Monday, December 3, 2012

tiga lelaki

Saya juga sangat suka dengan foto ini. Rizduan Harun di sebelah kanan dan Dr. Mohd. Hanafi Ibrahim di sebelah kiri. Terlupa siapakah yang mengirimkannya kepada saya. Mungkinkah Ridzuan Harun yang sangat muda remaja ketika itu yang mengirimkan?  Yang saya ingat, ini antara salah satu acara MPR yang sangat meriah dan dinanti-nantikan oleh mantannya. Itu suatu ketika dahulu. Tetapi kini, saya tak pasti lagi. Kemeriahan itu berbeza mengikut siapakah pegawai projek yang menjadi penajunya.

Sunday, December 2, 2012

tokoh(?)

Bertemu secara tak sengaja, dan saya sebenarnya cuba mengelak apabila ternampak pak cik ini. Bukanlah sebab saya sombong seperti biasa, tetapi kerana dia tidak pernah kenal saya walaupun, mungkin kami telah bersua muka hampir 100 kali - sama ada di Rumah PENA, di Dewan Seminar DBP, di Aswara dan pelbagai tempat di Kuala Lumpur. Tetapi tengah hari semalam, saya terserempak lagi, dan kali ini dia sedih kerana PENA menolak permohonan untuk pelancaran bukunya, dan organisasi yang sepatutnya juga menolak. Dia bercerita dan saya terpaksa mendengar dengan senyum yang sangat kelat.

Dia bercerita lagi, tentang tokoh itu dan tokoh ini yang menghargainya. Bukunya dipilih oleh negara kerana kepentingan isinya. Dia juga mulai memberi bengkel dan ceramah di pelbagai pusat pengajian tinggi awam. Dia telah berjaya menokohkan dirinya sendiri. Walaupun tulisannya tidaklah baik dan mengikuti ciri sebenarnya genre yang ditulisnya. Cara penyampaiannya yang lintang pukang kerana gagal membezakan jenis-jenis puisi tradisional tersebut. Yang saya tahu setiap penyampaian puisi tradisional itu berbeza antara satu genre dengan genre yang lain. Saya teringatkan arwah Iladam dahulu. Moga buku-buku arwah  bermanfaat untuk peminat genre tersebut.

Memang saya lebih tahu daripadanya tentang bidang yang dia omongkan dengan saya. Saya lebih faham pantun, syair, dan gurindam walaupun saya tidak menulis dalam genre tersebut. Tetapi apabila berdepan dengan orang yang lebih tahu, maka saya akan mengambil sikap yang mudah - bahawa saya tak tahu apa-apa pun. Tetapi mengikuti kawan saya pula, sewaktu 'tokoh' ini menjadi pengetua sekolahnya  dulu, dialah yang bertanggungjawab menutup subjek sastera di sekolahnya.

Habis bercerita  tentang episod bukunya yang ketiga, dia bercerita pula tentang anaknya yang juga menulis dan dalam proses menyelesaikan sarjananya. Anaknya sangat hebat di matanya. Mujurlah hari ini, hari yang   kesabaran saya sangat luar biasa, dan saya menahan kesabaran itu  sungguh-sungguh. Sepatutnya saya sebutkan yang anaknya itu bekas peserta bengkel penulisan saya dan antara yang paling tidak berbakat!

Moga anda akan berjaya menjual diri anda dengan lebih cemerlang. Dan kelak ketika itu saya akan menokohkan anda sebagai benar-benar tokoh!