Thursday, July 31, 2008

Saya Memanggilnya, Ayah Ku!

Akhirnya dia berangkat menemui Yang Maha Pencipta. Pada Sabtu, 14 Jun 2008 dia beria-ria ingin menemui kami, Sutung Umar RS dan saya di IB. Dan dia sampai selepas maghrib. Kami memberinya dua pilihan, sama ada untuk menonton P.Ramlee The Musical atau bersama-sama perkena teh di Laman Santai. Kalau menonton, dia inginkan kami masuk bersamanya. Tetapi akhirnya dia memutuskan ingin ke Laman Santai. Dan kami berada di meja Media dari jam 8.30 hingga 11.30 malam. Ada banyak cerita yang kami bicarakan. Paling terkesan, dia menyebutkan bahawa selepas setiap kali berdoa selepas solat, dia panjatkan doa untuk sahabat-sahabat baiknya. Abdulaziz HM dan Abdullah Tahir, seringkali disebutnya. Bahkan setiap kali bertemu, dia akan mengulanginya.

Ahad, 27 Julai yang panas di Hospital Serdang. Dia ingin berbicara dengan payah. Anggukan dan bahasa matanya membuatkan saya amat mengerti. Sebak itu saya simpan jauh di ujung kalbu. Seboleh mungkin saya cuba sembunyikan daripada Shamsudin, mahupun Ridzuan. Ada banyak cerita dan ada nasihat peribadinya untuk saya. Malam tadi, berakhirlah sudah cerita dan nasihatnya. Saya tak akan temui lagi orang yang boleh ‘memarahi’ saya.

Apabila menerima sms Syed Zakir pada jam 12.01 minit malam tadi, saya terus menelefon Sutung. Dan kami terus ke Bangi bersama Amiruddin dan Saleeh Rahamad. Sewaktu bersila di tengah surau membacakan Surah Yasin awal dinihari, saya tidak sesebak ini. Barangkali tak ramai kawan penulis yang tahu panggilan saya untuknya. Hanya Syed Zakir yang tahu, saya memanggil abahnya sebagai Ayah Ku. Entri ini terpaksa saya hentikan di sini…Al-Fatihah.

TENTANG SEORANG YANG BERNAMA AMIN SWEENEY
oleh:
Rahimidin Zahari

Amin Sweeney seorang Irlendia. Ketika masih remaja dia sampai di Malaysia. Menjadi guru dan mengambil HSC di Kelantan. Dalam dunia akademik, dia tokoh besar. Gelar profesor emeritus dalam bidang pengkajian Melayu dianugerahkan oleh Universiti California, Berkeley, Amerika Syarikat, tetapi kini dia menetap di Jakarta, tetapi masih warganegara Malaysia.

Ketokohan dalam bidangnya pasti tiada tandingan setakat ini. Buku-buku kajiannya tentang budaya, menarik dan memikat untuk diteliti. Buku-bukunya antara lain seperti Malay Shadow Puppets (British Muzium:1972), The Ramayana and The Malay Shadow (Universiti Kebangsaan Malaysia: 1972), A Full Hearing, Orality and Literacy in the Malay World (University of California Press: 1987), dan A Malay Word Music (Dewan Bahasa dan Pustaka: 1994) dijadikan bahan kajian dan rujukan yang bermakna apabila berbicara mengenai dunia sastera lisan dalam kesusasteraan Melayu.

Buku-buku tulisan dan penyelidikan Amin Sweeney selalunya serius. Dia mengajak kita untuk berfikir dan menilai tentang isu yang dibicarakannya. Tentang sarjana yang seorang ini, ada banyak sisi menarik yang boleh dipelajari daripadanya. Pertama dia tidak suka kepada gelar-gelar kebesaran (termasuk gelar akademik). “Aku senang dipanggil Pak Cik, atau Encik Amin…”

Dia barangkali antara contoh mat salih yang telah sebati dengan budaya dan kehidupan Melayu. Dia merendah, dan tidak bercakap bahasa Inggeris pun dengan saya. Bahkan dia lebih senang menggunakan loghat Kelantan yang pekat, negeri yang menemukannya dengan pelbagai kemungkinan kehidupan budaya.

Wayang Kulit, menjadi kepakarannya, bahkan selepas 50 tahun merdeka, kajian Amin Sweeney masih unggul sehingga kini. Tentang Wayang Kulit Kelantan, sehingga kini belum ada kajian yang lebih baik selain yang pernah dikerjakan oleh Amin. Ketika kajian itu dibuat, Amin menyatakan dia telah temui 300 orang dalang Wayang Kulit di Kelantan. 300 orang! Ini membayangkan betapa meriahnya suasana seni wayang kulit ketika itu. Berbanding hari ini, dalang yang ada di Kelantan (yang masih aktif) tidak sampai 10 orang. Betapa dalam jarak waktu tidak sampai 40 tahun, kesenian wayang kulit menjunam menuju kepada titik pupus.

Bertemu beliau di cafĂ© Hotel Mandarin Court, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur, memberikan beberapa sudut pandangan yang menarik. Malaysia baru menyambut kemerdekaan tanahair yang ke 50, lampu masih berkerlip di bangunan tinggi seluruh ibu kota, dari puncak tertinggi sehingga sampai ke tingkat paling bawah. Bendera jalur gemilang juga berkibar sepanjang jalan. Beliau menyatakan, “Bangsa aku dijajah 800 tahun, bangsa kau baru 400 tahun.” Maksud mudah yang saya faham, isilah kemerdekaan itu dengan penuh makna dan tanpa disia-siakan.

Dia menghulurkan buku barunya Karya Lengkap Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi Jilid 1 (Kepustakaan Populer Gramedia: 2005). Buku ini menarik kerana Amin memberikan tafsiran yang lain kepada Abdullah. Abdullah biasanya dihukum sebagai talibarut Inggeris, dan pelbagai tafsiran yang buruk oleh sarjana Melayu. Mereka marahkan Abdullah yang menegur segala tingkah dan perangai orang Melayu yang kononnya suka makan benda-denda yang busuk, dan rumah yang kotor. Tentang tulisan dan catatan Abdullah ada yang memuji melangit dan ada yang mengeji. Ramailah sarjana dan orientalis yang menulis tentang karya Abdullah. (catatan lama 2 tahun lepas).

Catatan tambahan:

Selepas pertemuan itu, Amin datang lagi ke Kuala Lumpur beberapa kali. Dan terbaru Amin sampai ke Kuala Lumpur pada Ahad lepas, dan malamnya kami keluar minum di Seksyen 16 Petaling Jaya. Petang semalam Amin singgah di Istana Budaya dan akan kembali ke Jakarta pada petang ini. Kalau dua tahun lepas saya dihadiahkannya dengan Karya Lengkap Abdullah bin Abdul Kadir Munsi Jilid 1, kini saya menerima dua jilid sambungan buku itu dengan judul Jilid 2 Puisi dan Ceretera (KPG: 2006) dan Jilid 3 Hikayat Abdullah (KPG:2008)

Temuan kajian Amin tidak. Banyak tulisan Abdullah disunting dan diubah. Abdullah menulis dengan jujur, tetapi banyak tulisannya dilupuskan oleh suntingan yang tidak bertanggungjawab. Dan ramai pengkaji merujuk karya-karya Abdullah yang telah disunting. Penemuan karya asal Abdullah oleh Amin membuka cakerawala baru. Abdullah bukan budah Inggeris. Abdullah cerdik. Abdullah genius. Seolah-olah bangsa Melayu memerlukan munculnya orang seperti Abdullah.

“Yang baik aku royat baik, yang tak baik aku royat taik!”

31 Julai 2008


Tuesday, July 29, 2008

Ciuman

Tentang ciuman ini ada banyak tanggapan. Ciuman kasih sayang berbeza dengan ciuman bernafsu. Kata sahabat saya, ciuman itu satu penghormatan yang tinggi seseorang kepada seseorang yang lain. Nampaknya dalam kehidupan orang Malaysia hari ini, bercium-ciuman bukanlah hal yang luar biasa lagi. Di tempat sunyi mahu pun di tempat awam, orang yang macam Melayu(?) ini sudah tidak segan silu lagi untuk bercium-ciuman. Yahudi yang kita pelihara di dalam rumah kita nampaknya telah berjaya mengajar kita ilmu cium mencium ini. Soalnya, bagaimanakah kalau yang dicium itu bukan muhramnya? Bersalam-salaman bagi yang bukan muhram itu jelas dan nyata haramnya, tentulah bercium itu lebihlah lagi. Teringat saya akan Islam Hadhari.

Petua Berkahwin Dua

Seorang kawan saya, pensyarah di salah sebuah universiti tempatan memberikan petua berkahwin dua selepas makan tengah hari pada satu hari minggu yang entah bila, saya lupa.

“Ada petua ke?” tanya saya.

“Ada.Dan saya telah amalkan.” Tegasnya dengan muka yang serius.

“Iya?”

“Kau nak cuba?”

Saya gelak.

“Mudah saja kawan. Bila kau berada di rumah isteri pertama, kau lupakan isteri kedua. Bahawa yang kedua itu tidak pernah wujud, sakit minum, makan pakainya anggaplah tak ada. Bayar bil, sewa rumah, ke pasar beli sayur biarlah dia pandai-pandai sendiri. Begitulah kalau giliran di rumah yang kedua, anggaplah pula yang pertama tidak ada. Mudah kan?” dengan bersungguh dia menjelaskan kepada saya.

“O..begitu..” kata saya.

“Lagi satu aku nak pesan, kalau pagi minggu berderet-deret dengan bini kau ke pasar tani atau pasar minggu beli sayur, jinjing raga ikan, tak usahlah kau nak beristeri dua.” Nasihatnya pula.

Dan saya, seperti juga sahabat saya Haji Shamsudin Othman tentulah gagal untuk mengamalkan petua kawan pensyarah ini kerana kami apabila hari minggu sama-sama menjinjing raga ikan ke pasar minggu. Tapi tak tahulah pula dengan sahabat kami, SM Zakir?

Beristeri Dua

Saya teringatkan ustaz kawan baik saya yang pernah menasihati kawan baik kami yang berhasrat ingin beristeri dua.

“Kalau kau nak kahwin juga, jangan berfikir dengan 100 kali, tetapi berfikirlah seribu dan beribu-ribu kali. Selepas itu kau buatlah keputusannya. Kerana yang ingin berkahwin itu kau dan bukannya aku.”

Selepas menerima nasihat itu, kawan saya itu teruskan juga hasratnya untuk berkahwin. Tetapi tidak sampai dua bulan dia datang menemui saya.

“Aku telah silap. Isteri kedua aku terdapat 40 kekurangan berbanding dengan isteri pertamaku yang cantik dan amat baik.”

Dan saya diam tak memberikan apa-apa komen.

Monday, July 28, 2008

Damai Di Kampung
Rahimidin Zahari
Konsep Ogos 2008





Friday, July 25, 2008

Air Mata Dalang

Saya tak tulis cerpen sudah 10 tahun. Selalunya cikgu saya, penyair Rosli K. Matari setiap kali berjumpa akan mendesak saya suruh tulis cerpen. Tulislah juga dua tiga baris, lepas itu tak menjadi. Terkejutlah juga bila Malim Gozali PK sms dah baca Air Mata Dalang. Saya hantar dan tak fikirpun akan disiarkan. Apabila berhenti lama dan ingin memulakan kembali, saya bermula dengan langkah yang pertama. Tapi Malim Gozali PK sendiri lagi lama berhentinya dah 14 tahun. Sekarang dia menulis semula. Saya lampirkan cerpen saya yang tersiar di Dewan Budaya, Ogos 2008


Koleksi Lukisan Saya


Saya kolek dua koleksi baru. Pertama potret SN A. Samad Said (2006) karya Aris Aziz dan keduanya Sketch Book pelukis Nur Azmi Mukhtar (2008).

Potret A. Samad Said adalah antara lukisan potret Aris Aziz yang menyimpan beribu rahsia dan tafsiran. Renungan wajah di dalamnya jauh dan sayu menggambarkan masa lampau. Renungan yang menyimpan nilai estetika dan bancuhan inteltual seorang sasterawan dalam garis dan warna seorang pelukis. Cara Aris menyorot wajah A. Samad dari sisi, dengan palitan yang ditebalkan pada wajah. Warna perang dan suram seolah-olah merenung sisa-sisa dan kesab dahsyatnya perang masa lalu yang pernah dialaminyua secara reality. Wajah itu adalah wajah yang merenung dan amat membenci perang yang kita temui dalam novel-novelnya seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau dan Adik Datang. Potret A. Samad Said ini adalah potret yang menceritakan tentang nasib bangsa di masa lampau, dan sebuah perenungan dunia kesenian, sastera dan budaya Melayu di masa hadapan.

Sketsa Nur Azmi tentulah sebagaimana pelukisnya, Si Mi Mambo di Kuala yang berubah-rubah watak dan gaya. Dia melukis seada akan segala masa lampaunya yang hilang. Walaupun mempunyai degree dari UiTM, tetapi dia meneruskan karya seni lukisnya yang berbeza dengan teman-teman yang berkelulusan yang sama. Nur Azmi melukis apa yang ingin dilukisnya, dan dia sama sekali tidak ingin terikat dengan apa yang dipelajarinya.

40 buah Puisi

Saya sedang menulis 40 buah puisi, dan separuh daripadanya telah pun saya selesaikan. Sebelum berakhir tahun 2008 ini, doakan saya berjaya menyelesaikan penulisannya. Saya sertakan sebuah puisi pendek:

Sajak Kambing Hitam

Kesian kambing putih
yang telah kauhitamkan
yang tertinggal
embeknya yang
tidak lagi
kedengaran.

6 Julai 08
JB-KUL
7.15pagi.


Wednesday, July 16, 2008

Kupadamkan Sejumlah Nama

Kerana tidak ingin berhutang apa pun
termasuk rindu dan dendam
kupadamkan sejumlah nama.

Kutinggalkan sebaris kesepian jauh di ufuk
sambil membaca catatan demi catatan
yang tidak terhapus juga oleh hujan.

Tidak ada sesal selepas membuat pilihan
kerana keputusan bermula dari kejernihan
hati dan perasaan.

Kupadamkan sejumlah nama
yang penuh santun dan manis
memberiku duri, racun dan belati.

Dan aku tidak pernah menangis
kerana aku tidak berhutang apa pun.

15 Julai 2008

Tuesday, July 15, 2008

Dari Catatan Lama:
Mencari Teman Yang Beriman dan Bertakwa

Saya menerima pesanan SMS daripada guru saya dari Kota Bharu, Ustaz Abdulhadi Muhamad. “1. Pastikan dalam sehari kita punya masa untuk baca dan menatap Al-Quran. 2. Berbuat baik dan senangilah hati orang lain…seboleh-bolehnya janganlah menyulit atau menyusahkan mereka, kita dikasihi Allah.” (25/9/04) jam 20:10:52. InsyaAllah apa yang diperingatkan oleh beliau, telah pun saya mulakan. Sebagai hamba, kita seboleh mungkin untuk berbuat baik, tetapi mulut ini biasanya tidak tahan juga dengan sindiran. Halus dan tajam. Sesekali rasa ingin dijawab, melebihi daripada apa yang diperlekehkan.

Tak sampai sebulan kemudian saya menerima lagi pesanan SMS daripada beliau, “Assalamualaikum. Saudaraku, tingkatkan amalan pahala di bulan Ramadhan, baca Al-Quran dan bersedekah. Bersahabatlah dengan orang yang beriman dan selalulah makan bersama orang yang bertakwa.” (19/10/04) jam 11:34:00.

Menerima pesanannya membuatkan saya termenung dan berfikir panjang. Betapa Kuala Lumpur ini pusat segala aktiviti dan kegiatan daripada yang sebaik-baik sehinggalah kepada yang sejahat-jahatnya. Hanya Allah Yang lebih Mengetahui. Betapa susahnya saya untuk mencari sahabat yang beriman dan untuk duduk makan bersama orang yang bertakwa di Kuala Lumpur.

Duduk sendirian saya terkenangkan guru dan sahabat-sahabat saya di Kota Bharu. Apabila masa terluang saya akan mengunjungi (atau paling tidak membuat panggilan telefon) dengan Ustaz Yusoff Abdul Hamid (kami memanggilnya Ustaz Mujahid), Ustaz Mohamad Mahmud (Pengarang Pengasuh - yang saya panggil Ustaz Pak Jak), Ustaz Abdulhadi Muhamad, Ustaz Muhammad Uthman el-Muhammady dan beberapa lagi. Tentunya hubungan kami amat akrab. Bukan sahaja makan bersama, sebagai orang yang lebih muda, saya lebih banyak mendengar dan menerima.

Apabila menjadi guru di Kota Bharu, malam-malam tertentu tidak saya lepas untuk mengikuti kuliah tafsir dan hadis. Kuliah tafsir Ustaz Muhamad Mustafa, kuliah hadis Ustaz Shukri Muhammad (Timbalan Mufti Kelantan) dan kuliah Mingguan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat jarang saya lepaskan. Saya memperolehi satu keseronokan. Pernah saya bawakan teman-teman saya ke rumah Tuan Guru Nik Abdul Aziz, saya terus bawa. Walhal Tuan Guru bukanlah kenal saya, tetapi teman-teman saya cukup respect, mereka kata saya baik dengan Tuan Guru.

Apabila berpindah ke Kuantan, sempat berkenalan dan agak rapat dengan beberapa ustaz di sana. Ustaz Idris Haji Ahmad kebetulan sama seinduksi di INTAN, Ustaz Rasid Muhamad (UITM Jengka), dan juga Ustaz Kahar Abdul Aziz. Kebetulan di rumah ayah saudara isteri, Haji Zakaria Jaafar (Pengarah BPR Pahang) ketika itu sering diadakan kuliah. Saya selalulah dijemput, kawan-kawan dari jabatan lain agak hairan, bagaimana saya boleh berada di situ dan mengangkat hidangan makanan.

Berpindah ke Pulau Pinang, lain lagi. Seronok apabila berpindah dan tinggal di Balik Pulau, kawasan yang kita tidak banyak kawan dan saudara mara. Orang yang kita kenal di masjid semuanya menjadi sahabat dan saudara. Kita hampir tidak dikenali. Walaupun tidak lama, hanya 3 tahun di Balik Pulau – itu pun tiga kali berpindah rumah dari Taman Pondok Upeh, ke Titi Teras dan berakhir di Lebuh Sungai Burung, bersebelahan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya. Sewaktu di Titit Teras, saya menjadi kariahnya. Untuk pulang ke rumah, saya harus melewati jalan kecil yang betul-betul melintasi di hadapan Masjid Titi teras.

Kuliah dan acaranya saban minggu. Selepas kuliah atau terawis kami duduk rapat-rapat menjamah hidangan. Seronok dan penuh dengan nilai persahabtan. Sebulan sekali Ustaz Taib Azamudin akan menyampaikan kuliahnya di masjid Titi Teras. Saya biasanya jarang melepaskan peluang ini. Awal-awal sudah datang dan bersedia untuk mengikuti kuliahnya. Kalau kuliah biasa, adalah tiga empat puluh orang, tetapi apabila Ustaz Taib, masjid hampir penuh. Di luar seperti ada Pasar Malam, dengan jualan pelbagai jenis makanan, pakaian, kaset, cd dan kitab-kitab agama.

Di USM pula agak beruntung, saya terus daftarkan diri sebagai pelajar minor untuk Pengajian Islam. Bergurulah saya dengan Ustazah Zaleha Muhamat (telah kembali ke rahmatullah dan al-fatihah untuknya) dan Ustaz Muhd Radzi Othman. Segala yang terbuka saya langsung akan menemui Ustaz Radzi untuk bertanya apa yang terbuku. Dan beliau amat terbuka dan lebih melebarkan lagi sudut pandangansaya.

Di waktu yang lain, kami dibawa oleh Dr. Zakaria Ali untuk bertemu dengan Dr. Kassim Ahmad di dusun duriannya dekat Kulim. Kami pergi, dan kawan saya Azian Fauzi tidak melepaskan peluangan, menyoal Kassim, membetulkan tafsiran ayat hadis dan Quran. Tahulah saya, ilmu agama bukan untuk dihujah dan dinilai mengikut logikakal. Islam merupakan amalan anutan yang bertalian dari Allah.

Apabila di Kuala Lumpur, waktunya habis di atas jalan sesak. Saya termenung dan terfikir, alangkah baiknya kalau saya memilih untuk pulang menetap di kampung. Tanah tapak rumah sudah ada. Di rumah ayah,pun tinggal bertiga, dan rumah ibu mertua tinggal seorang.

Ramai kawan yang saya temui tidak seperti di Kota Bharu, Kuantan atau Balik Pulau. Ramai yang mulutnya manis, tetapi hatinya Tuhanlah yang mengetahui. Ramai yang tahu dan pandai agama, cakapnya mengalah mufti dan ulama. Tetapi amalan hanya di bibir, bukan pada perlaksanaan. Saya terus termenung dan berfikir untuk mencari kawan yang beriman, dan memang ingin makan bersama kawan-kawan yang bertaqwa.


22/10/2004

Kuala Lumpur

Monday, July 14, 2008

USMAN AWANG [12 Julai 1929-29 November 2001 ]
Rahimidin Zahari

Seperti Chairil Anwar, Usman Awang juga telah meninggal. Yang ditinggalkan segumpal sajaknya yang sukar lupus. Sajaknya diulang-ulang baca dan diulang-ulang dengar. Bahkan setiap hari sajaknya disiarkan di corong radio salah sebuah stesen ternama di Malaysia. Mendayu dan sayu. Dia pun pada zamannya menjadi idola ramai anak muda yang kepingin menjadi penyair atau menjadi penulis. Dia pengasuh yang baik. Dia abang yang memiliki ramai adik-adik. Dia guru kepada ramai penyair.

Zaman kecilnya yang sukar dan gelap menjadikannya manusia peka dan sensitif. Kehilangan ibu dalam jarak usia yang relatif teramat muda. Berpindah dan menumpang kasih ke rumah ibu saudara. Belangkas dan ikan-ikan di pantai Mersing lebih lama mengenalinya, meski pun jejak dan bekas tapak kaki kecilnya telah lama dihapuskan oleh hembasan ombak dan titisan hujan. Tetapi pastinya yang tidak akan hapus adalah sejumlah sajaknya. Sajaknya akan terus kukuh dibaca dan dikenang. Namanya akan sentiasa disebut-sebut.

Sajak-sajaknya terus hidup dan berkalung. Sajaknya puitis dan romantis. Kepada perempuan yang menjadi Kekasih dibisiknya:

Akan kupintal buih-buih
menjadi tali
mengikatmu
akan kuanyam gelombang-gelombang
menjadi hamparan
ranjang tidurmu

Dia penyusun bahasa yang pandai dan bijaksana. Halus jiwanya, lembut teratur susun katanya. Dia menyindir dengan santun. Tamsilnya tentang Melayu indah sekali:

Melayu itu maknanya bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka

Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipupun bersopan.
Berani jika bersalah
Takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Dia menciptakan lagenda dan mitos tersendiri untuk dirinya dan sastera Melayu. Sempadan cinta kemanusiaannya luas melebar, melepasi ruang angkasa raya. Sajaknya sejak dulu sudah pun global. Lebih dahulu daripada kecanggihan dunia tanpa sempadan yang diwar-warkan kini. Dia mengirimkan Salam Benua ke negeri dan benua yang jauh:

I

mereka memisahkan kita
pasport wilayah segala tembok nama
mereka merompak kita dengan undang-undangnya
peluru dikirimkan dalam bungkusan dollarnya
kita dipaksa memilih salah satu
dan kita mesti memilihnya
tiada jalan lain.

“Di DBP, kita sudah tak ada orang macam Keris dan Tongkat,” keluh Baha Zain suatu petang beberapa tahun lepas di Rumah Pena kepada saya. Saya terkenangkan Usman. Sajak-sajak dan juga orangnya. Tak banyak yang saya boleh tulis pengalaman peribadi dengan beliau. Waktu saya mulai menulis, dia sudah pun pencen dari DBP. Dia sudah uzur dan jarang keluar ke majlis dan sebarang acara sastera.

Pertama melihat susuknya sewaktu hari Sastera di Kuantan tahun 1987. Saya masih di Tingkatan Enam ketika itu, mengambil cuti sekolah ikut rombongan Persatuan Penulis Kelantan (PPK) ke Kuantan kerana ingin jadi penyair. Di Taman Gelora, Usman Awang berbicara tentang puisi. Saya melihatnya dari jauh. Dan pada tahun tahun 1995, sewaktu Hari Puisi di Johor, dia anugerahkan Anugerah Penyair Johor dan saya hadir ke majlis tersebut. Pada tahun 1998 pula, di Temerloh (kebetulan saya mulai bertugas di Pahang) sewaktu pelancaran Memoir Pak Sako, dia yang telah pun uzur ikut sama hadir.

Saya yang hadir tiba-tiba dijemput untuk membacakan sajak di majlis tersebut. Saya bacakan sebuah sajak Latiff Mohidin yang ditujukan kepada Pak Sako dan sebuah sajak saya sendiri dari kumpulan Sekepal Tanah. Acara pun berlangsung, sejam setengah kemudian acara pun selesai.

Orang politik, birokrat dan penulis tanah air pun berbaris keluar Dewan Majlis Perbandaran Temerloh untuk pulang. Saya menepi memberi laluan. Usman Awang, penyair yang Sasterawan Negara itu menghampiri saya, menyalami dan mengucapkan tahniah. “Bagus bacaan tadi,” katanya kepada saya. Saya diam, tertegun dengan ucapan itu dan mengangguk. Begitulah seniman ternama tidak pernah merasa dirinya dikalahkan oleh kelahiran orang muda. Dia menjadi tukang kebun yang menyiram dan membajai bung-bunga. Dia menjadi lilin dan cahaya.

Pejuang Sastera, Anugerah Sastera Negara, Doktor Persuratan, dan Seniman Agung hanya anugerah yang dihulurkan oleh tangan yang memberi. Namun, apapun yang gelar yang dikalungkan kepadanya, atau kepingan anugerah yang dihulurkan tidak mampu membalas sumbangan dan jasanya yang besar dan bermakna kepada peradaban dan tamadun bangsa negara ini.

Seniman, meskipun jasadnya telah lama tiada, sumbangan karya yang ditinggalkannya akan sentiasa menjadi ingatan sejarah yang kekal abadi untuk bangsa. Dia bukan sahaja milik orang-orang Melayu, tetapi penyairan kebanggaan semua bangsa yang merasakan Malaysia ini bumi lahir dan tanah darah dirinya. Usman merupakan jambatan sastera dan kepenyairan yang merangkai tiga kaum terbesar di negara ini menjadi satu.

Dan pada 12 Julai 2008 telah diadalah acara Malam Sebutir Bintang Dalam Kenangan di Institut Terjemahan Negara Malaysia. Anak cucunya hadir, para teman dan sasterawan juga ikut serta. Paling terkesan apabila Datuk Rahim Razali tampil sebagai Jebat dan Zakaria Arifin tampil sebagai Tuah dari sedutan karyanya Matinya Seorang Pahlawan. Saya tertegun dengan ucapan dan dialog-dialog. Alangkah kalau karya itu dipentaskan semula secara penuh, atau mungkin sahaja Muzikal Uda dan Dara itu dipentaskan semula. Terpulang kepada waktu.

Usman Awang dan kawan-kawannya termasuk A. Latiff Mohidin antara yang mengasaskan penerbitan majalah Dewan Sastera yang masih berterusan sehingga ke hari ini. Tetapi sayangnya, sepanjang tiga tahun saya hadir ke majlis memperingatinya, saya tidak pernah terserempak dengan kawan-kawan dari Dewan. Mungkin nama Usman Awang telah terpadam segala budi dan jasanya di Dewan. Tetapi Horison di Indonesia masih mencatatkan nama Moechtar Lubis, HB Jassin, Zaini, dan nama-nama pendiri majalah tersebut. Tetapi biarkanlah, kita pulangkan kepada sejarah dan waktu jugalah untuk menentukannya.

Friday, July 4, 2008

Selamat Pergi dan Selamat Kembali

Selamat kembali ke tanah air untuk sobat-sobat saya, Zakir, Sham, Amir dan Saleeh yang mencari sesuatu di Kediri, Jawa. Mungkin dah ditemui apa yang dicari, dan kalau pun tidak ketemui apa-apa, tidak mengapa. Boleh pergi dan kembali lagi. Walaupun saya tidak ikut serta, tetapi kebersamaan itu tetap ada. Ha. Ha.

Berita Gembira

Semalam Malim Ghozali PK bertamu dengan beberapa berita yang baik untuk perkembangan sastera tanah air. Dia sedang menulis dua novel serentak. Sebuah sedang diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris. Redang dan Janji Paramaribo telah dicetak semula oleh DBP. Dia bercadangkan untuk melancarkan 3 buah buku barunya pada 30 Ogos ini. Kita nantikan kehadiran semula sasterawan yang telah menghilang selama 14 tahun dari jagat asastera dan muncul kembali dengan keindahan susunan kata-kata dan alun bahasanya. Dan dia juga sedangkan merancangkan sesuatu yang besar untuk sastera tanah air. Kita doakan beliau berjaya.

Beauty And The Beast

Berlangsung di Plenary Hall, KL Convention Centre. Kami menonton pada 1 Julai. Tempat duduk saya di Level 1, Door Center, Row DD dan seat 43. Harga tiketnya RM250. Sebanyak tu dah dapat beli tiga bulan beras. Beras mahal. Sebelum ni RM17, sekarang dah naik RM37.90. Kami duduk sederet, ada yang lentuk ke kanan dan ada yang lentuk ke kiri. Ada dengkur halus dan ada yang kasar. Yang gelak pun ramai. Ramai Melayu yang menonton. Mungkin beli tiket dan mungkin dapat sponsor kot. Bagus ke show tu? Tanya seorang kawan. Saya tak menangis. Juga tak sedih. Saya menonton untuk berfikir, bukan untuk berhibur. Dalam muzikal ini, saya nak fikir apa? Mari kawan-kawan kita buat Muzikal Pak Pandir, Muzikal Lebai Malang, Muzikal Si Luncai dan lagi….dan lagi…biar sampai muntah-muntah.

Maaf saya memang tak suka muzikal Barat. Muzikal saya, Makyung je.

Panggilan Telefon

Minggu lepas, pada hari yang sama, saya terima dua panggilan daripada dua orang Sasterawan Negara. Pertamanya daripada SN Dato Noordin Hassan yang selalu membahasakan dirinya sebagai cikgu. Dan saya pun memanggilnya cikgu. Biasanya apabila setiap kali menerima majalah Pentas yang kami kirimkan, beliau akan telefon memaklumkan. Dan saya menunggu skrip terbarunya yang akan dihantarkan untuk Pentas. Keduanya daripada SN Prof. Muhammad Haji Salleh, katanya dia berada di Aswara membentangkan kertas kerja. Dan kami hampir tiga tahun tidak bertemu, dia cuba menghubungi saya, tetapi nombor yang ada padanya gagal berfungsi. Saya hadir pada malamnya untuk menemui beliau. Teringat saya bahawa kami berdua pernah membuat penyelidikan pantun di Balik Pulau, Pulau Pinang dan di Cuping, Perlis. Tetapi koleksi pantun saya belum selesai….

Dan ada lagi panggilan daripada Wak Khalid, jauh dari Kediri, Jawa. Kapan kembali ke tanah air ya Wak?

Tuesday, July 1, 2008

Semuanya pinjam-pinjaman

Akhirnya saya kembali kepada diri saya sendiri. Bahawa tidak ada yang kekal abadi selain Dia Yang Maha Esa. Maka semua makhluk kejadian, adalah pinjam-pinjaman. Keangkuhan, kesombongan, kekayaan, kekuasaan akhirnya tidak akan ke mana. Dialah juga akhirnya, hujung jatuh dan tempat berserah. Apalah daya dan upaya seorang hamba yang hina lagi daif ini. Semuanya benda dan sifat pada dirinya adalah pinjam-pinjaman Allah SWT untuk sementara waktu. Termasuklah juga nafas yang bila-bila pun boleh diambil-Nya kembali.

Betapa banyak yang Kau berikan

Betapa banyak yang Kau berikan dan betapa sedikitnya aku, hamba-Mu ini bersyukur. Nikmat yang Kau anugerahkan selamanya tak akan terbalas. Nikmat mata, nikmat telinga, nikmat lidah, nikmat suara, nikmat makan dan minum. Nikmat segala-galanya yang tak terhitung oleh amalanku yang amat sedikit. Aku hamba-Mu yang alpa dan lalai. Kewarasan akhirnya memberikan aku untuk merenung jauh dan jauh. Apakah yang lebih baik selain tunduk bersyukur dan melaksanakan kewajiban yang menjadi taklif di bahu setiap insan?

Apa yang diberikan, diambil-Nya kembali

Apa yang diberikan, diambil-Nya kembali. Diambilnya sedikit demi sedikit. Rambut yang hitam, ditumbuhinya putihan uban. Gigi yang kukuh kuat, tiba-tiba terserpih kerana tergigit pasir kecil. Matapun merenung jauh lama ke skrin komputer mahupun ketika membaca sms di skrin telefon bimbit. Aksara dari buku yang dibaca menjadi kelabu dan kabur. Nescafe dan teh tarik yang harus dijauhi kerana angin yang menyesak seharian suntuk.

Nyiru dan bangkai gajah

Semakin moden dan semakin maju, kita menjadi semakin lupa kepada diri sendiri. Semakin diberi kuasa, semakin itulah kita ingin menakluki kuasa. Fitnah dan tujuh dosa besar sekian lama menjadi amalan, saban hari dan saban ketika. Berulang-ulang. Kita pun suka untuk melakukannya. Berulang-ulang. Bersambung, bercabang dan beranting-ranting. Keimanan semakin kurus dan kecil. Selebihnya tamak dan rakus semakin kaya dan gemuk. Amalan itu pun semakin membesar dan membiak di dalam daging dan di dalam darah. Kita pun mengambil nyiru yang kecil untuk menutup bangkai gajah yang besar.

Koleksi Terbaru

Koleksi terbaru saya sebuah potret yang dihasilkan oleh pelukis Aris Aziz dari bengkel potret di BSLN dari 2 hingga 7 Jun yang lalu. Potret Aida (2008) dilukis semula oleh Aris Aziz berdasarkan karya asal Dato Hoessein Enas, Aida (1966). Karya asal menggunakan pastel, tetapi Aris Aziz melukis semula menggunakan cat minyak. Saya tak banyak mengumpul potret, tetapi saya menyukai karya ini kerana ia dilukis semula selepas 42 tahun. Paling penting Aris Aziz adalah salah seorang murid terbaik Hoessein Enas. Dan inipun tidaklah untuk bermegah-megah dan berbangga. Hanya sekadar kegemaran sementara, selagi Dia memberikan keindahan perasaan untuk mentafsir dan menilai erti daripada silang-silangan kehidupan.

"Aida 2008"
Aris Aziz

"Matahari Di Sabak 2008"
Rahimidin Zahari