Tuesday, February 22, 2011

GAJAH

gajah-gajah abrahah
tersungkur ke debu pasir
tatkala terkilau sinar
cahaya di wajah suci
abdul mutalib
pemimpin quraisy
penjaga kaabah
nenda Nabi kita.

beribu burung ababil
menggugurkan
batu-batu api
mencairkan gajah
gajah abrahah
dan tenteranya

Monday, February 21, 2011

TAK PROFESIONAL

Pengalaman saya sekali dengan institusi yang tak profesional menyebabkan saya tidak lagi berurusan dengan institusi tersebut. Nak hadir pun saya malas. Jemput saya baca puisi dengan rakaman untuk siaran TV, dengan beri tiket kapal terbang, dia ingat saya seronok. Lainlah kalau memang kita mengidam anugerah tertentu dengan meminta stensen TV untuk menyiarkan kita membaca puisi. Maklumlah seniman penyair. Tak profesionalnya dah 50 tahun lebih. Bercakap macam pro tapi memang tak pernah ingin jadi pro.

BUAT MASJID

Iyalah kalau ada duit siapa pun boleh buat masjid. Buat masjid dan runtuhkan masjid juga. Perlukah dihebohkan kepada semua orang kita buat masjid yang nilainya 1.7 juta? Hutang sewa panggung bertahun-tahun 'macam tak nak bayar' tak nak heboh ke? Ini jenis yang tak belajar agama.

Wednesday, January 26, 2011

BERPUISI DI MANHAE

di manhae
segalanya menjadi puisi
dan puisi menjadi
lebih bererti
daripada sekalian mimpi

puisi terpahat
di kepingan logam tembaga
tersusun bahasa dunia
di dinding tembok panjang
memisahkan warna bangsa
dan kepercayaan agama

batu-batu gunung
terpahat aksara puisi
pustaka yang menyimpan
beribu jilid puisi
dan di halaman depan
puisi beralun di corong
pembesar suara
hening dan gemersik
dekat dan menyatu

hari ini semua penyair
diwajibkan menulis puisi
dan keledek rebus
di manhae mengingatkan
kampungku yang jauh

Manhae, Korea Selatan
6 Disember 2010

Tuesday, January 25, 2011

KURMA BERBARIS

pohon kurma berbaris sepanjang jalan
tandan dan buahnya ditutupi debu musim
hotel yang bising oleh nyanyian
dan gelek perempuan yang mengganggu
pendengaran; jubah hanya pakaian
yang menutup kesementaraan.


Bahrain,
6 Oktober 2010

Friday, January 14, 2011

BEBERAPA PERTANYAAN UNTUK PENULIS

Ekoran daripada isu novel “Interlok”, seorang teman lama saya telah menemui fb saya dan menimbulkan beberapa pertanyaan yang barangkali menarik juga untuk direnung. Tentang “Interlok” saya tidak akan menulis apa-apa kerana PENA telah mempunyai pendirian yang jelas awal-awal lagi. Kami serahkan kepada Presiden dan Setiausaha Agung kami untuk meneruskan perjuangan.

Pertanyaan-pertanyaan yang saya terima tersebut:

1. Berapa buku yang telah engkau tulis sejak kita meninggalkan alam persekolahan menengah lebih 26 tahun yang lalu?

2. Aku dengar engkau menghentam dinasour dan tirax sewaktu membentangkan kertas kerja di Pertemuan Penyair Nusantara IV di Brunei, apa yang kau tak puas hati sebenarnya?

3. Aku tengok TV3 beberapa bulan lepas, buku engkau dan Sutung Umar RS “Makyung Mystical Heritage of Malaysia” dilancarkan di Frankfurt oleh ITNM, berapa royalti yang kau dapat? Lepas tu dilancarkan lagi kat Kino KLCC, macam tak ada buku orang lain ke yang nak dilancarkan? Apa penting sangat buku tu dan dibuat heboh-heboh pula?

4. Kat blog kau, aku ada nampak foto kau di Korea kononnya mewakili negara untuk bentang paper dan baca puisi. Kiranya kau bertaraf wakil negara, tapi ada ke negeri tempat kau lahir tu bagi apa-apa – tanah, rumah, dan saguhati RM65,000 kerana semua itu berbanding dengan pemain bola sepak dari kampung kau yang menang liga kampung dan semua orang bercuti umum satu hari?

5. Aku nak mintalah sebuah buku kau yang terbit kat Moscow dalam bahasa Rusia dan MELAYU tu, boleh?

Malas nak jawablah. Yang no. 3 - Tuan Haji Mohd. Khair Ngadiron, CEO ITNM boleh tolong jawab kot? No 4 - buat malu saja, sebab saya bukan selebriti. No. 5, aku bagi kau yang fotostat.

Thursday, January 13, 2011

SUNGAI RHINE, FRANKFURT

itik dan angsa berenang berpasang-pasangan
di air Sungai Rhine yang sejuk. betapa luasnya alam
dan betapa tenteramnya kehidupan. manusia
membiarkannya berenang bebas, menyelam
dan menyisir bulunya yang basah.

aku mengimpikan seluruh tasik dan sungai
di tanah airku direnangi itik dan angsa. memutih
di air berpasang-pasang tanpa gangguan
dan ancaman oleh tangan nakal anak manusia.

air Sungai Rhine yang jernih membelah Frankfurt
yang dingin. dan air Sungai Klang yang hitam menggeliat
di perut Kuala Lumpur yang panas.

7 Oktober 2010
Sg Rhine, Frankfurt.