Wednesday, December 31, 2008

Lelaki itu Rahimidin Zahari namanya mencatatkan biografi pendeknya pada 1 Muharram 1430 bersama 29 Disember 2008

Dia lebih banyak berdiam daripada melontarkan buah fikirnya. Sesekali marahnya kita sukar percaya, diakah yang suaranya antara dengar dan tidak? Tiba-tiba bertukar rupa, beralih sudah nada dan gaya.

Tak semua kawan-kawannya tahu tentang jalan fikirnya yang selalu bersilang; kecuali yang betul-betul kenal dan akrab menyelami batin dan memasuki rumah jiwanya. Dia dari dunia yang berbeza – bangsal wayang masa lampau, terjatuh di tepi jendala buku, tempat dia mengenal aksara dan melihat gunung; dan ketika itu dia terpukau pada lanskap alam ciptaan Tuhan.

Lelaki itu, Rahimidin Zahari namanya, yang selalu melakukan kesilapan untuk menjadikannya lebih teliti dan mengenal lakonan manusia. Kelemahannya yang ketara – dia jarang berkata tidak terhadap hal dan perkara yang seringkali tidak disukainya.

Dia tak dikenal oleh teman sepejabatnya, apalagi kepimpinan pandir politik tanah airnya. Dia bukan sesiapa, dan tidak pernah bercita-cita ingin menjadi apa-apa. Dia bersyukur dengan segala nikmat dan pinjaman-pinjaman yang tak terhitung oleh Dia, Yang Maha Berkuasa.

Aku titik

Dia menulis dan membacakan dirinya. Seorang sahabatku telah memberikan titik sebelum sempat bacaan itu dihabiskan. Buku sejarah telah ditutup. Aku tergamam seketika. Memahami amat akan maksud dan tamsilan. Menuliskan sesuatu di angin lalu, tentunya tidak berbekas apa pun. Sahabatku telah meletakkan titik sebelum kisahnya bermula.

Setuju atau tidak setuju

Setuju atau tidak setuju adalah dua hal yang berbeza. Masuk sekolah pondok atau lulusan luar negara (kononnya) akan melahirkan dua tipa yang berbeza. Soalnya, siapakah yang bodoh atau siapakah pula yang lebih bijaksana? Bijaksana itu diukur dengan lidah atau akal? Atau secantik wajah yang telah diplastikkan? Sukarnya untuk memahami sesuatu yang memang tidak wajar difahami. Bersetuju atau tidak bersetuju sajalah.

Penyair dan lukisan

Penyair menyukai lukisan. Pelukis yang menyair dan penyair yang melukis. Aku bukan pelukis, tetapi seringkali juga melukis sesuatu dari coretan hingga ke kanvas. Tapi, kata kawan-kawan aku penyair, bukan pelukis. Yang mereka tak tahu sebenarnya, penyair pun aku bukan! Sudah tu apa? Tak perlu tahulah.

Nyamuk

Dibukanya lampu di dalam kamar tidurnya, dan dipanggilnya sekian nyamuk yang menghuni di seluruh longkang di taman perumahan tempat dia tinggal. Kenapa nyamuk? Hisaplah darahku yang manis, katanya.

Buku

Sepanjang Disember 08 saya telah mengumpulkan 40 buah buku. Baru beberapa buah yang habis baca, dan ada sebahagiannya belum dibuka plastiknya. Ada beberapa buah yang dihadiahkan oleh kawan-kawan. Sebuah buku cerpen dihadiahkan oleh Pak Budi Darma yang singgah di pejabat saya bersama Malim Ghozali Pk dan Mohamad Daud Mohamad pada 22 Disember. Buku terbaru Pak Budi berjudul “Laki-Laki Lain Dalam Secarik Surat”. Manakala U-wei Haji Saari menghadiah sebuah buku Mario Vargas Llosa yang berjudul “The Way to Paradise”.





Saya, Budi Darma dan Malim Ghozali PK