Melayan Perasaan
Malam tadi melayan perasan dengan menonton Keroncong Kasih di Dewan Filharmonik. Teman saya tentulah SM Zakir dan Haji Shamsudin al-Johori. Kalau saya membuat pilihan seat atau kalau diberikan seat, saya memilih view yang terbaik untuk sahabat-sahabat saya. Kalau tidak saya memilih untuk tidak hadir.
Nak ajak Bung Saleeh, dia di luar negara mencari sejarah leluhurnya. Lutfi, dia ahli falsafah dan tak sempat nak berhibur. Duan, orang baik yang pulang ke rumah ibu mertuaku memenuhi cuti sekolah dan puluhan kenduri kahwin. Luqman Quek tak angkat telefon, sibuk kayuh basikalnya keliling Sungai Buluh sebab dia ada 4 buah basikal. Semuanya yang mahal-mahal.
Selepas menonton, kami mencari char kuey teow (entah betul ke ejaannya?) yang kononnya terbaik di KL. SM Zakir dapat 15 ekor udang, bayangkan!
Malam ini tak ada ulasan. Seronok atau tak seronok, terhibur atau tak terhibur itu hal yang lain. Hanya yang ada malam ini debat dan fatwa-fatwa sastera Malaysia yang demam. Orang selalu menyalahkan panel Hadiah Nobel Dunia di Sweden dengan segala macam lobi dan tak layaknya panel yang tidak membaca. Apa yang berlaku di negara sendiri pun sebenarnya tak banyak berbeza. Ada yang tak layak dapat, tetapi telahpun diberikan, dan ada yang tak layak jadi panel, dipanelkan. Ada yang melobi kerana berkeinginan. Dan paling tolol dalam sejarah sastera Malaysia, harus menyediakan biodata sendiri dan mencalonkan diri sendiri. Patut dilelong sahajalah institusi yang bertangguhjawab itu di uptown atau di mana-mana pasar malam. (Ini kata-kata saya.) SM Zakir dan Haji Sham tak kata, dia orang dengar. Kawan saya ni orang baik-baik.
Jam 1 pagi saya memandu balik ke rumah, dan menjelang pagi begini tak sampai lima belas minit, saya sudah sampai di rumah.
Tak sempat nak pasang cd Abeda Parveen, Nusrat Pateh Ali Khan pun atau Maria Callas.
No comments:
Post a Comment