Monday, September 5, 2011

CATATAN DI HARI RAYA KE 7

Selamat menyambut hari raya puasa. Mohon ampun dan maaf atas segala kekhilafan sepanjang umur kehidupan. Banyak yang ingin ditulis sehinggakan tidak tertulis.Saya pulang berhari raya di kampung halaman. Jalan sesak seperti selalu. Untuk sebuah rumah terdapat lebih daripada sebuah kereta yang pulang. Di halaman rumah ibu saya terdapat 10 buah kereta. Seorang adik saya tak balik, dan seorang lagi masih belajar dan belum berkereta. Hal yang sama juga terjadi di rumah-rumah yang menjadi jiran kami.

Kerana jalannya sesak, saya hanya menziarahi saudara mara yang dekat-dekat dengan rumah ibu dan rumah ibu mertua saya. Paling jauh menziarahi nenek saya yang rumahnya betul-betul di belakang Masjid Kubang Kerian. Kemudian ada beberapa kenduri, 'anak saudara' sebelah biras dan sepupu yang kahwin. Itu pun tidak jauh.

Tengah hari Syawal pertama, negara kehilangan Tuan Guru Datuk Paduka Hj Hashim Abu Bakar, Mudir Pondok Pasir Tumbuh. Kepulangannya dalam usia 88 tahun hanya disedari oleh para pencinta ulamak dan ilmu. Kepulangannya tidak menjadi isu kepada negara kerana kepulangan ulamak hanya dititiskan air mata oleh orang yang tahu dan faham bahawa Allah swt telah menarik keistimewaan-Nya.

Pencinta bahasa Melayu sejati juga kehilangan Datuk Haji Hassan Ahmad, bekas Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka. Dan kehilangan itu juga bukanlah menjadi isu negara, dan pastinya tiada siaran langsung di mana-mana tv. Yang terasan dan sebak hanya oarng-orang yang menyayangi bahasanya.

Moga Allah swt menempatkan mereka di sisi para syuhadah.

Sebelum kembali ke Kuala Lumpur, saya sempat menziarahi Tuan Guru Haji Abdullah Mujahid, di Lubuk Jambu dengan membawakan tiga buku puisi untuknya. Kesihatannya agak terganggu kerana masalah buah pinggangnya dan beliau terpaksa berulang alik ke Hospital Kota Bharu seminggu 3 kali. Berkali-kali Tuan Guru memohon maaf kerana terpaksa bercakap dalam keadaan terbaring. Tetapi semangatnya untuk membangunkan Islam tidak pernah padam dari jiwanya. Dewan Syeikh Daud Al-Fathoni di hadapan rumahnya telah berlangsung pelbagai aktiviti Islamik, termasuk kelas tahfiz. Beliau dan anak-anaknya sendiri yang mengajarnya. Di sebelah Dewan Syeikh Daud, masih dalam pembinaan asrama 2 tingkat untuk pelajar tahfiz perempuan. Sebelum pulang, beliau menghadiahkan saya salinan Tesis Sarjana oleh Aminah Yasalae yang mengkaji antologi puisinya "Di Gapura Takwa".

No comments:

Post a Comment