Monday, March 26, 2012

CATATAN MANILA

Tiba di Hotel Nikko Manila Garden, agak terkejut juga apabila nama Marsli NO dan nama saya tidak ada dalam senarai peserta. Dua nama yang mewakili Malaysia masih lagi Imlan Adabi dan Soibil Madun. Setelah Lim Kim Hui selaku ketua rombongan bersusah payah memperjelaskan kedudukan sebenar, kami akhirnya diberikan bilik.
Lim di bilik 745, Marsli di bilik 746, Inzura di bilik 736, dan saya diberikan bilik 750. Kami membayangkan bahawa kami akan di tempatkan dua orang sebilik dengan peserta dari negara yang lain. Ini tentunya selaras dengan pertemuan ini untuk memasyarakatkan puisi ASEAN.

Saya hampir terlena di bilik hotel, dan kami dimaklumkan oleh urusetia agar turun ke lobi kerana beberapa peserta dari negara lain telah pun tiba. Di lobi hotel, kami sempat bersalam dengan Taufiq Ismail, dari Indonesia dan Asmin, dari Singapura bersama dengan rombongan mereka.

Demi menjimatkan kos, kami akhirnya sepakat untuk berkongsi bilik. Saya pindah ke bilik Lim Kim Hui, Marsli bersama peserta Thailand, dan Inzura bersama peserta wanita dari negara Indonesia. Setiap negara diwajibkan membentangkan kertas negara masing-masing dan anggota rombongan pula disyaratkan menyediakan 10-15 puisi dan sebuah esei pendek dalam bahasa Inggeris yang bertemakan “Community Through Poetry”.
Haji Isa Shahminam (Brunei) membentangkan kertasnya “Community Through Poetry”, Taufiq Ismail (Indonesia) dengan kertas “Intro To Indonesian Poetry”, Lim Kim Hui Malaysia) dengan “The Status of Poetry in This Rapidly Changing World: A Look into the Development of Modern Malay Poetry and its Relation with the Society”, Romulo P. Baquiran Jr. (Filipina) dengan kertas “The Long Poet’s Journey Into The Colonial Labyrinth”, Simon Tay (Singapura) dengan kertas “The State And Status Of Poetry In Singapore Writing In The Margins: A New Generation Of Poets” dan Sukhkon (Thailand) dengan kertas “A Brief Survey of Thai Poetry”.

Setelah ketua rombongan membentangkan kertas negeri masing-masing, kami telah dipecahkan kepada tiga kumpulan. Kumpulan Pertama terdiri daripada Haji Isa Shahminam (Brunei), Ampuan Haji Brahim Ampuan Haji Tengah (Brunei), Agus R. Sarjono (Indonesia), Marsli NO (Malaysia), Asmin (Singapura), Romulo Pascual Baquiran Jr. (Filipina), Roberto T. Anonuevo (Filipina) dan Lichong Chorrojprasert (Thailand).
Kumpulan Kedua pula terdiri daripada Theerasarts Phaireephinas (Thailand), Simon S.C. Tay dan Teo Sum Lim (Singapura), Lina Sagaral Reyes (Filipina), Rahimidin Zahari (Malaysia), Taufiq Ismail dan Acep Zamzam Noor (Indonesia) dan Hajah Nor Rahmat Sidin (Brunei).

Seterusnya, Kumpulan Ketiga terdiri daripada Lim Kim Hui dan Inzura Haji Kosnin (Malaysia), Shaharah Dato Paduka Haji Abd. Wahab (Brunei), Abidah El Khalieqy (Indonesia), Ralph Semino Galan (Filipina), Lau Wai Mun (Singapura), dan Sukhon Polpatpicharn (Thailand).

Berdasarkan kertas kerja negara dan kertas pendek, hampir semua negara membentangkan tentang sejarah puisi di negara masing-masing. Hanya Malaysia yang cuba setia pada tema yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur. Begitu juga dari segi penghantaran peserta, hanya Malaysia dan Filipina yang menghantarkan penyair muda yang berusia 40 tahun ke bawah. Manakala negara lain tidak mengikuti sangat syarat tersebut.
Sepanjang bengkel, saya agak beruntung kerana berada di Kumpulan Dua yang terdiri daripada penyair-penyair terkenal di negara masing-masing. Taufiq Ismail adalah penerima SEA Write Awards (1994) bagi negara Indonesia, dan terkenal dengan antologi Tirani dan Benteng. Acep Zamzam Noor juga penyair muda sekali gus pelukis Indonesia yang cukup aktif, dan telah pun menerbitkan antologi perseorangan seperti Tamparlah Mukaku (1982), Dayeuh Metapoe (1983) dalam bahasa Sunda, dan bakal terbit Sejumlah Tempat dan Nama-nama.

Lina Sagaral Reyes seorang wartawan wanita yang cukup jelas memperjuangkan feminis, juga telah menerbitkan dua antologi puisi, iaitu Storya (1991) dan Honing Weapons
(1987). Simon Tay dari Singapura telah menerbitkan Prism (1980, 5 (1985) dan Stand Alone (1991). Teo Sum Lim dari Singapura dengan kumpulan puisi Cerveless Moon (1989) dan Ten Extinetions (1994), kedua-duanya dalam bahasa Mandarin. Manakala Theerasarts dari Thailand dalam usia 28 tahun telah menerbitkan 6 buah antologi perseorangan, dan salah sebuah dripada antologi tersebut telah diulang cetak sebanyak 5 kali.
Di sepanjang bengkel berlangsung, kami diberikan tiga tajuk utama untuk dibincangkan, iaitu:
i. The Promotion of Poetry on a National and Regional Basis, Inluding Government and Coporate Support, Formal Education, Media, Transalation and the Establishment of a Literay Network,
ii. Development Issues and Human Relationships, dan
iii. Poetry and Nature.

Kumpulan kami lebih memberikan tumpuan kepada tajuk “Poetry and Nature”, dan hanya menyinggung secara sepintas tentang tajuk satu dan dua. Saya sempat mendengar Pak Taufiq bergumam, “alangkah baiknya pertemuan begini, kita hanya berbicara tentang puisi dan dunianya.” Kami masing-masing memilih dua buah puisi sendiri, membacanya untuk ahli kumpulan. Kemudian diceritakan latar belakang diri dan pendidikan, lalu dihubungkan dengan proses kreatif penulisan puisi masing-masing.

Kertas pendek yang masing-masing kami sediakan juga ikut disinggung di dalam sesi bengkel ini. Perbincangan menjadi menarik, walaupun kami dari negara yang berbeza, tetapi mempunyai latar yang hampir sama. Umpamanya Lina, Acep, Theerasart dan saya, kami seakan membesar dalam tradisi kampung, lalu hadir ke tengah masyarakat dengan jambak-jambak puisi.

Lina, wartawan feminis yang pernah sakit dan hampir menemui ajal, membesar di kampung sebuah pulau yang terpencil dari kota besar. Acep yang membesar di kalangan teman-teman santri di pasentren milik ayahnya di Tasikmalaya, Theeresarts, lulusan Sinematografi dari Moscow yang begitu setia pada tradisi ‘kloan’, puisi tradisi bangsanya. Manakala Simon Tay, peguam yang menulis puisi Inggeris, langsung tidak tahu berbahasa Mandarin. Pertembungan budaya dari negara masing-masing tercurah di sini dalam bahasa percakapan para penyair.

Hari ke dua di Makati, saya sempat ke National Book Store dan membeli beberapa buah buku seperti A Boy’s Will and North of Boston Robert Frost, Olvidon and Othre Stories F. Sionil Jose, Anna Karenina Leo Tolstoy, Muslim Separatism W.K. Che Man (mengingatkan anaknya pernah menjadi pelajar saya), dan Coversations With F. Sionil Jose, ed. Miguel A. Bernad.

Hari ke tiga, sebelah malam ada jamuan makan malam di Poolside Hotel Nikko Manila Garden dengan ditaja oleh National Commission for Culture and the Arts. Selepas makan malam, acara dimulai dengan persembahan tradisional dari pulau-pulau di Filipina, dengan membawa tempurung dan dihadapkan kepada teman-teman dalam bulatan lalu berdoa untuk kesejahteraan. Selepas acara itu, tiap-tiap negara mempersembahkan acara masing-masing. Kami dari Malaysia mempersembahkan cuplikan pendek persembahan Bageh bersama Marsli NO sebagai Tok Bageh, Lim Kim Hui sebagai pesakit dan saya sebagai Minduk.

Hari ke empat sebelah petang, kami dari Malaysia bersama-sama peserta Brunei dan Pak Taufiq dengan dipandu oleh Jay Bautista, kami ke sebuah restoren Islam di Jalan Padre Faura, Ermita. Maklumlah saya sejak di sini baru sekali menyuap nasi ke mulut. Selebihnya makan roti dan buah-buahan sahaja. Selepas makan kami menyusur jalan menuju ke Rizal Park. Pandangan kami seakan digetus sayu dengan anak-anak Manila tidur di skeitar Rizal Park dengan tikarnya tanah dan bumbungnya langit. Di Teluk Manila pula, penghuninya tidur di atas pokok dengan membuat buaian antara satu pokok ke pokok yang lain.

Hari ke lima diadakan pula acara makan malam di Fountain Room The Manila Mandarin Hotel dengan The Manila Bulletin sebagai penajanya. Kami dari Malaysia dan Brunei duduk semeja dan hanya meminta sayur dan roti. Marsli NO dan Lim Kim Hui mempersembahkan sajak masing-masing untuk malam tersebut. Lim membacakan “Schindler’s List II” (apologi Buat Steven Spielberg) dan Marsli NO membacakan “Di Malam Menyembut Kemerdekaan, Aku Tidak Ingin Menjadi Monyet”.

Sajak Marsli sepanjang empat halaman dengan aksi teaterikal itu agak asing bagi penyair Filipina, apabila juru acara yang juga salah seorang peserta Filipina menganggap bacaan sajak oleh Marsli sebagai persembahan teater, bukannya baca sajak. Dan beliau sendiri membacakan puisi yang cukup tidak enak bagi kami, sebuah puisi gay yang tidak bersopan. Pulang ke Hotel malam itu, saya sempat ke sudut majalahnya dan membeli Jose Rizal: His Life and Times yang berharga 90.00 peso.

Petang ke enam, kami diberikan ruang yang agak panjang. Kami ditawarkan 100 peso seorang untuk perjalanan menjelajah Manila. Satu rombongan akan ke Mega Mall dan satu romnongan lagi memilih Solidaridad Book Shop. Saya, Marsli dan Lim memilih Solidaridad. Perjalanannya ke sana cukup membosankan kerana jalannya yang cukup sendat, tambahan pula juru tunjuk kami, Elsa agak kurang arif berbanding dengan Jay.
Kami sampai di Ermita, ke Solidaridad Book Shop, dan saya sebenarnya memulakan puasa pertama di Manila setelah menerima panggilan Haji Isa Shahminam dan Shaharah dari Brunei yang mengkhabarkan berita tersebut. Sewaktu teman-teman mulai naik ke tingkat tiga, iaitu kediaman F. Sionil Jose, saya masih mencari-cari bilik air kerana sakit perut. Saya yang terakhir naik ke atas, dan apabila masuk saya bersalam dengan Sionil dan beliau terus bertanya dari Malaysia? Saya terus mengangguk dan melepaskan salam kami.

Rombongan dihidangkan dengan kacang dan jagus goreng yang nampaknya cukup rangup. Saya dan Pak Taufiq hanya menelan liur kerana kami telah memulakan Ramadan pertama di sini. Dalam percakapan singkat itu, Sionil menegaskan sebagai penulis kita harus memiliki idealisme dan prinsip. Beliau berani mengkritik Marcos sebab beliau tidak bekerja dengan kerajaan. Beliau bekerja sendiri. Dan di Filipina, Sionil bukanlah satu nama yang dominan, kata beberapa teman yang sebengkel dari sana.

Sedangkan bagi kami di Malaysia, Sionil yang menerima anugerah Magsasay itu cukup hebat. Sionil menghadiahkan setiap tamu dengan majalah Solidarity, edisi khusus “New Vioces In Southeast Asia” January-Mac 1991, yang terdapat tulisan penulis-penulis dari Malaysia. Kemudian Sionil bertanya berapa orang dari Malaysia, kami katakana tiga, lalu beliau memberikan kami Solidiraty, January-June 1994, kerana di dalamnya terdapat tulisan tentang penulis Melaysia kata beliau.

Di kedai buku Sionil, saya membelikan tiga buah buku, Midnight Children Salman Rushdie, Hotel Du Lac Anita Brookner dan Memoirs Peblo Neruda dengan nilaian 913.15 peso. Dari ke dai buku Sionil, kami harus balik ke hotel kerana teman-teman dari Indonesia akan dijemput oleh kedutaan mereka berbuka puasa. Manakala kedutaan Brunei pula membiayai keseluruhan bayaran hotel peserta negara mereka. Kedutaan Malaysia, hanya sanggup menerima kedatangan kami sekiranya hadir pada waktu pejabat. Mana mungkin, kerana acara kami penuh. Dalam hati kecil saya, terlintas, ah, penyair bukanlah penting untuk negara!

Hari ke tujuh di Manila, kami diwajibkan untuk mengikuti Cultural Trip ke Tagaytay. Awal-awal lagi kami dipesankan supaya membawa jaket tebal kerana hawanya yang sejuk di sana. Puasa saya masuk hari ke dua di sini, bersahor dengan roti dan magi yang diberikan oleh Shaharah dari Brunei dan juga bekalan sambal bilis dari Inzura.
Sepanjang jalan ke Tagaytay, di kiri kanan jalan, ladang jagung berjalur, pohon-pohon mangga yang sedang memutih bunganya. Sepanjang kiri dan kanan jalan juga dipenuhi gerai-gerai kecil tempat menjual jagung rebus dan buah mangga. Saya beberapa kali terlelap, tetapi selalu terkejut dengan ocehan Acep, “penyair besar ngak bias tidur, hanya penyair yang cikgu selalu tidur!”

Sampai di Tagaytay yang perjalanan biasa 1 ½ jam telah menjadi 3 jam lebih kerana jalan sendat dengan kenderaan. Sewaktu teman-teman naik ke restoren di Tagaytay City, saya ikut sama naik ke tingkat tiga untuk menatap keindahan Taal Lake, turun kembali ke bawah. Di bawah, saya dan Haji Isa Shahminam serta isterinya yang kurang sihat dibawa ke sebuah banglow di pinggir bukit, menghala ke Taal Lake. Suasananya cukup indah, mengingatkan saya kesejukkan di Frazer Hill, dan Cameron Highland. Taal Lake, seperti juga Danau Toba terbentuk sebuah pulau di tengah-tengah akibat letupan gunung berapi.

Masuk ke bungalow tersebut, yang kemudiannya saya diberitahu tempat itu sebenarnya Hotel Aurelio Tagaytay City, dengan palang salib dan di ruang tamunya dipenuhi patung-patung. Kerana keletihan, saya terlelap seketika. Sehinggalah teman-teman yang berada di restoren ke mari, mereka menantikan makan malam. Saya pula menantikan waktu berbuka.

Seorang demi seorang membacakan sajak mewakili negara masing-masing. Saya berbuka dengan mineral water dari Haji Isa dan buah kurma yang dibawakan Shaharah. Inzura membacakan puisinya, “Seorang Ibu Tua”, Marsli dengan sajak pendek “kata tidak”, Lim memilih untuk tidak membaca, dan saya juga. Makan malam yang ditaja oleh Avil Publishing itu diikuti dengan jualan buku sajak penyair Filipina. Saya sempat membeli antologi penyair Danton Remoto Skin Vioces.

Hari ke lapan, sebelum bertolak pulang saya dan Marsli masih sempat ke National Book Store, dan sempat membelikan dua buah buku A Potrait Of The Artist As A Young Man James Joyce dan Leaves Of Grass Walt Whitman.

Sepanjang di Manila, juga menerima beberapa buah buku dari teman penyair ASEAN. Dari Agus R. Sarjono Kenduri Air Mata, dari Lina Sagaral Reyes Storya, Ampuan Haji Brahim Ampuan Haji Tengah , novel Pamor, dari Shaharah Rindu Buat Seorang Ibu dan Teo Sum Lim Curveless dan Ten Exinetions yang kedua-duanya dalam bahasa Mandarin.

Paling tidak, Manila telah memberikan pengalaman pelbagai menemui teman-teman penyair dari negara-negara ASEAN. Saya menulis sebuah puisi yang saya judulkan sementaranya, “Dari Rizal Park ke Tagaytay”:

pada ladang
jagung berjalur
kugenggam
hamburan gerimis
pada bunga
mangga memutih
kugenggam
sisa luka

sepanjang jalan
langit manila
berbintik jelaga

sekecil sapu tangan
kulipat kesedihanku
menjadi abadi

manila adalah sosok
anak-anak telanjang
dengan mata dahaga

malam menjadi subur
oleh suara
kolong langit,
pohon bertaut
kotak berenjer
dan padang terbuka;
inilah rumah kita.

Terima kasih kepada Dewan Bahasa Bahasa dan Pustaka yang telah memberikan kepercayaan memilih kami untuk mewakili negara ke sana. Dan terima kasih juga kepada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia, melalui program COCI yang memungkinkan program ini dijalankan.

27 Jan. - 3 Feb. 1995

3 comments:

  1. Sdr. Kamaruddin, terima kasih kerana sudi singgah dan membacanya.

    ReplyDelete
  2. Menarik....
    Acep menjadi sahabat yang sering saling berhubungan setelah kami bertemu di manila pada tahun 86. Dan kalau tidak salah saya, kita kenal juga melalui Acep - sewaktu dia ke KL (walaupun saya sudah kenali sdr melalui Gema Membelah Gema dan Sekepal tanah).

    ReplyDelete