Tuesday, June 22, 2010

ORANG AWAM YANG KELIRU

Tiga minggu lepas saya terjumpa sebuah buku tulisan Prof. Dr. Hamka dengan judul "Sebuah Polemik Agama TEGURAN Suci & Jujur Terhadap MUFTI JOHOR" (Pustaka Dini:2009). Beli dan membacanya beberapa ketika. Saya petik mukadimahnya:

"Ama ba'du, buku ini saya tulis sekali-kali bukanlah hendak mencari pertentangan perlawanan dan jauh daripada maksud permusuhan. Hanya semata-mata hendak memberi peringatan atas beberapa kesalahan yang timbul daripada shahibul fadhillah was samahah as-Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad, mufti negeri Johor dalam keterangan beliau membantah kaum muda.

Beliau adalah merdeka buat membantah dan menolak fahaman dalam agama Islam yang tiada beliau setujui dan berlainan faham terhadap masalah agama kalau kita pandai membawakannya menjadi rahmat bagi umat Islam, tetapi di dalam pertukaran fikiran itu jika timbul kecurangan dan kebohongan maka berlainan pendapat itu akan membawa mudarat dan fitnah terhadap umat. Padahal bukanlah itu yang kita kehendaki."

Orang awam yang baru-baru ingin berjinak dengan agama-Nya menjadi keliru dengan permasalahan kaum muda dengan kaum tua atau kini lebih dikenali sebagai Wahabbi dengan Ahli Sunnah Waljamaah ini. Tetapi saya tidaklah terkeliru. Membaca buku ini saya segera teringatkan "MEMOIR ARENA WATI - Endang Gulingku" (UKM: 1991). Arena Wati seorang Sasterawan Negara. Saya petik tulisan Arena Wati di dalam memoirnya itu pada halaman 442:

"Ketika Buya Hamka tiba di Pustaka Antara, datanglah Harun Hassan, Othman Abdullah, Hassan Haji Muhammad dan Nik Hassan (dari Jabatan Perdana Menteri). Beliau menduduki kerusi Encik Aziz. Hati saya terlalu sakit melihat sikap Encik Aziz yang begitu tenang sahaja. Maka saya majulah ke hadapan:
"Buya sudah bukan buya lagi -Hamka! Betulkah Buya cuma terima kain pelekat dan jam Rolex dari Pustaka Antara?"

Beliau pernah tinggal lama di Makasar, dan beliau arif tentang sikap orang Makasar dalam hal-hal maruah dan kebenaran, dan sekarang dia sedar bahawa di hadapannya ada seorang anak Makasar, dan berkata tegas kepadanya. Buya Hamka tunduk sahaja.

Saya melihatnya hanya seperti seekor semut. Saya sanjung dia sebagai ulama. Saya hormati dia sebagai orang tua. Saya kagumi dia sebagai pengarang. Tetapi saya jijik melihatnya sebagai pembohong. Dia sudah menghasut orang-orang Minang di sini."

Kali ini saya bukan lagi orang awam yang keliru. Saya benar-benar keliru. Kepada siapakah agaknya saya ingin bertanya tentang kekeliruan saya? Kerana ketiga-tiga tokoh besar yang terlibat dalam petikan ini, semuanya telah berada di alam yang lain. Peminat buku yang belum membacanya harus membaca kedua-dua buku ini.

8 comments:

  1. Ada pun pertentangan antara Kaum muda dengan kaum Tua sangat sengit pada tahun 30-an sehingga kini. Kaum muda sangat dibenci oleh ulama tradisional dan Kaum muda juga membenci ulama tradisional yang rapat dengan raja-raja melayu. maka mereka pun bergerak di negeri-Negeri Selat sahaja dengan bebas di bawah pengaruh Inggeris. itu sebab Kaum muda sangat menyanjung Inggeris yang sengaja mahu melihat orang Melayu berantakan. Boleh baca tesis Sidek Fadhil tentang Syaikh Muhammad Abduh. saya ada salinannya.saya juga menulis hal ini sedikit dalam tesis saya yang belum tahu nasibnya itu.

    ReplyDelete
  2. sheikh mufti,
    ya ampun ana tak fahamlah, fenin fenin kepala berpusin pusin otak jadi kunin lah baca enta punya entrilah. Aduh keliru

    ReplyDelete
  3. tak tahu nak komen, tapi nak tulih juga (kurang2 ada dalam sejarah macam amirudin selalu buat)

    ReplyDelete
  4. Tuan,
    ehhhhhmmmmm. Sekurang-kurang tercatat juga dalam sejarah sb tak boleh komen banyak2 takut dituduh JI pula.

    ReplyDelete
  5. Bung Saleeh, terima kasih. Ana nak pinjam tesis tentang Syeikh Abduh itu.

    ReplyDelete
  6. Suluk,
    kena belajar memahami,kena tahu antara ahli bidaah dengan ahli sunnah.

    ReplyDelete
  7. Syeikh Sham,
    tuduhan-tuduhan ni biasa. Zaman Nabi ada Abdullah bin Sabak, ada Abdullah bin Ubai. Kenal dan bersila di depan Nabi SAW. Zaman kita ni zaman fitnah, 1431 tahun jaraknya dengan zaman Nab SAW hijrah. Hafaz sebuah dua hadis dah berasa ulamak,masuk mana-mana institusi akan menjadi barah untuk memusnah institusi tersebut. Menyesatkan khalayak awam.

    ReplyDelete