MoribPagi Jumaat yang hening bening, memandu sendirian meninggalkan Kuala Lumpur menuju ke Morib. Ini kali kedua ke sana, pernah pergi beberapa tahun lepas sewaktu menziarahi kepulangan Cikgu Ismail Sarbini ke rahmatullah. Kalau tidak silap ketika itu pergi bersama Shamsudin Othman, Hanafi Ibrahim dan SM Zakir. Bertolak 9.30pagi dan sampai ke tempat yang dituju jam 11.00 pagi.
Di Hotel Impian Morib, saya diberikan bilik 103. Bersolat jumaat di Masjid Jamek Jamaiyah. Petang itu saya memandu ke Batu Laut dan singgah di Pasar Minggu. Terserempak dan bermacam kerenah 'orang'. Sayur, buah-buahan, ikan segar, daging segar dan juadah ramadan berderet. Termasuklah sidaian kain dan pakaian yang telah siap. Jagung dengan harga RM5 untuk 8 jantung, pulasan 4kilo untuk RM10, dan dokong juga. Saya hanya beli pulasan, dan berhenti lama di gerai mak cik yang menjual 'nasi amber'. Tak beli pun, tetapi seronok tengok mak cik yang sibuk tak tercapai tangan membungkus nasinya dengan harga RM3.50. Bungkusan selesai diserahkan kepada pembeli, dan "bayar kat kaunter" merujuk kepada pak cik suaminya. Sesekali dia bercakap pelet Jawa yang saya tak faham pun kepada pembelinya yang ngomong Jawa.
Keluar dari Pasar Minggu Batu Laut, saya memandu menghala ke PD, melintasi beberapa kampung orang asli, dan apartmen/resort tepi laut yang sedang dibina. Dan ternampaklah
signboard Kem Prince Haliza yang pernah saya terlibat dengan Program PLKN lebih lima tahun lalu. Saya masuk ke stesen minyak Petronas dan berpatah balik ke Morib kerana waktu berbuka semakin hampir.
Selepas terawih kembali ke cafe, menyertai Zakaria Ariffin dan A. Wahab Hamzah yang menanti dengan putu piring. Balik ke kamar kerana ingin menulis, tetapi kamar yang cantik dan sejuk itu menggagalkan jari-jemari untuk memegang pena. Ingin tidur tetapi tidak mampu tertidur.
Hari kedua, paginya saya ingin menulis, kerana ada satu esei yang harus disiapkan kerana terlanjur bersetuju dengan seorang editor sebuah majalah. Juga tidak berapa menjadi.
Petangnya keluar ke Bazar Ramadan di Kancung Darat mengekori Zakaria Ariffin dan A. Wahab Hamzah. Suasananya meriah sekali, jalan kiri dan kanan sendat dengan kenderaan. Macam-macam juadah. Satar dan otok-otok Pantai Timur, tetapi yang menjualnya orang dari Kempas, Johor. Ada nasi kerabu Kelantan dan keropok losong Terangganu. Sudahnya, saya tak beli apa-apa.
Kembali berbuka di hotel dan solat terawih di Masjid Jamek Jamaiyah Morib. Ada tazkirah pendek yang disampaikan ustaz muda. Lancar dan baik sekali cara penyampaiannya.
Hari ketiga, menjelang tengah hari tugasan kami pun selesai sementara. Saya berkemas dan memandu pulang tepat 12.45 dan tepat jam 2 tengah hari, saya dah sampai di KL.