Thursday, August 6, 2009

Kabus di Puncak Ledang

Bertahun-tahun hasrat untuk mendaki Gunung Ledang tersimpan sejak saya mula membaca Sejarah Melayu. Dan akhir berjaya juga ke sananya, meninggalkan Kuala Lumpur bersama-sama Shamsudin Othman, SM Zakir dan Amirudin Ali. Perjalanan biasa dari kaki kep uncak Gunung Ledang selama enam jam. Tetapi zaman kerajaan Melaka tentunya lebih jauh berbeza. Saya ingin memetik dari teks Sejarah Melayu (1997: 123-124):

“Maka Tun Mamad dititahkan pergi sama-sama membawa orang Inderagiri akan menebas jalan kerana Tun Mamad itu penghulu orang Inderagiri. Maka Laksamana dan sang setia pun pergilah sama-sama dengan Tun Mamad.

Telah berapa hari lamanya di jalan sampailah ke kaki Gunung Ledang. Maka sekaliannya naiklah ke Gunung Ledang. Baharu kira-kira setengah naik gunung itu, angin pun terlalulah keras. Maka tiadalah dapat ternaik oleh orang itu. Syahdan jalan naik itu pun terlalu sukar.”

Sebagaimana Tun Mamad, perjalanan saya dan kawan-kawan tidaklah sukar. Ini kerana kepakaran memanda Rusdi Abd. Rahman dari DBPWS dan kawannya dari Perbandanan Taman Negara Johor (PTNJ) yang amat mahir membawa jalan ke puncak. Kami sampai, tetapi kabusnya teralu amat tebal. Sejuknya menggigit ke tulang sum-sum. Saya pun terus membaca akan syarat-syarat peminangan yang dikenakan oleh Puteri Gunung Ledang kepada Sultan Melaka.

“Akan titah puteri, ‘Jikalau Raja Melaka hendak akan daku buatkanlah aku jambatan emas satu, jambatan perak satu, dari Melaka dating ke Gunung Ledang. Akan peminangnya hati nyamuk tujuh dulang, hati kuman tujuh dulang, air pinang muda(h) setempayan, air mata setempayan, darah raja sema(ng)kuk dan darah anak raja-raja sema(ng)kuk. Jikalau demikian maka kabullah pada hamba akan kehendak Raja Melaka itu.”

Di puncak Ledang, hanya kabus yang menebal kerana hujan mengiringi perjalanan pagi kami. Apa-apa yang tercatat di dalam Sejarah Melayu telah ditokok-tambah orang dengan pelbagai versi yang lain mengikut sesuka hati dan sesedap rasa. Kerana Sejarah Melayu itu bukan buku sejarah, maka ditulis orang kemudian yang Puteri Gunung Ledang itu dari kraton Majapahit dan bercinta pula dengan Laksamana Hang Tuah. Bercinta sungguh-sungguh sehinggakan Hang Tuah kerana asyik birahinya berguling-guling di dalam lumpur, berkucup-kucupan. Kerana cintanya, maka puteri itu sudah tak ingin pulang-pulang ke kraton Jawa, lalu menetap ia di Gunung Ledang.

Saya teringat semula Sejarah Melayu (kebetulan saya menyimpan tiga versi Sejarah Melayu yang berbeza) teringatlah akan Laksamana yang terlalu amat tua dan hanya menunggu Tun Mamad di kaki gunung. Dan yang naik ke puncak hanya Tun Mamad. Dan dalam fikiran saya berkembang lagi versi yang lain. Bahawa Puteri itu telah berkahwin dengan Putera miskin dari negara berantah yang lain, dan tiba-tiba dia bertemulah dia dengan Memanda Tua yang karya amat harta benda. Dan…dan…dan…



4 comments:

  1. Pendakian menyusuri denai sejarah amat manis nikmatnya. Syabas!

    ReplyDelete
  2. Tuan,
    Foto-foto tuan dalam rakaman kamera rasmi DBPWS dan tidak rasmi ada tersimpan dalam tangan saya, mungkin sedikit masa lagi akan dipilih-pilih lalu dikirimkan melalui e-mel. Insyaallah.

    Menarik cerita tuan pasal versi berbeza cerita GL itu, lepas ini boleh lagi bertanya lanjut kepada tuan ya... Terima kasih kerana bersekali ke GL itu.

    "Rahsia 'kecekapan hamba dan tuan PTNJ' itu usahlah diceritakan kepada sesiapa kerana itu satu legenda misteri, jika diketahui rakyat ramai juga itu pastinya angkara Memanda Shamsudin, Bendahara SM Zakir dan Laksamana Amiruddin gerangan khabarnya..."

    Yang utama juga diri ini dapat kenali tuan dengan lebih rapat dan mesra ketika di GL itu.

    ReplyDelete
  3. N.Faizal,
    terima kasih.

    Tuan Rusdi,
    terima kasih.dengan sabar menanti untuk ke Pulau Aur dan Pulau Pemanggil.Pulau Pisang tak sempat.

    ReplyDelete
  4. Salam,
    seronok membaca catatan sdr tentang pendakian GL. Selalunya jika membaca tulisan tentang aktiviti begini, yang sampai kepada pembacanya adalah 'thrill and adventure', tapi di tangan penyair lain pula...Dan tergoda juga untuk memujuk teman-teman yang bercadang mendaki gunung Mulu untuk bertukar arah!

    ReplyDelete