, Bandung, Haji Sham membawakan saya tiga buah buku, Kelenjar Laut oleh D. Zawai Imron, Lagu Cinta Para Pendosa oleh Zaim Rofiqi dan Snow Country oleh Yanusari Kawata (terjemahan A.S. Laksana) menjadi Daerah Salju. Sebelum ini saya sudah memiliki terjemahan Snow Country yang menjadi Negeri Salji dalam bahasa MELAYU. Dengan hadiah buku-buku tersebut saya tahu kawan-kawan saya tidak mahu saya berhenti menjadi penyair.



Friday, October 16, 2009

SEDANG MEMBACA BUKU

Selepas berhenti menjadi penyair, saya hanya akan membaca dan melukis. Saya sedang membaca pemikiran Perdana Menteri Malaysia Najib Tun Razak “Helming the Times” terbitan MPH dan ITNM. Kerana tak pernah sehari pun ke sekolah Inggeris, saya sengaja membaca yang versi Bahasa Inggeris, yang bahasa MELAYUnya saya koyak dan buang. Buku ini pun saya tak beli, sebaliknya dihadiahkan oleh seorang kawan pelukis.

Siri Koleksi Saya:
ABD RANI ABD MAJID Pelukis Self Taught

Abd. Rani Abd. Majid seorang pelukis self trained artist. Dia tidak pernah menerima pendidikan seni lukis secara formal dari mana-mana institusi seni lukis dunia, mahu pun tanah air. Hanya selepas bergelar pelukis dan menjelajah dunia dengan membuat pameran, dia mengikut kursus stensil print dan wood print selama dua bulan di Mauritius.

Abd. Rani dilahirkan di Raub, Pahang pada tahun 1959. Namun sering berpindah kerana mengikut orang tuanya yang bertugas sebagai anggota polis. Beliau mengikut ayahnya ke Kelantan dan memulakan pendidikan rendahnya di sana. Ketika masih di sekolah rendah, berpindah pula ke Kuala Lumpur dan menetap sehingga hari ini.

Beliau mulai melukis secara serius sejak tahun 1981. Dia mulai melukis dan terus melukis selama empat tahun. Dengan lebih 50 buah karya telah terhasil, dia kembali perlahan. Sehinggalah pameran pertamanya pada tahun 1992 bersama 17 orang pelukis lain di Kuala Lumpur. Bermula detik itu, beliau tidak lagi berpaling ke belakang.

Abd. Rani pelukis yang amat mencintai tradisi bangsanya. Pengalaman masa kecilnya di Kelantan amat kuat melekat di dalam ingatan dan fikirannya. Sebab itulah wayang kulit, wau bulan, anyaman tradisi dan pelbagai bentuk kesenian itu mudah dikesan di dalam sejumlah karya seni lukis beliau.

Dalam sejarah seni lukis Malaysia, objek wayang kulit sering ditemui di dalam sejumlah karya pelukis Nik Zainal Abidin, dan Yusoff Haji Abdullah. Abd. Rani adalah salah seorang penerus kepada tradisi tersebut. Bahkan beliau amat menyanjungi dan menghormati hasil karya kedua-dua pelukis ternama tanah air tersebut.

Beliau telah melukis puluhan karya yang bertemakan warisan budaya yang mengambil imej dan motif dalam tradisi Wayang Kulit. Bahkan siri inilah yang paling laku apabila beliau membuat pameran di luar negara. Kolekter di Mauritius mahupun di Reunion Island amat meminati dan menyanjung karya yang menggambarkan motif budaya tradisi ini.

Dalam Warisan Budaya I (2003), Abd. Rani menyusun imej-imej Seri Rama dalam wajah hijaunya. Manakala hamparan anyaman tikar pula disusun menarik. Begitulah dengan Rebab dan penggeseknya, kukuran kelapa serta motif ukiran diterapnya dalam karya ini.

Dalam Warisan Budaya II (2003), Abd. Rahi mempertentang dua nilai tradisi. Catan yang seolah-olah dibahagikan dua. Di sebelah kanannya disusun watak-watak dalam tradisi Wayang Kulit dengan imej Siti Dewi, Wak Long, Dewa dan Pak Dogol. Manakala di sebelah kirinya objek pucuk rebung dengan tali air dan tiga ekor burung batik berterbangan.

Dalam Warisan Budaya III (2003), pelukis masih mempertentangkan Seri Rama dan Bota. Manakala rebab, gendang, kesi, serunai dan tetawak (gong) diatur di atas hamparan tikar pandan yang terjalin indah. Abd. Rani dengan rajin dan tekun merakam motif tradisi yang amat disayanginya itu.

Di dalam sejumlah karyanya yang dihasilkan, amat jelas mesej Abd. Rani. Jelas pada kita, bagi pelukis ini, nilai tradisi dan kehidupan masa kini harus seiring. Kesenian tradisi tidak harus pupus dan hilang di mata dan hati generasi muda hari.

Kecintaan dan kelestarian kepada kesenian tradisi harus diteruskan. Dan dia nampaknya menunaikan tanggungjawab sosial sebagai seniman pelukis. Puluhan karya yang mengangkat persoalan dan tema sedemikian adalah bukti kesungguhan beliau untuk mempertahankan nilai tradisi.

Tradisi tidak harus dijatuhkan hukuman bunuh dengan mengharamkannya. Baginya tanpa tradisi, tidak akan wujud kemodenan pada hari ini. Sebagai seniman pelukis, beliau bersuara dengan cara dan gayanya.

Pengalaman masa kecilnya di Padang Garong, Kota Bharu, Kelantan banyak mempengaruhi karya seni lukisnya. Walaupun masa lalu itu telah melangkaui 40 tahun lebih, tetapi keindahan itu tidak terhapus. Ia kembali segar setiap kali beliau mencapai berus, dan mencalitkan warna di muka kanvas.

Pameran solo pertamanya bukan berlangsung di Kuala Lumpur. Sebaliknya berlangsung di Municipal Art Gallery – Malcolm de Ghazal, Gurepipe Mauritius dari 26 Oktober hingga 2 November 2007. Dalam pameran tersebut, beliau tetap dengan tradisi Wayang Kulit yang amat dicintainya.

Pameran siri karya Wayang Kulitnya mendapat liputan meluas di dalam akhbar dan majalah di Mauritius. Bahkan sejak beberapa tahun sebelum itu beliau beberapa kali diundang untuk membuat pameran secara berkumpulan. Setiap kali pameran, karyanya dibeli oleh kolekter. Dan ini merupakan suntikan semangat yang mengobarkan jiwanya untuk terus melukis.

Pameran terbarunya bersama 16 orang pelukis lain di Reunian Island, Perancis dari 26 Julai hingga 10 Ogos 2008. Pelukis yang anugerah medal khas oleh Datuk Bandar Reunion Island ini amat berbangga dengan tradisi wayang kulit yang dilukisnya. Medal itu pertama kalinya dianugerahkan kepada rakyat dari negara luar.

Bayangkan sewaktu pamerannya yang berlangsung, belum selesai karya dibungkus, kolektor yang lain bertanyakan harga lukisannya. Datuk Bandar berdiri di belakang melihat kolektor yang tertegun dengan hasil karya Abd. Rani.

Tak pernah beliau alami peristiwa seperti itu di mana-mana pameran pun sebelum ini. Kejayaan itu bukanlah kejayaan dirinya secara peribadi, tetapi adalah kebanggaan untuk seluruh pelukis lain dan bagi negara Malaysia. Bagi Abd. Rani, dia adalah penerus kepada tradisi yang dimulakan oleh pelukis Nik Zainal Abidin dan Yusoff Haji Abdullah. Kejayaannya di Reunian Island, adalah kejayaan juga untuk pelukis-pelukis tersebut.

Bagi Abd. Rani para pelukis generasi muda Malaysia harus berkembang terus dan mencapai tahap yang setaraf dengan para pelukis dunia yang lain. Baginya, untuk menjadi pelukis yang berjaya, ketahanan diri perlu ada di dalam diri setiap pelukis. Tak ada kejayaan tanpa usaha yang keras dan berterusan.

Dalam koleksi saya terdapat 3 buah karya pelukis Abd. Rani Majid, ”Warisan Budaya”, ”Wayang Kulit ½” dan ”Kuala Rompin”.

Warisan Budaya,
arkrilik
65x75cm (2
003)








Wayang Kulit ½,
Stencil & Mix Media
58x78cm (2008)



















Kuala Rompin,
Cat Air
49x64cm (2008)

Tuesday, October 13, 2009

MAWAR EMAS

Bunga Rampai Sastera Rusia

Setelah lebih tiga tahun menanti dan beberapa penerbit yang berjanji tetapi tinggal janji, akhirnya buku terjemahan Victor Pogadaev daripada bahasa Rusia ke dalam bahasa MELAYU ini diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia. Memandangkan buku bunga rampai sebegini buat pertama kalinya diterbitkan dengan terhormat, maka buku ini wajar dibaca. Bukanlah disebabkan saya yang menjadi penyuntingnya. Bukan sama sekali. Saya sertakan kata alu-aluan MAWAR EMAS yang dituliskan oleh SN Dato’ A. Samad Said:

Ketika saya mula dalam menyertai ASAS 50 dalam dekad 50-an abad lalu, saya cepat diperkenalkan kepada Maxim Gorky dan Turgenev. “Tales of Italy” dan “The First Love” masing-masing oleh mereka ini mudah menetaskan keghairahan, malah kerinduan, saya terhadap sastera Rusia. Saya terpikat oleh kehidupan yang dirakamkan, khususnya kerana ia menghantar ragam dunia yang baru kali pertama saya alami. Memang terasa juga saya cepat meningkat bijaksana olehnya.

Antologi “Mawar Emas” mudah mengembalikan saya kepada keghairahan dan kekaguman lalu itu. Bedanya, barangkali, kali ini saya sempat mengenangi semula rangkaian peristiwa dan masalah masyarakat Rusia yang ditulis dengan penuh seni.

ASAS 50 adalah sebuah badan sastera pertama yang secara sedar memanfaatkan seni sebagai alat penyedar untuk mencapai darjat kehidupan yang bermaruah dan bermakna.

Ketika berkenalan dengan Pushkin, Dostovesky, Chekhov dan Blok, Malaya sedang bergolak oleh riak mogok dan demonstrasi. Karya-karya pujangga Russia yang rata-ratanya sangat berjejak di bumi itu bantu memahamkan saya akan kehidupan semasa yang saya lalui di saat itu. Kami dalam ASAS 50 mula sedar akan kewujudan sebuah dunia harian yang sangat beragam, bermatlamat dan bermartabat—cita-cita yang sering terpancar dalam karya pujanggan Rusia itu.

Sastera kurang bererti tanpa unsur-unsur membina dan menyedarkan itu.

Sangatlah menyenangkan apabila sesekali kita—khususnya sebagai penulis—dihadiahkan sejumlah hasil sastera tulisan penulis Rusia yang mewakili (juga yang terpenting) sebagai cermin bandingan dan percikan ilham bagi kita. Antologi ambisius ini menjadi lebih penting lagi pada ketika dunia sastera Melayu moden kini sedang dibanjiri buku-buku yang mengelamun dan mengkhayalkan.

Walaupun beberapa cerpen, puisi dan fragmen novel yang saya kagumi itu tidak sepenuhnya terwakil dalam antologi ini, tapi ternyata sesetengah karya yang—antaranya bagi pertama kali saya ketahui—dihadirkan sangat menyumbang dan segar bagi pembaca ghairah seperti saya.

Di celah-celah dongeng rakyat, teta-teki dan peribahasa, antologi “Mawar Emas” ini sempat mengemukakan “Pentingkah Namaku” (Alexander Pushkin), “Kujejaki Jalan Seorang Diri” (Lermontov), “Orang Tua Ariff” (Tolstoy), “Matinya Seorang Kakitangan” (Chekhov), “Kepada Alexander Blok” (Tsvetaeva), “Nyanyian Tentang Burung helang” (Gorky), “Hukuman” (Akhmatova), “Hamlet” (Pasternak), “Hendakkah Rusia Berperang?” (Yevtushenko), “Patung Pushkin” (Brodsky), “Tirai Gelap” (Solzhenitsyn) dan tidak ketinggalan “Mawar Emas” (Paustovsky) yang menjuduli antologi menarik ini.

Upaya Victor Pogadaev (sebagai penganjur, pemilih, pengumpul karya dan penterjemah) dan Rahimidin Zahari (sebagai penyelia) dengan demikian, sangatlah besar ertinya—malah manfaatnya—bagi kaum penulis kontemporer kita khususnya.

Rasanya, inilah pertama kali kita dapat membaca dan menikmati sejumlah besar karya terpenting dan terpilih Rusia dihidangkan secara sangat terbimbing dan berurutan.

Kerjasama seni seorang seniman dan seorang ilmuwan ini sangat besar ertinya kepada pengembangan dan kematangan dunia sastera kita yang kebetulan—juga sewajarnya—saling berhubungan sejak dekad 50-an abad lalu. Saya percaya kelahiran “Mawar Emas” akan berhasil meninggalkan kesan dan pengaruh seni yang positif bagi seniman (dan pembaca) kita dalam masa yang terdekat.

Sasterawan Negara, A. SAMAD SAID

Friday, October 9, 2009

BERHENTI MENJADI PENYAIR

Entah sial apa tengah hari itu saya singgah di Kino KLCC membelek-belek buku. Walhal sehari sebelumnya saya dah ke sana bersama Uwei kerana nak beli buku catalog pameran Latiff Mohidin Journey to Wetlands terbitan Muzium Singapore dan selepas itu bergegas ke Bangsar Shopping Centre untuk melihat pameran Lat dan membeli bukunya The Early Siries. Di Kino hari itu saya terserempak dengan seorang sarjana yang kenal sikit-sikit dengan saya. Di sebelahnya berdiri gadis cantik manis, saya pasti bukan isterinya. Lantas diperkenalkan..”Ni kawan saya, Rahimidin bakal sasterawan dan bakal pengganti kepada sasterawan ABC…” Saya terdiam. Buat-buat senyum. Sasterawan ABC.. yang dia sebutkannya itu tak lain bekas peserta yang ikut Bengkel Puisi saya melalui MPR (Minggu Penulis Remaja) anjuran DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka). Bagusnya pensyarah seni dan budaya ini, kata saya dalam hati. Budak tu ada la menulis sebuah dua sajak, dan selalu mengidam inginkan S.E.A Write dan kalau boleh Sasterawan Negara pun dia nak. S.E.A Write nilai hadiahnya tak sampai 7 ribu je. Harga sebuah lukisan Ahmad Zaki Anwar dah 65,000.00 sebuah. Jailani Abu Hassan, Suzlee Ibrahim pun sama. Hari ini saya istiharkan untuk berhenti menjadi penyair!

MASA SILAM

Foto pertama dirakam pada tahun 1977, sekitar 32 tahun yang lalu. Saya ketika itu berada di Darjah 3 di Sek. Keb. Becah Keranji. Guru Besar saya, Allahyarham Tuan Haji Mohamad b Salleh (al-fatihah), sepupu nenek saya dan menjadi datuk sepupu saya. Guru kelas saya Cikgu Zaharah bt Isa. Alhamdulillah saya ingat semua nama kawan sekelas saya. Yang perempuan dari kiri ke kanan Salmiah Haji Saud, Hasbi Zahari, Rashidah Che Soh, Natrah Awang, Salwani M Zain, Nairah Mohd Zain, Thahirah Abdullah, Natrah Abu Bakar, Rohani Idris, Fauziah Samad, Siti Nor Abd Rahman, Zainab, Siti Norbayah dan Masitah (Allahyarhamah).

Yang lelaki dari kiri ke kanan – Shaari Ismail, Adnan Ismail, Awang Pi Abd. Rahman, Zuraidee Wahad, Ismail Abdullah, Ramli Sulaiman, Osman Abd. Razak (terakhir menelefon saya dari Miri, Sarawak seorang jurutera), Marzuki Yusoff, Zamri Zakaria (allahyarham dan dua pupu saya), Ariffin Idris (bapa dua pupu saya), saya, Che Zulkiflee (allahyarham), Zamzuri Zakaria, Shukri, Tengku (pelajar baru), Wan Ahmad dan Mohd Zain Mohd Ali.

Foto kedua dirakam pada tahun 1984, sekitar 25 tahun yang lalu. Ketika itu saya berada di Tingkatan 4A1 Sek. Men. Melor. Guru Kelas kami, Tuan Haji Abd Halim b Jusoh. Kali ini, saya gagal mengingati semua nama kerana kami dari sekolah dan kelas ayng berbeza sebelumnya. Saya sebutkan yang saya ingat. Baris depan – Norhasimah Ismail, Norasyikin Ilias, Juliati Mohd Nor, Nairah Mohd Zain (sekelas sejak darjah satu), Che Anizah (pernah terserempak di Jasco Wangsa Maju, tapi dia tak lagi kenali saya), Karimah, (lupa), Nasimah Daud dan (lupa). Baris tengah Kamal (kontrakter), Habdi, Aminah, Suriani, Sabrina, Norziha (dua pupu ibu saya), Rahinah, Zarinah Md. Jali (dua pupu ibu saya), Alwani, Aina Mazid Ismail, Ruslan dan Rosilan. Baris belakang –saya, Badrul, Nawawi Daud (terserempak di Kuching 10 tahun lepas),(lupa), Rahazwi, Nazim, Riduan, Rusdi Mahmud (Allahyarham), Abd. Razak Yusoff (Allahyarham- dua pupu ibu saya).

Wednesday, October 7, 2009

SAYA BUKAN ORANG TEATER

Terima kasih yang setingginya kepada DBPWS yang diterajui oleh Hajah Nor Hasimah Ali dan Pengurus Program, Sdr. Rusdi Abd Rahman yang mengundang kami ke Taman Budaya Melaka untuk pementasan Rebab Berbisik dan Bidan Ketujuh pada 3 dan 4 Oktober yang lalu. Pementasan ini sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 Peringkat Negeri Melaka. Terima kasih juga kepada JKKNNM dan IKSEP yang ikut sama mendokong kami. Rebab Berbisik menjadi panjang juga hayatnya. Bermula di Stor DBP pada akhir tahun 2006, monodrama itu menjadi panjang pula hayatnya. Dua kali ke Kota Bharu, ke Pulau Pinang, ke Bentong, Pahang dan ke Kuala Terangganu juga. Berjaya dibawa itupun kerana kesungguhan Pengarah DBPWT, Haji Mohamad Yussop Ishak dan para karyawanya yang menyakinkan saya.

Bidan Ketujuh teater 10 minit saya selepas Dalang. Itu pun ditulis dan dipentaskan asalnya kerana dah tersalah janji menerima tawaran sahabat saya, A. Wahab Hamzah. Kalau tidak nescaya saya tidak ingin mementaskannya. Saya ulangi, saya bukan orang teater.

“Sudahlah kau, tak payah buat teater-teater ni. Kau tulis sajak cukuplah.” Ucap seorang kawan saya satu hari.

“Betul. Saya telah memasuki wilayah orang lain.” Kata saya.

“Dah tu, kenapa kau tulis skrip dan buat teater juga?”

“Aku seronok mengata-ngata dalam teater. Dalam, sajak susah sikit la orang nak faham.Teater dan puisi, kepuasannya berbeza.” Saya saja acah-acahnya.

“Kau tutup rezeki orang teater tulen.” Ajunya lagi

“Sapa orang teater tulen tu? Aku yang tak tulen ni pun ada ditawar untuk arahkan teater pendek sempena Anugerah Sasterawan Negara ke 10, aku tolak dengan penuh santun. Aku kata berikan pada orang teater. Namron, dia tu orang teater.”

Saya selalu sebutkan kepada kawan-kawan saya, saya bukan orang teater. Tersalah waktu menjadi editor majalah teater. Dan tersalah waktu juga kerana tertulis skrip-skripnya Muzikal Puteri Hang Li Po, Suzana @60, Teater Tari Pentas, Muzikal Putra, Rebab Berbisik dan Mahsuri. Saya juga rupa-rupanya telah tersalah waktu kerana mengambil lakonan dan pengarahan sewaktu di universiti.

Terima kasih kepada kawan-kawan saya yang menjayakan Rebab dan Bidan di Melaka – Rosnan Abd Rahman,dan Milyana Arshad. Para pemuzik Mohd Nawi Jusoh, Ibrahim Senik, Fauzi Abdullah, Dahari Che Seman dan Colmann Abdullah, Pengurus Pentas.

Saya teringat lagi, sewaktu mewakili Malaysia ke MASTERA di Bandung, Indonesia- saya mewakili genre teater bukan puisi. Di sana berguru dengan N. Riantiarno yang terkenal dengan Teater Koma, tetapi apabila pulang ke Malaysia saya tetap tidak menganggap saya orang teater. Saya tidak menciplak dan mengakui apa-apa yang saya pelajari dari sana sebagai hak saya. Dan saya sebenarnya bukan orang teater.

Tuesday, October 6, 2009

MEMBACA SAPARDI

Selepas hari raya sebenarnya banyak hal yang ingin dituliskan. Tetapi tak jadi hendak menulisnya. Jadi saya memilih untuk membaca Sapardi.

Cahaya Sore

ketika cahaya sore menerobos beranda rumahmu
segera kauturunkan tirai bambu itu;
tidakkah k
ausadari bahwa tak ada pembatas
antara tubuhmu dan debu yang melayang bebas?

2001


Friday, October 2, 2009

SEBUAH SAJAK ASAL ROSLI K. MATARI

Kasihku Pada Pattani karya Rosli K. Matari yang mengharukan untuk gurunya Ustaz Mujahid Adil. Rosli juga adalah guru tingkatan enam saya yang mengajar Bahasa MELAYU dan Pengajian Am lebih 22 tahun yang lalu. Seperti hubungan Rosli dengan Mujahid, begitulah juga nampaknya hubungan saya dengan Rosli –guruku yang menjadi sahabat. Memandangkan versi yang diemelkan oleh Rosli kepada saya berbeza dengan yang tersiar di majalah Dewan Sastera, maka wajar sekali saya paparkan di sini versi asalnya untuk tatapan kawan-kawan dan khalayak yang benar-benar menghormati dan mengerti puisi.

KASIHKU PADA PATTANI

(Buat guruku yang menjadi
sahabat – Mujahid Adil)

Pattani itu sudah jauh, berbalam
seakan langit berbaur senja

indah terlorek dalam ingatan,
tetapi itulah jambar sayu

kampung laman, melambai
bagai liuk api pelita

kusayang bukit, nyiur pantai
jiran dan pondok

semuanya menjadi seligut
sebagai air mata, sebagai embun

jejakku di sana
tertinggal, terbenam

tetapi inilah samudera hidup
ada alun, penuh arus

mengalir, bergelombang
dijalirkan takdir

kubawa diriku menyeberang
ke Mekah, Madinah, dan Mesir

kucari sinar ilmu
dan cahaya ibadat

kerana aku ini
kelekatu, debu, zarah

setelah aku kembali
berceracak musuh

benih hitam, belati
duri, darah

musuh terpendam – terapung
musuh menyelinap – terjongor

bagi mereka
cahaya itu api

pagar pondokku
terbelenggu

pintu dan jendela
tidak boleh dibuka lagi

di dalamnya
kandil mengerdip terakhir

cahaya dianggap berbahaya
lebih daripada api

kubawa diriku
menyeberang lagi

tiada jalan pulang
semuanya berkelok, bersimpang

bagaikan panji semirang
kuciptakan berbagai nama

tanah semenanjung ini
juga bumi Tuhan yang luas

di sinilah kupasang lentera
untuk menyuluh jalan gelita

beranjak desa, beralih surau
berkelek derita, menelusur hidup

kusebarkan firman dan sabda
pembeza gelap dan terang

kuselongkar pantun dan hikayat
kucintai rubai dan sajak

sesekali kulihat Pattani
melambai, sayup-sayup

apalah dayaku
di sini air mata, di sana peluru

kasihku pada Pattani
tiada lingkap, litir

bagai melanbuai
tidak mudah dirapih

sungguh tiada pusam,
walau hidupku luntang

kini kulampungkan hidupku
di lubok jambu, mulong

akar usiaku
sudah memanjang putih

seakan sudah rapat
menjalar ke tanah makam

setiap petang,
kutunggu langit senja

aku sangat terkenang
syair nenda:

“rumah besar, kampung luas
tinggal juga…”

kerana hidup ini
bertemu batu nisan.

12 Januari 2009