Tuesday, April 27, 2010

malaikat hujan

hujan sedang turun bersama para malaikat
membasah rumput dan mencairkan debu sepanjang
perjalanan.

di luar hujan turun bersama para malaikat
yang berselawatan, di dalam aku diam tanpa
sepatah percakapan.


Kuala Lumpur
Golf & Country Club
25 april 2010

Thursday, April 22, 2010

asalnya ada setitik darah di bajuku

asalnya ada setitik darah membekas merah di bajuku
tak kutahu darahku atau darah dari fizik siapakah?
darah itu hidup dan sedang merebak mencipta
tompok dan peta mengalir ke lengan kanan dan
kiri kemeja putihku.

aku mula bertanya, mungkinkah darah yang menitis
dari taring drakula sewaktu kami makan malam
di bawah cahaya matahari siang.

kl
20 April 2010

Wednesday, April 21, 2010

Seniman

Seniman, tentunya sosok manusia yang sukar diduga. Dia boleh bersetuju dan mungkin selamanya tidak bersetuju dengan banyak hal. Dia kadang-kadang aneh dengan pilihan dan keputusannya. Dan bukanlah seniman kalau ia menjadi pengekor dan mengalir mengikut arus yang berada di hadapannya. Dan seniman akan tercatat dan berada di dalam sejarah, bukannya di luar sejarah. Seniman sejati pun akan mati seperti manusia yang lain, tetapi hayat karyanya akan berkalung panjang. Menjadikan dia tidak pernah mati walaupun telah mati berkali-kali.

Monday, April 19, 2010

aku menangis

dari sedulang kurma
yang dihulur ikhwan
tangan hitamku
telah memilih
sebiji yang buruk
berkulat oleh debu
dan serbuk hitam

aku menelannya juga
kerana itulah
pilihan yang dipilih
oleh tanganku sendiri
yang aku percaya ia berawal
dengan gerak hatiku

kukunyah dengan tangis

dengan seteguk zam-zam
mohon dibasuh
seluruh kehitaman
yang memekup
hatiku yang hitam

kuhinakan diriku
dalam mencari
maqam ihsan
di puncak reda-Mu

aku menangis
aku menangis
tak siapa yang tahu;
hanya Dia
Yang Maha Tahu.

Rahimidin Zahari
18 April 2010
Dar Maliki

Wednesday, April 14, 2010

Separuh April

April, banyak juga aktivitinya. Membacakan beberapa puisi cinta di acara Maskara di rumah PENA. Biasa baca puisi, lepas itu tinggalkan pentas. Tetapi kali ini, baca puisi, kemudian tanya penonton, cukup atau mahu lagi. Apa ni? Pernah beberapa kali hadir ke Maskara, tetapi sebagai penonton. Inilah pertama kali membaca puisi cinta.
Selepas memberikan “fatwa” (mengikut Ridzuan Harun) dekat UKM, saya baca mantera doa kat BSLN (Balai Seni Lukis Negara) sempena pelancaran Pameran Kata Luhur –Ulang tahun ke 75 tahun Bapak SN. A. Samad Said. “Tak faham, apa yang abang tu merapu kat depan?” Saya tak tunggu sehingga acara selesai. Sampai di pagar rumah, Ijamala sms: “Hebat mantera, anda serius dari wajah.” “Yeop, hang puji aku, sebab hang kawan aku.” Jawab saya. Dia jawab lagi sms saya: “Puji ikhlas, ada tetamu sebelah teman kata anda serius. Apa-apa mantera anda memukau khalayak.” Saya terus balik rumah sebab jam 5 pagi esok kena ke KLIA, ada “Wacana Teater: Dari Naskhah ke Pentas”. Dan apabila di DBP Wilayah Timur, saya tidak bercakap mengenai tajuk itu, kertas saya sama sekali berbeza, judulnya menjadi “Dari Idea ke Naskhah.”
Balik ke rumah, panasnya membahang. Durian beberapa semuanya sedang berbunga. Ketika menunggu maghrib, saya menolak motorsikal keluar dari garaj. Azan dari balaisah kampung kami, belum juga beralun. Tiba-tiba seekor kucing hutan keluar dari semak sunyi di halaman kiri rumah saya, memandang tepat ke arah saya. Saya terkejut dan memanggilnya. Adik saya, hairan dan menjenguk di jendela. “Abang Ngah bercakap dengan siapa tu?” “Dengan kucing!” jawan saya pendek. Kucing itu memandang saya dan menunduk mukanya, langsung masuk perlahan ke dalam semak.
Saya hidupkan motorsikal tinggalan arwah ayah menuju ke balaisah.

Cintaku Sampai Ke Tulang Hitam

Malam itu tak ada kuliah di balaisah kampung kami. Jadi selepas maghribnya, ada makmun yang balik ke rumah, dan akan datang semula untuk solat Isyak. Sambil menunggu Isyak, Pak Da Him (Ibrahim Che Ahmad) mula membuka ceritanya. Pak Da Him, sekitar 76 tahun usianya, tetapi masih boleh mengayuh basikal dari kampung kami ke bandar Kota Bharu yang jaraknya sekitar 16km. Dia sebenarnya amat banyak jasanya kepada saya. Kerana beliau bekerja di Kota Bharu, setiap bulan saya akan kirimkan majalah Dewan Sastera dan apa-apa buku yang ingin saya beli sejak tahun 1984. Saya akan tuliskan judul dan berikan wang kepadanya minta tolong belikan buku untuk saya. Dia yang memang tahu saya penulis, malam itu menceritakan kepada saya sebuah anekdot: Cintaku Sampai Ke Tulang Hitam:
Di sebuah negeri entah berantah, ada sepasang suami isteri yang sudah lama berkahwin. Kedua-duanya saling cinta mencintai, tetapi pasangan itu tidak memperolehi seorang pun cahaya mata. Pada suatu malam, si isteri bertanya kepada si suami, “sebanyak manakah cinta kanda kepada adinda?” Jawab suami, “Cinta kanda amat besar dan mendalam, sebanyak bintang di langit.” Seronoklah isterinya apabila mendapat pengakuan daripada suaminya.
Lalu bertanya pula suami kepada isterinya yang cantik itu, “sejauh manakah pula cinta dinda kepada kanda?” Jawab si isteri, “Cinta dinda kepada kanda jauh sampai ke tulang hitam.” Masing-masing berseronoklah mendengar dan menerima pengakuan cinta masing-masing. Tiba-tiba, tanpa diduga si suami terlebih dahulu meninggal dunia. Dan isteri yang setia dan cintakan suaminya itu menyimpanlah mayat suaminya, sehinggalah mayat itu mereput dan yang tinggal hanya tulang-temulangnya.
Setelah diketahui dirinya menjanda, ramailah yang berhasrat untuk masuk meminangnya. Terdapat anak-anak raja dan menteri yang teringin untuk berkahwin dengan janda muda dan cantik tersebut. Tetapi semuanya ditolak. Dia tidak sanggup memungkiri janji kepada arwah suaminya, bahawa cintanya sampai ke tulang hitam.
Beberapa bulan kemudian, muncullah seorang pemuda di kampung tersebut dengan memikul sebuah guni. Dia pun singgah di halaman rumah janda muda yang cantik pada suatu malam. Ketika itu bulan sedang mengambang di langit. Dan janda itu berada di halaman rumahnya dengan kolam yang jernih dengan kerangka tulang suaminya. Bertanyalah si janda “Apakah yang kamu bawa di dalam guni itu, wahai pemuda.” Jawab pemuda itu, “Aku membawa tulang isteriku. Aku pernah berjanji dengannya, bahawa cintaku sampai ke tulang hitam.”
Tanpa pengetahuan si janda itu, si pemuda telah mengikatkan tali antara tulang-tulang dari dalam guninya dengan tulang-tulang suami milik si janda. Kemudian tali-tali itu ditarik-tarik sehingga terdengar bunyi tulang yang berlaga-laga.
“Celaka punya tulang, tak boleh berjumpa. Mereka rupa-rupanya saling mencintai.” Kata si pemuda.
“Benar, tak kusangka tulang-tulang ini tidak boleh dipercayai.”
“Kalau begitu, kita berkahwin saja,” kata pemuda kepada si janda cantik.
Dan berkahwinlah pemuda itu dengan janda yang cantik.
“Siapa yang cerdik, pemuda atau tukang cerita?” Tanya Pak Da Him kepada saya. Ketika itu, Pak Muda, bapa saudara saya sudah bangun untuk melaungkan azan Isyak.

Wednesday, April 7, 2010

Bengkel Penulisan

“Tak usah cepat menggurui orang,” itu pesan salah seorang penyair penting Malaysia lebih 20 tahun lalu. Bila dijemput untuk memberikan bengkel, saya selalu serba-salah. Tetapi permintaan kawan-kawan tak elok pula untuk dihampakan. Saya pergilah juga.
Tiba-tiba saya menerima memo daripada teman sebelah bilik saya untuk menyertai Bengkel Penulisan Super.
“Mana tau kalau abang Mi, berminat bolehlah pergi,” penuh berbahasa basi sekali ucapnya kepada saya. Setelah membelek sepintas lalu, saya terus jawab:
“Tak minat.”
“Kenapa bang?” soal dia dengan suaranya yang gedit-gedit lalat.
“Besok pagi ikut aku ke UKM, Bangi jam 10-12 tengah hari!”

Pertanyaan yang tak perlu dijawab.

Ada banyak pertanyaan yang tak perlu dijawab sebenarnya. Sebab-sebabnya:
i. Orang yang bertanya itu sendiri tak faham dengan soalan yang dicipta oleh dirinya.
ii. Orang yang bertanya memang berada dalam bidang itu, tetapi bebal dan buat-buat tak tahu tentang kejahilan dirinya sendiri.
iii. Kalau untuk dirinya sendiri dia tahu dan sedar, tetapi dia terlupa tentang apa yang diperlakukan untuk orang lain.
iv. Pertanyaan itu sendiri adalah mempunyai nilai untuk kepentingan peribadi yang amat peribadi.

Tuesday, April 6, 2010

bagaimanakah
cinta bermula
dan bagaimanakah

cinta berakhir

dengan sepatah kata ‘sayang’
maka cinta pun bermula

pernahkah kau bertanya
bagaimana cintamu bermula
dan telah membawamu jauh
terpukau ke belantara asyik

ke manakah engkau berjalan
mencari jejak cintamu
yang hilang di dalam kabut
yang hilang di dalam awan

mujurlah kau cepat sedar
dari kekhilafan lalu mencari tapak
dan jejak jalan pulang ke rumah
dirimu yang berbuka jendela dan pintu

dengan sepatah kata ‘benci’
maka cinta pun berakhir

Rumah Pena
4 April 2010

Thursday, April 1, 2010

BELATI BERDARAH

Kuterima kiriman
belati berdarah
pada senja hari
ulang tahunku,
dengan catatan:

“kau simpanlah
belati berdarah ini
sebagaimana
kau simpan
manisnya kenangan.”


Aku
semakin berusia
dan malas untuk
memahami makna;
kubasuh tanganku
yang terpercik darah
dari belati berdarahmu.

Kupulangkan kembali
belati berdarahmu
aku berpaling
kepada waktu
yang menderu
kubasuh sudah
jubah putihku
dengan air

atma rindu.

28 Mac 2010