Dalam melaksanakan amal ibadat kepada Allah S.W.T., niat adalah paksi paling utama dan penting dalam melaksanakan sesuatu ibadat untuk Allah S.W.T.. Tanpa niat, amalan itu tidak akan sampai ke mana-mana. Setiap amalan yang wajib mahupun sunat, harus diseiringkan dengan niat. Tanpa niat, solat wajib kita tidak sah. Begitu juga dengan segala bentuk amalan kita harus bermula dengan niat. Umpamanya apabila kita masuk ke dalam masjid, menunaikan solat sunat masjid, solat wajib dan kemudiannya duduk membacakan al-Quran, tetapi tanpa niat iktikaf di dalam masjid – maka pahala iktikaf itu tidak akan dapat. Niat itu merupakan lintasan di hati. Sama juga setiap hari, kita lalai dan sering terlupa.
Amalannya nampak kecil dan remeh. Tetapi natijah pahalanya amat besar dan menjadi kerutinan yang akan menjernihkan perjalanan kehidupan harian kita. Dengan kaki manakah, kita melangkah ke tandas dan bilik mandi setiap hari? Dengan kaki manakah kita melangkah keluar rumah menuju ke tempat kerja? Apabila melangkah masuk ke masjid, kaki kanan atau kaki yang sebelah kiri yang mendahului kita? Kadang-kadang kita terlupa kepada itu semua, kerana betapa sibuknya kita kepada dunia.
Sedangkan kata ustaz, “Dunia ini sesuatu yang tidak boleh mendatangkan manfaat, faedah kepada kita sebaik kita mati. Akan tinggal semuanya, harta benda dan anak pinak yang kita sibukkan. Kita akan pergi ke sana, ke hadapan-Nya dengan sebatang karah tanpa membawa sebarang harta dan anak pinak. Yang akan menjadi peneman untuk sekujur jasad yang tidak bernyawa itu hanya amal ibadat, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat semasa hidupnya di dunia. Yang lain-lainnya – pangkat, darjat dan kedudukkan akan hilang lenyap. Harta kekayaan itu tidak akan dibawa bersama ke dalam kubur dan akan menjadi pusaka kepada anak-anak. Kalau anak-anak itu, anak-anak yang soleh dan beriman, maka alhamdulillah untuk ibu dan bapanya. Tetapi sekiranya anak-anak itu pula, anak-anak yang ingkar dan tidak patuh kepada hukum-hakam Allah S.W.T. maka balanya juga akan diterima oleh ibu dan bapanya.”
Apabila melangkah masuk ke dalam masjid dengan kaki kanan serta doa masuk masjid, begitu juga apabila keluar dengan langkah kaki kiri dan doa keluar masjid. Sama juga apabila masuk ke dalam tandas dengan langkah kaki kiri serta doa dan apabila keluar dengan melangkah kaki kanan serta doanya.
Ramadan baharu sahaja berlalu dan kita tanyakan kepada diri kita, apakah sama tingkah laku dan kehidupan harian kita sebelum Ramadan, semasa Ramadan dan selepas Ramadan? Kalau sama, ertinya tiada apa-apa titik perubahan dalam kehidupan kita untuk menjadi lebih baik dan kita tiada lebih sebagai muslim yang mewarisi baka daripada keturunan keluarga. Tetapi kalau perangai dan tingkah laku kita telah berubah, menjadi lebih baik daripada sebelumnya, maka itulah petanda Allah S.W.T. menyayangi dan mengasihi kita.
Paling mudah, kita harus mengambil sikap untuk sentiasa takut dengan segala dosa dan apa yang dilarang oleh Allah S.W.T.. Ketakutan dan sikap awas diri itulah sebagai benteng untuk kita sedar bahawa diri kita ini adalah hamba dan sebagai hamba, maka dia wajib tunduk dan patuh kepada Tuan-Nya. Tuan-Nya adalah al-Khalik yang mencipta langit dan bumi daripada tiada kepada ada dan Dia jugalah yang akan meleburkannya apabila telah sampai detik dan ketikanya. Selagi kita berasa seronok dengan dosa, dengan kelalaian terhadap tanggungjawab hakiki kita untuk tunduk dan patuh kepada-Nya, selagi itulah kita tidak takut dan gentar akan Kekuasaan-Nya.
Untuk takut dan gentar kepada Allah S.W.T., kita tentunya memerlukan ilmu, iman dan amal. Ilmu itu pula adalah ilmu yang bermanfaat yang boleh memandu kita ke jalan yang lurus untuk kemantapan iman. Tidak semua ilmu yang kita cari dan perolehi itu akan memantapkan darjah iman kita, sebaliknya ada ilmu yang akan memesongkan akidah dan meruntuhkan keimanan kita.
Dengan ilmu, maka kita akan beriman dan sudah tentu anugerah Allah S.W.T. yang paling besar adalah nikmat iman. Tanpa ilmu dan tanpa iman, orang tidak akan ke masjid. Hanya dengan ilmu dan sentuhan bening air keimanan seseorang itu akan lembut hati dan jinak kakinya untuk melangkah ke masjid. Dengan kejituan ilmu dan iman, maka dia akan beramal. Tanpa ilmu tidak mungkin akan tumbuh iman dan tumbuhnya pohon amal. Jadi ketiga-tiga itu harus seiring untuk menjadikan diri kita sebagai insan kamil. Yang kenal dirinya dan kenal akan Pencipta-Nya.
Tanpa ketiga-tiga itu, maka hidup kita berada di dalam kerugian. Disebabkan kejahilan, keimanan kita lemah. Untuk memperkuatkan iman, maka kita memerlukan ilmu. Ilmu dan amal itu akan menjadikan kita disebut sebagai alim. Tetapi sekiranya kita ada ilmu, tetapi kita tidak beramal dengan ilmu yang kita ada, maka darjat kita juga tidak berubah. Kita sama sahaja dengan orang yang jahil kerana gagal memanfaatkan ilmu. Iman membuahkan amal dan kita beramal atas dasar keimanan kita kepada Allah S.W.T. dan insyaAllah, iman akan mendorong kita untuk sentiasa berbuat baik.
Moga-moga hidayah-Nya itu, Allah S.W.T. campakkan ke dalam hati-hati kita untuk terus beriman dan beramal kepada-Nya. Dengan niat dan tujuan yang tulus ikhlas itu, mohon Allah S.W.T. sentiasa membukakan pintu hati dan kalbu kita kekal beriman kepada-Nya kerana Dialah Allah yang awal dan yang akhir.
No comments:
Post a Comment