Thursday, August 29, 2013

Menziarahi Cikgu Noordin

Foto: Azalan Hussain
Beberapa kali mengunjunginya bersama Sutung Umar RS dan Dinsman, kemudiannya dengan Zaifri Husein dan terakhir bersama Sinanaga. Biasanya bercakap pasal teater, fasal filem. Kali ini, awal-awal lagi saya ingin memancingnya untuk bercakap pasal lukisan. Bawakan beberapa majalah Pentas untuknya, dan juga buku Cikgu Shahnon di Mata Kami (ITBM: 2013) yang ada tulisan Cikgu Noordin di dalamnya. Masa datang dengan Zaifi dahulu, Cikgu belanja kami makan tengah hari nasi Arab di Restoren Mahbub. Sendawa sampai ke malam. Dan cikgu hadiahkan saya DVD filem Taras Bulba. Versi Inggeris, berbeza dengan yang pernah dihadiahkan oleh sahabat saya, Dr. Victor Pogadaev yang versi Russia.

Cikgu Noordin ke luar negara, pada mulanya ambil lukisan. Selama dua tahun. Bersama pelukis Ismail Zain merata galeri dilawati. Bila saya tanya, "ada tak lukisan awal itu cikgu bawa balik?" Sayangnya tak ada. semuanya dihadiahkan kepada kawan-kawan di sana. Bila balik ke Malaysia, cikgu mengajar di sekolah perempuan di Alor Setar. Mengajar seni lukis. Buat pameran, ayahandan KDYMM Tuanku Agong sekarang, Tuanku Badlishah pun mencemar duli datang merasmi dan menyaksikan pameran. Ramai yang puji pameran itu, kerana tidak sama dengan pelajar sekolah lain, yang bentuk karyanya semua sama kerana cikgu mengajar, bukan memberikan dorongan dan berkongsi ilmu seni lukis.

Pergi semula kali kedua baru cikgu ambil pengajaran drama dalam bahasa. Bila balik ke Malaysia  tidak lagi mengajar di sekolah, tetapi ke Maktab Perguruan. Mula-mula di MPSI, kemudian ke IB. Cikgu teringat seorang pensyarah perempuan di sana dalam lingkungan 55 umurnya, bersanggul cotek mengajar dari jam 10 pagi hingga 5 petang. Hanya dia seorang yang mengendalikan kuliah teater tersebut. Wah, ini menarik kata hati saya.

Ada sebuah lukisan di dinding rumahnya, dan dari jauh saya pasti itu salah sebuah karya. Cikgu senyum, memaklum, cikgu lukis selepas balik melawat Egypt. Saya bangun mendekati lukisan yang berfrem cantik tersebut, tercatat tahun 1995 dan di ruang tengah atas lukisan sureal tersebut, nampak pada saya tulisan jawi tayang, 'saya...dari hujung kota'.

Bila kami  ingin pulang, cikgu hadiahkan saya dengan DVD dokumentari tentang dirinya yang sepatutunya disiarkan untuk slot Hari Seniman pada mei yang lalu. Tetapi tidak jadi disiarkan.

Moga cikgu sihat dan terus berkarya.

No comments:

Post a Comment