"apa acara terdekat di istana budaya?" tanya pak bambang.
"konsert nusantara?" jawab saya.
"apa isinya?"
"menemukan artis indonesia bersama artis malaysia. "
"siapa dari indonesia?"
"rossa..."
"siapa itu? ngak kenal saya..."
"endang s. taurina dan elly kassim."
"ooo..elly kassim itu saya kenal."
oh, pak bambang editor senior tempo tidak kenal dengan rossa. samalah dengan sutung umar rs yang tidak kenal siti.
saya pun tidak sempat menonton konsert tersebut. saya di kuala kangsar dari 5 hingga 8 mac. sempat memandu sendirian ke taiping, gunung semanggul, padang serai sehingga parit buntar. melihat-lihat sawah yang terbentang, bendera dan poster parti politik yang menabiri sepanjang perjalanan.
hanya 16 mac lalu, sahabat saya dr. haji sham memaklumkan jamal d. rahman juga ada ikut serta rombongan wartawan indonesia ke acara tersebut. dia pun jumpa sekejap kerana menitipkan tesis phdnya yang kebetulan jamal d. rahman salah seoarng penyair yang dikajinya.
Friday, March 22, 2013
Thursday, March 21, 2013
pak bambang bujono
hujung februari lepas, saya menerima panggilan, tetapi tak sempat jawab. kemudian sms masuk, memaklumkan: "saya bambang, ada di balai seni visual. salam". saya pun ke sana. rupa-rupanya dia sedang meneliti satu persatu pameran 60 tahun latiff mohidin. petang sebelumnya saya sudah menemuinya di sana. rupanya ada banyak hal yang ingin ditanyakan beliau. bambang bujono editor senior tempo. pernah juga di horison. mewakili goenawan mohamad yang diundang ke majlis pelancaran buku terjemahan faust oleh latiff mohidin di one world hotel, damansara. tetapi mas gon tak dapat datang kerana menghadiri festival cap goh meh di kalimantan. diwakilkannya kepada pak bambang. beliau sangat detail meneliti satu persatu lukisan, menyoal dan menghujah saya. saya memperjelas seadanya. "dan tentunya lebih baik, bapak ajukan kepada pak latiff petang nanti." saya menyelamatkan diri.
saya membawanya ke pejabat saya. menghadiahkan beberapa majalah pentas dan beberapa buku. saya memandu ke arkib negara dan dari sana kami ke one world hotel. pelancaran buku faust pun berlangsung dengan pelancaran oleh dato dr. anwar ridhwan. dan petang itu, pak bambang menghadiahkan sebuah buku yang beliau menjadi editornya "seni rupa indonesia -esei dan kritikan." dengan catatan "bung rahimidin, moga senang membacanya."
Tuesday, March 19, 2013
belajar untuk menjadi tidak kurang ajar
teringat borak buku dengan zaen kasturi di kl sentral beberapa hari lepas. sutung umar rs yang hadir, turut memberikan pendapat - yang menyentuh tentang kesenimanan. wartawan sekadar wartawan berbeza dengan wartawan yang seniman. nazmi dan hafizah dari bh ada bersama pada petang itu. dan mereka antara sisa-sisa wartawan yang tidak hanya terlibat dalam dunia lapor melapor sahaja kerana kebetulan mereka berdua menghasilkan karya kreatif. kalau dahulu, wartawan bukan sahaja wartawan, tetapi mereka juga sasterawan - kajai, pak sako, a. samad ismail, a. samad said, zahari affandi, dan ramai lagi. sutung juga menyentuh tentang kehadiran seniman itu harus berbeza. bukan kerana ingin berbeza, tetapi wajar berbeza. perbezaan itulah yang akan memberikan kelainan idea, kelainan persepsi dalam menanggapi sesuatu perkara.
kelainan sudut pandang itu merupakan perkara lumrah dalam kalangan seniman.bahkan sepatutunya terjadi dalam bidang apa pun. tetapi hanya orang yang kurang ajar sahaja yang memberikan tafsiran sesukanya terhadap sesuatu yang tidak perlu pun disensasikan. dalam banyak hal, kita berasakan kurang ajar itu perlu, dan dalam hal yang lain, bersederhanaan dan mengambil sikap berdiam diri itu lebih baaik. bahkan lebih menampakkan kita sedikit bijak, dan tidaklah mempamerkan sikap dan tingkah laku kanak-kanak di bawah umur. bolehkah belajar untuk menjadi tidak kurang ajar? boleh kepada yang ingin berubah. dan sangat tidak boleh kerana memang dilahirkan dengan kurang ajar. apatah lagi sejak datuk nenek lagi memang sudah kurang ajarnya.
menjadi seniman tidak perlu memihak kepada sesiapa. tak usah seronok mengambil pendapat dan pandangan peribadi orang lain. pandangan sendiri lebih afdal untuk dihujahkan. dan seniman sejati, saya percaya dia bukan penentang kepada sesuatu agenda kebaikan, tetapi seutas benang halus yang mengikat tali kemanusiaan dan kehalusan jiwa bangsanya.