Friday, October 2, 2009

SEBUAH SAJAK ASAL ROSLI K. MATARI

Kasihku Pada Pattani karya Rosli K. Matari yang mengharukan untuk gurunya Ustaz Mujahid Adil. Rosli juga adalah guru tingkatan enam saya yang mengajar Bahasa MELAYU dan Pengajian Am lebih 22 tahun yang lalu. Seperti hubungan Rosli dengan Mujahid, begitulah juga nampaknya hubungan saya dengan Rosli –guruku yang menjadi sahabat. Memandangkan versi yang diemelkan oleh Rosli kepada saya berbeza dengan yang tersiar di majalah Dewan Sastera, maka wajar sekali saya paparkan di sini versi asalnya untuk tatapan kawan-kawan dan khalayak yang benar-benar menghormati dan mengerti puisi.

KASIHKU PADA PATTANI

(Buat guruku yang menjadi
sahabat – Mujahid Adil)

Pattani itu sudah jauh, berbalam
seakan langit berbaur senja

indah terlorek dalam ingatan,
tetapi itulah jambar sayu

kampung laman, melambai
bagai liuk api pelita

kusayang bukit, nyiur pantai
jiran dan pondok

semuanya menjadi seligut
sebagai air mata, sebagai embun

jejakku di sana
tertinggal, terbenam

tetapi inilah samudera hidup
ada alun, penuh arus

mengalir, bergelombang
dijalirkan takdir

kubawa diriku menyeberang
ke Mekah, Madinah, dan Mesir

kucari sinar ilmu
dan cahaya ibadat

kerana aku ini
kelekatu, debu, zarah

setelah aku kembali
berceracak musuh

benih hitam, belati
duri, darah

musuh terpendam – terapung
musuh menyelinap – terjongor

bagi mereka
cahaya itu api

pagar pondokku
terbelenggu

pintu dan jendela
tidak boleh dibuka lagi

di dalamnya
kandil mengerdip terakhir

cahaya dianggap berbahaya
lebih daripada api

kubawa diriku
menyeberang lagi

tiada jalan pulang
semuanya berkelok, bersimpang

bagaikan panji semirang
kuciptakan berbagai nama

tanah semenanjung ini
juga bumi Tuhan yang luas

di sinilah kupasang lentera
untuk menyuluh jalan gelita

beranjak desa, beralih surau
berkelek derita, menelusur hidup

kusebarkan firman dan sabda
pembeza gelap dan terang

kuselongkar pantun dan hikayat
kucintai rubai dan sajak

sesekali kulihat Pattani
melambai, sayup-sayup

apalah dayaku
di sini air mata, di sana peluru

kasihku pada Pattani
tiada lingkap, litir

bagai melanbuai
tidak mudah dirapih

sungguh tiada pusam,
walau hidupku luntang

kini kulampungkan hidupku
di lubok jambu, mulong

akar usiaku
sudah memanjang putih

seakan sudah rapat
menjalar ke tanah makam

setiap petang,
kutunggu langit senja

aku sangat terkenang
syair nenda:

“rumah besar, kampung luas
tinggal juga…”

kerana hidup ini
bertemu batu nisan.

12 Januari 2009

7 comments:

  1. Salam Abe Im,
    Cikgu ambo ni sesekali berpuisi rintih sayu jugok dih.. lama tak jumpa.. tapi rasanya tak berjanggut putih lagi.. tak tahulah kalu rambut tinggal sikit buat kuat garu kepala.. hehe.. sebenarnya dlm kelas pun dia rajin sebut pasal Pattani.. rupanya memang ada ceritanya sendiri..

    ReplyDelete
  2. Puisi sdr. Rosli K Matari, sering saya tunggu-tunggu di majalah Dewan Sastera. Diksi-diksinya sering puitis dan indah menyampaikan makna berlapisan.

    Salam aidilfitri.

    ReplyDelete
  3. beza dgn yg tersiar dalam DS..
    gapo jd gitu? editor punya kerja ka?!

    ReplyDelete
  4. Hasmora,
    dia memang begitu.

    Roslan,
    saya dah tiga kali kumpulkan antologinya. bagi balik kat dia suruh baca, hilang habis.

    edolah,
    sebab beza la, ambo publish kat sini.

    ReplyDelete
  5. salam, k matari ada blog tak? tq

    ReplyDelete
  6. hem
    k matari yg ku kenal
    perkenalan aku dan dia bagai air dan minyak
    aku aliran agama dia aliran sastera
    mengajar pengajian am smu amir indera petra
    aku tidak belajar sastera darinya
    pertemuan kami menjadi sahabat setelah aku di tawarkan ke mpr 1997
    kalau di amir tu,aku pasti di anggap murid sasteranya,tapi tidak sebenarnya,aku malu kerana bukan begitu sebenarnya,kami hanya kawan,dan aku tidak layak menjadi muridnya,hari ini aku terkenang rosli k matari yang ku kenal seorang sahabat yang menunjuk jalan sastera ku.aku tidak setajam rahimidin zahari,tidak akan mampu,tapi rosli k matari selalu menginspirasikan aku dengan karya muridnya itu
    hmm,rosli k matari yang ku kenal
    terima kasih
    dia akan tetap begitu...

    ReplyDelete
  7. Akar masih setia pucuk entah kemana itulah fatani

    ReplyDelete