Wednesday, March 31, 2010

Janji Yang Tidak Tertunaikan

Beberapa kali saya berjanji untuk tidak membeli buku lagi dengan isteri. Buku yang sedia ada sudah melimpah ruah dan sebahagiannya telah saya angkut ke rumah arwah ayah di kampung. Nampaknya rumah burung merpati kami, sudah tidak memiliki ruang lagi untuk menempatkan buku-buku dan lukisan saya. Sesekali terfikir juga untuk saya menyewa sebuah rumah demi hanya menempatkan buku-buku dan lukisan sahaja. Tetapi setakat ini belum menjadi sebagaimana yang difikirkan. Apabila singgah di kedai buku, saya selalu terlupa dengan janji untuk tidak membeli buku. Bahkan ada buku yang pernah dibeli, tetapi dibeli semula kerana buku-buku tersebut dipinjamkan oleh sahabat-sahabat terbaik saya yang terlupa ingin memulangkannya. Dan ada juga sahabat saya yang sengaja pinjam dan memang tidak ingin pulangkan buku tersebut.

Apabila Mac 2010 berakhir hari ini, saya menghitung jumlah buku saya sepanjang bulan ini. Puratanya saya telah membeli sebuah buku sehari! Ini termasuk beberapa buah yang dihadiahkan oleh sahabat-sahabat baik saya. Ini senarai buku saya sepanjang bulan Mac:

1. SM Zakir. Pascamoden: Kutukan Terhadap Agama dan Falsafah, Nusabuku: 2010
2. Muhsin Ali Hamid. Mutiara Ahlu Bait dari Tanah Haram, Madinatul Ilmi: 2009
3. Muhd Fuad Kamaludin. Kehalusan Anugerah, Sofa: 2008
4. Razak Mamat. Orakan Bicara, DBP: 2005
5. Suhaimi Hj. Muhamad. Apabila Malam Semakin Malam, SHM: 2008
6. Marsli NO. Di Negeri Mabok, Media Karya: 2010
7. Raja Masittah Raja Ariffin. Tokoh Pembinaan Bahasa Melayu Serantau, DBP: 2010
8. SM Zakir dll. Keranda 152, Gapena: 2010
9. Abd. Salam Muhd. Shukri. Dimensi Pemikiran Shah Waliyullah, UIA: 2007
10. Ilham Hamdani. Mekar Sakura di Mimbar Cinta, PTS: 2007
11. Sahlan Mohd. Saman. Sastera Malaysia Hubungan Dengan Sastera Nusantara, Mastera/DBP: 2005
12. Sy. Muhd Alwi al-Maliki. Keistimewaan-Keistimewaan Al-Quran, Mitra Pustaka: 2001
13. Mahyiddin Mastu. Abdullah bin Umar RA, Samara: 2009
14. Arena Wati. Cakera Waruga, UKM: 2006
15. Roselina Khir. Drama Pentas Dunia, UM: 2006
16. Suriani Abdullah. Serikandi, SIRD: 2005
17. Muhd. Fuad Kamaludin. Perisai Tiga Kekasih Allah, Sofa: 2009
18. Shahrir Mohd. Zain. Pembinaan Semula Teori Kepimpinan…UMT: 2008
19. Adi Rumi. Negara Zikir, DBP Brunei: 2010
20. Baharuddin HO. Takdir Itu Begini, DBP Brunei: 2010
21. Azizi Haji Abdullah. Beruk, Ameen: 2010
22. Ramli Awang. Syeikh Abdul Qadir al-Mandili...,UTM: 2008
23. Siti Hajar Che Man (Ed.) Resah Manusia Desa dan Kota,USM: 2010
24. Lat. 1 Malaysia, BSLN: 2010
25. Arena Wati. Endang Gulingku, UKM: 2010
26. Ana Faqir. Menyingkap Mistik Pulau Besar, Seribu Dinar: 2008
27.Mazlan Nordin. Tokoh dan Akhbar Melayu, UKM: 2009
28. Dinsman dll. Kumpulan Esei Budayawan Bertindak, PAKSI: 2010
29. Faisal Tehrani. Ingin Jadi Nasrallah, Ameen: 2010
30. D. Zawawi Imron. Gumam-guma dari Desa, Pustaka Hidayah: 2000
31. Sitor Situmorang. Toba Na Sae, Komunitas Bambu: 2004
32. Toha Mochtar. Pulang, Pustaka Jaya: 2000
33. Jahid Haji Sidek dll.Seminar Sufi 2009, Pej. Mufiti MP: 2009
34. Syah Waliyullah. Hujjah Allah al-Balighah, Serambi: 2005
35. Ignes Kleden (pengantar). Rendra- Ia Tak Pernah Pergi, Kompas: 2009


Inilah nampaknya janji saya yang tidak tertunaikan saban bulan!

Monday, March 22, 2010

Makan malam dan tazkirah

Sepulang dari Pesta Buku (Kanak-Kanak) Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC, saya menerima sms. Jemputan ke majlis makan malam di rumah seorang sahabat. “Datang, jangan tak datang.” Bila orang buat kenduri atau ajak makan, saya sering teringatkan sahabat Nabi SAW., Abdullah bin Umar RA. yang setiap kali akan berdepan dengan hidangan akan memanggil anak-anak yatim untuk makan bersamanya. Saya buat-buat ajak anak-anak, tetapi tak seorang pun yang ingin ikut. Selepas solat maghrib saya terus ke sana. Walaupun itulah pertama kali ke rumahnya, tetapi alamat rumah dan taman yang dismskan itu tidak sukar untuk saya mencarinya. Apabila sampai, hanya ada dua buah kereta di garaj. Betul ke ni, makan malam apa? Saya tekan loceng, dan pintu dibuka. Saya memberi salam dan dipelawa masuk.
“Tuan, mana tetamu yang lain?”
“Kami hanya menjemput tuan.”
“MasyaAllah dengan makanan yang sebanyak ini?”
“Apa salahnya sesekali kita makan besar.”
Lima anaknya kemudian keluar dan bersalaman dengan saya. Isterinya juga keluar menyambut ketibaan saya.
“Tuan, sebelum kita makan…ana nak minta tuan berikanlah tazkirah sikit untuk peringatan kami semua.”
“Saya tak sedia apa-apa. Tapi insyaAllah.”
Anak-anaknya duduklah di meja makan. Sahabat saya dan isterinya masih sibuk keluar masuk.
Uncle boleh tak, sampaikan tazkirah uncle dalam bahasa Inggeris?” soal salah seorang daripada anaknya.
“MasyaAllah” dalam hati saya.
“Kami semua mahir Inggeris uncle, bahasa Malaysia kami tak bagus, kami tak bercakap bahasa Malaysia kat rumah kami.”
“Bahasa Melayu nak, bukan bahasa Malaysia. Baguslah kalau kamu semua diajar dan diwajibkan berbahasa Inggeris, itu tandanya mama dan papa kamu amat maju sekali nak. Bersyukurlah kepada Allah SWT kerana memiliki mama dan papa yang sedemikian yang mementingkan masa depan anak-anaknya.”
Saya tidak dapat lagi menyembunyikan sebak saya. Rupa-rupanya sahabat saya ini tidak percayakan dirinya sendiri.

Thursday, March 18, 2010

Guruku Yang Pergi
(Tuan Haji Muhammad Omar)

sehelai daun digetus angin
sesedut udara terhenti sudah
sehembus nafas padam di sumbu
Yang Maha Kuasa
telah menjemputmu subuh ini
aku kehilangan kata

selembar sejadah terlipat di mihrab
bertasbih dan berzikir
halus kelarai buluh yang menjadi hijab
tabir yang memisahkan bukan muhram
jari senimu yang menganyamnya
bertasbih dan berzikir
mushaf yang kaubuka dan tutup
aksara bergumpal ke langit
bertasbih dan berzikir
azan yang menitir alun
doa qunut yang menusuk
bertasbih dan berzikir

rotan tersangkut di dinding itulah
yang mengajarku mengenal huruf
menunjuk aksara dan baris
sabdu dan harakat melentur di lidahku
kukhatam bacaan di depanmu

hari ini kau kembali
ke negeri abadi
matahari tegak
di atas kaabah
malaikat menangis
aku juga.

Rahimidin Zahari
Kuala Lumpur,
27 Mei 2004

Wednesday, March 17, 2010

Perahu Fansuri

ketika kukatakan
telah kulupuskan
segala kenangan,
tiba-tiba ada sms:
“tapi kenangan
tak boleh padam
kan?”


aku mungkin
tak pernah mendengar
ombak yang berdebur
di dalam dirimu;
dan aku?

kukayuh perahu Fansuri
ke laut Nun

Friday, March 5, 2010

Sembahyang

Saya sedang membaca kitab “Cahaya di atas Cahaya” tulisan KHM Zen Syukri, seorang Kiyai yang mencecah 91 tahun usianya. Beliau telah menulis banyak buku yang berasal daripada catatan kuliahnya di masjid Nurul Hidayah, belakang Pasar Cinde, Palembang. Apabila saya mencari karyanya yang lain di internet saya menemukan fbnya. Saya memohon menjadi “sahabat”nya dan beberapa hari kemudian beliau menerima saya. Selain “Cahaya di atas Cahaya”, beberapa buah bukunya yang lain amat menyenangkan saya.
Apabila beliau menulis mengenai “Menuju Sholat yang Maqbul”, “Sholat Orang Awam versus Sholat Orang Terpilih’, “Sholat: Pertemuan Di Medan Qodim”, “Meringankan Sholat Sunah Fajar”, dan “Sholat Sunah Tobat dan Doa-Doa” – sebak saya jadinya. Beliau menulis (2009:149); “Ketahuilah hai orang-orang yang ingin dekat dengan Allah bahawa batu ujian bagi orang sembahyang adalah hati. Iblis tidak akan mengganggu badan dan mulut, tetapi menganggu hati.” “Jika hati orang yang sholat tidak khusyuk, walaupun lidahnya fasih, gerak badannya sudah benar, hatinya tidak hadir kepada Allah. Lihat peringatan Allah di surat Al-Ma’uun.”
Membaca bukunya dari satu bab ke bab yang lain sepertilah saya sedang menyelak halaman buku diri saya sendiri. Saya menemukan di fbnya: “Barang siapa sembahyang, tetapi tidak mencegah dirinya dari perbuatan keji (jahat) dan mungkar, niscaya sembahyangnya itu tidaklah menjadikan dirinya bertambah dekat kepada Allah, melainkan bertambah jauh.”
Satu hari saya harus ke Palembang menemukan Kiyai yang seorang ini.

Wednesday, March 3, 2010

“Aku nak jadi pendakwah!”

Dia menemui saya di sebuah café. Saya meminta tea o kosong, dan dia meminta cocacola campur garam. “Di dalam atau di luar? Dalam aircond, luar panas sikit. Tapi kat akhirat lagi panas!” ucap saya kepadanya. “Kat luar saja bang, aku nak merokok.” Jawabnya tersenyum sambil membawa cocacola campur garam miliknya. “Bang, biar aku yang bayar.” Katanya. “Tidak,” kata saya. Ini tempat saya, saya yang harus membayarnya. “You tetamu saya, walaupun you yang nak jumpa saya, dan bukannya saya yang nak jumpa you.” Saya sengaja menyindirnya. Dia tersenyum. Entahlah, faham atau tidak minah ni.
Di luar café dia mula menyalakan rokoknya. Menyedutnya beberapa kali dan menghembus asapnya. Amboi rakusnya minah ni, dalam hati saya. “Apa yang you tak sabar-sabar nak cerita sangat tu?” soal saya. “Apa la abang ni, tak sabar-sabar. Tunggulah aku nak sedut rokok puas-puas dulu.” Saya biarkan dia sedut rokoknya sepuas-puas. Sebelah kakinya diangkat ke atas kerusi. Apa dah kena dengan minah ni?
“Abang kena tolong aku. Aku nak jadi pendakwah. Abang kena tolong aku dapatkan tauliah mengajar agama.”
Saya terdiam beberapa minit.
“You pergi la kat pejabat agama. JAWI atau JAIS, dia orang yang boleh keluarkan tauliah. Saya bukan penguasa agama.”
“Abang macam tak percaya aku. Walaupun nampak macam ni aku ni alim, abang tau. Aku ingin berdakwah kerana Allah.”
“Muqadam kamu dah khatam?” soal saya dengan suara yang paling perlahan.
“Dah”. Jawanya. Juga dengan penuh sopan.
“Fardu ain dah belajar?” soal saya lagi.
“Belum.” Jawapnya perlahan antara dengar dengan tidak.