Friday, January 16, 2009

Mentankedarah

Beberapa tahun lepas saya, Sutung Umar Rs dan Amin Sweeney minum di café house sebuah hotel di Kuala Lumpur. Lalu Amin bercerita sewaktu di Kelantan beliau amat rapat dengan seorang dalang wayang kulit yang terkenal ketika itu. Satu hari Amin telah bertamu ke rumah dalang tersebut. Kerana terlalu menghormati Amin dan tidak ingin menggunakan ayat biasa mempersilakan minum, maka kata dalang tersebut, “Cik Amin, silalah mentankedarah!” Mentankedarah, wahbatu, bedal, pelahap dalam loghat Kelantan adalah merujuk kepada makan. Tetapi semua itu memberikan konotasi makna yang berbeza.

Kenal dan Tak Kenal

Satu hari yang lain, saya, U-wei dan Sutung minum petang di sebuah restoran di Bangsar. Tiba-tiba seorang ulamak yang tenar dan sering memberikan fatwanya bersama keluarga masuk ke restoran yang sama. Saya memberitahu Sutung tentang kehadiran ulamak tersebut, dan tentunya Sutung mengajak saya untuk menjumpa dengan tokoh tersebut. Sutung menemuinya dan saya tidak pergi pun. Beberapa detik kemudiannya, SN Datuk Noordin Hassan singgah di restoran yang sama. Dia yang akan menyambut ulangtahunnya yang ke 80 pada 18 Jan. itu amat gembira sekali menemui kami. “Bapa Cikgu 40 tahun saja, Cikgu dah hampir 80. Lamanya waktu yang diberikan pada Cikgu,” ucap Cikgu Noordin dengan lembut dan perlahan. Kami bersalam dan berpelukan.

Hadiah Persaraan

Di hari yang lain, saya, Sutung, Hanizah Junoh dan Yati (saya tak tahu nama penuhnya) bertamu ke dusun indah di tepi Sungai Langat milik Datin Azanin Ahmad, koreografer dan penari ternama. Minum petang dan percakapan panjang dengan dunia seni dan tiadanya lagi tempat dan ruang untuk berbicara dalam bidang itu. Dalam perjalanan balik ke KL yang sesak mengambil masa 2 jam lebih itu, saya teringat seorang kawan baik saya, seorang ustaz. “Ana nak minta satu sempena persaraan ana dengan enta.” Bunyi permintaannya macam tak ada orang lain yang boleh tunaikan. “Apa yang syeikh inginkan?” tanya saya. “Boleh tak enta dapatkan cd persembahan dramatari Puteri Saadong yang dipersembahkan oleh Azanin? Itulah dramatari yang indah sekali” ulas Ustaz, kawan saya. Terdiam saya dibuatnya, kerana ketika itu saya belum kenal dengan Datin Azanin.

3 comments:

  1. Sdr RZ: Baguslah kerana kembali menjadi rajin menulis di blog. Aku suka kisah orang kepala kosong itu. Harap-harap kepala aku dan kau, tidaklah terlalu kosong.

    P.S: Kalau tidak bersetuju dengan catatan aku ini, kalau bolehlah delete macam dulu-dulu.

    Marsli N.O

    ReplyDelete
  2. salam tuan...lama tak berkunjung ke sini :)

    ReplyDelete
  3. Sdr. Marsli,
    terima kasih kerana meninggalkan pesan.

    Sdr. Shah,
    tk berkunjung.

    ReplyDelete