PENGENALAN
Saya memang ingin hadir. Bukan sahaja disebabkan Pertemuan Penyair Nusantara V yang akan berlangsung. Tetapi ada beberapa hal yang lain yang memikat saya. Antaranya, saya ingin melihat sendiri tanah leluhur yang melahirkan Syeikh Abdul Samad al Palembangi yang menuliskan Hidayatul Hidayah dan Siarus Salikin. Kebetulan saya sedang mengikuti pengajian kitab Siarus Salikin di bawah bimbingan Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam. Keduanya, saya menemui di fb seorang kiyai yang telah menulis beberapa buah buku hebat, KHM Zen Syukri yang umurnya sudah melebihi 92 tahun. Ketiganya, Masjid Agung Palembang yang saya lihat dan baca dalam buku arwah Pak A. Halim Nasir. Keempatnya, Bukit Siguntang Mahameru dengan Wan Empok dan Wan Malini yang padinya berbuahkan emas. Kelimanya Sg. Musi yang mengalirkan air dan darah Melayu ke pelosok nusantara, ingin benar saya lihat keluk dan debur airnya. Keenam, Amri Yahya, seniman tampak yang tenar, setenar Affandi dan Basuki yang tanah asalnya tidak lain Palembang itulah. Ketujuh, sang penyair Anwar Putra Bayu yang ramah sewaktu di Brunei dan bertambah akrab sewaktu di Pangkor.
Saya sampai. Sampai dengan panas di dada, apabila menunggu 2 jam untuk melepasi kaunter imigresen dan kamar kecil yang tidak berair. Bayangkanlah kami terpaksa mengecap empat jari kanan, kemudian empat jadi kiri dan berakhir dengan mengecap kedua-dua ibu jari. Kemudian muka dirakamkan oleh kamera, macam masuk negara asing yang amat asing. Saya antara yang berada di baris terakhir, walaupun bukan yang paling akhir kerana memang dalam apa pun situasi saya tidak pernah ingin berebut dan merebut. Apabila keluar kaunter tapisan dan selamat, para petugas yang menjadi urusetia dan LO sudah pun menunggu di lapangan menunggu. Ramah dan gemuruh,manakala asap rokok sedang mengepul naik ke udara bandara. Dan perut pun berdenyut laparnya.
JELAJAH MUSI
Mula membaca ”JELAJAH MUSI - Eksotika Sungai di Ujung Senja” KOMPAS: 2010) dengan editornya Kenedi Nurhan. Membeli buku ini selepas menghilir Sungai Musi dari jeti di bawah Jambatan Ampera menuju ke Upang, sebuah kampung Melayu yang dianggap paling tua. Sepanjang perjalanan tanpa jaket keselamatan, perjalanannya hampir 2 jam. Percik air membasah kami setiap kali bot itu menujah dan tertampan dengan olakan air dari bot lain yang melaju, atau sesekali berselisih dengan kapal besar bertingkat-tingkat. Beberapa kapal Bugis berlabuh di tepi sungai.
Mulanya hanya saya dan Shamsudin Othman yang diajak oleh Prof. Muhammad Haji Salleh untuk menemaninya ke Upang. Sebelum ke Palembang, Prof. Muhammad beberapa kali menelefon saya yang beliau berhasrat untuk mencari orang-orang lama yang mahir berpantun, atau boleh memberikan pelbagai cerita lisan. Hal itu telahpun dimaklumkan kepada Anwar Putra Bayu, dan beliau cuba merealisasikan hasrat kami. Tetapi sehingga ke pagi kami akan berangkat ke Upang, semua orang yang dihubungi begitu sibuk dengan acara.
Kami beruntung dengan kesanggupan penyair J.J. Bolong yang juga seorang Panitia Pertemuan Penyair Nusantara V yang akan membawa kami ke sana. Dari hotel Swarna Dwipa tempat menginap, kami menaiki bas yang terakhir menuju ke Muzium Palembang yang terletak tidak jauh dari tebing Sungai Musi. Selepas diberikan penjelasan yang panjang lebar oleh Pak Abi Sofyan, seorang pembantu muzium yang begitu mendalam pengetahuannya mengenai sejarah Srivijaya dan Palembang, kami bermohon untuk berangkat.
Melihat kami bertiga meninggalkan Dewan Kesenian Sumatra Selatan yang diketuai oleh Dr. Zukhair Ali (seorang doktor perubatan) itu - Ada di Malaysia, doktor perubatan memimpin seniman?), Khalid Salleh, Fuad Bebet dan Dr. Ahmad Razali memandang saya bergerak menuju ke jeti.
"Nak ke mana?" tanya Wak.
"Naik bot ke Upang. Teman Prof. Muhammad."
"Boleh ikut?"
"Jomlah, kita tuntung."
"Boleh ke tak boleh?" soal Wak.
"Pasal tak boleh? Naik bot."
JJ Bolong berunding mengenai harga bot ke Upang. Biasanya RP25,000 untuk satu kepala sehala. Setelah berbincang, kami bersetuju. Sewanya sebanyak RP700,000 pergi dan balik.
Perjalanan ke Upang dengan bot melewati rumah-rumah panggung Melayu yang berbumbung perabung lima menguja saya. Selang lima enam rumah, akan terpacaklah masjid sepanjang sungai. Masjid itu melambangkan kekentalan Islam yang luar biasa, paling tidak pada diri saya. Bentuk rumah panggungnya tidak banyak berbeza dengan di Riau atau seperti di Kuala Pahang, Kuala Terengganu atau di Kampung Laut di Kelantan. Bumbung masjid yang bertingkat itu juga tidak banyak berbeza. Saya segera teringatkan Masjid Tua Kampung Laut, Masjid Sultan Syarif Abdul Rahman di Pontinak dan Masjid Demak di Jawa. Iya, kan Palembang dan Srivijaya itu Melayu.
Hampir 2 jam di air, melintasi Pulau Kemaro yang mempunyai mitos dan lagenda yang tersendiri. J.J. Bolong cuba memberikan penjelasan, tetapi bunyi engin bot dan percik air yang bertembung dengan angin, membawa hilang segala penjelasan tersebut. Yang jelas, kedalaman sungai Musi melebihi 18 meter dan lebarnya 300 meter. Dalam dan lebar, dan dalam hati kami masing-masing pastinya berdebar kerana tanpa pelampung dan jaket keselamatan!
Sampai di Jeti Upang dengan perut yang lapar. Tetapi di jeti milik Kepes (Kepala Desa) tersaji hidangan seperti nasi lemak, sate kerang dan pelbagai kuih. Kami makan, sehingga kenyang dan Wak Khalid yang bayar. Dari jeti, meniti papan sekeping 5x2 yang melendung, sampai ke tangga dan menapak naik ke pelantar. Dan rumah-rumah tersusun menghala ke darat. Saya cepat teringatkan Pulau Omadal, di Semporna, Sabah. Warganya ramah tamah sekali, menjawab setiap pertanyaan. Tak ada jalan darat, cuma beberapa meter sahaja untuk ke sekolah dan ke masjid. Ada kenduri kesyukuran di sebuah rumah penghuni Upang, dan kami dijemput sama.
Kampung ini tiada masalah, tiada pencuri dan tiada penagih. "Kami hidup aman sentosa," kata Kedes. Dan hampir semua ketua keluarga dan anak muda-anak muda di sini menjadi nelayan. Dan mereka tidak sahaja menangkap ikan di muara Musi, tetapi keluar jauh berminggu-minggu sampai ke Batam dan Belitung. Ikan di sana banyak, beritahu mereka.
Setelah 2 jam, kami harus berangkat balik ke bandar Palembang. Malam nanti masih ada acara rasmi. Perjalanan pulang agak lebih cepat. Bot kami melambung air, sesekali air terpercik ke muka yang kering oleh panas matahari. Sampai di sebelah kiri jambatan Ampera, teman-teman yang lain sedang makan durian. Hampir semuanya tertanya-tanya "ke manakah kami?".
"Kami ke Upang,jelajah Musi "jawab saya.
HOTEL WISATA
Dari kamar 307 Hotel Swarna Dwipa kami berpindah ke tengah-tengah bandar dan mendapat kamar 525 di Hotel Wisata yang berada di jantung Palembang. Dengan berjalan kaki beberapa minit sahaja kami akan sampai ke Gramedia, antara toko buku yang terbesar di bandar ini. Beberapa hari sebelumnya kami sudah sampai ke cawangan toko buku tersebut di Palembang Mall, tetapi tidak banyak pilihan buku di sana. Selepas makan tengah hari, kami menyusur jalan menuju ke Pasar Palembang yang terkenal dengan batik dan songket. Saya jarang membeli batik, tetapi di sini, sebab terkenal dengan songket asli, maka saya harus membeli sehelai untuk kenangan.
Tak tahan dengan wap panas manusia yang begitu ramai, saya menyisih keluar untuk mengambil angin. Menatap ke tebing Musi, melihat bot yang terapung di air dan beberapa rumah rakit juga. Singgah minum sekejap dengan Shamsudin Othman dan Shah. Saya minta alpokat dan kami tidak meminta makan. Belum pun air minum kami sedut, tampil pemuzik jalanan membingitkan telinga. Habis sebuah lagu, air kami belum habis, datang lagi pemuzik jalanan yang lain. Saya bangun, bayar wangnya, lantas meninggalkan warung tersebut. Kembali semula ke dalam pasar sesak.
Puas berkeliling, saya mencari shawl yang selalu dijadikan salempang oleh kawan-kawan di kuliah pengajian kami di Kuala Lumpur. Bukan nak pakai ke kuliah, tetapi seronok simpan sebagai koleksi. Dan kalaulah ada sampin songket yang sesuai dengan saya, tentunya akan saya beli sehelai. Banyak kedai Melayu dan habib-habib yang menjual batik dan songket. Mereka semuanya peramah. Saya singgah pada sebuah kedai dan bertanyakan harga. Berkenan betul saya dengan samping songket tenun Palembang. Bila ditanya harganya, 1 juta. Kalau 1 juta, saya tak jadi beli. Tiba-tiba turun menjadi 700.00, kemudian 650.00, kemudian 600.00. Saya minta harga terakhir yang boleh diberi, kalau boleh ambil saya ambil, dan kalau tidak sesuai bukan rezeki saya. Akhirnya saya ambil dengan harga RP500.00.
Dengan t-shirt hitam yang menyerap panas, tubuh sudah melekit oleh peluh antara serbuan manusia yang perpusu-pusu. Kami menyusut di tengah-tengah manusia, dan saya ternampak seperti kedai kitab. Kami singgah, dan shawl yang saya cari memang ada di dalamnya. Saya menatap ke dinding depan, beberapa habib yang selalu ke Kuala Lumpur untuk memimpin majlis maulid dan haul tokoh-tokoh sufi tergantung di frem. Saya beli sehelai shawl dengan harga RP100.00. Peniaganya peramah dan dari iras wajahnya, dia juga berterunan habib. Mesra menyapa kami, apakah datang untuk Majlis Ziarah Qubra? Kami terkejut, tak jangka soalan seperti itu. Kami maklumkan tentang Pertemuan Penyair Nusantara V, dan tak tahu pun mengenai program tersebut. Kami dimaklumkan, program itu merupakan acara ziarah tahunan yang menghimpun ulama dari pelbagai negara. Hampir 60,000 orang akan berkumpul di Palembang seminggu sebelum Ramadan untuk Ziarah Qubra. Berdetik dalam hati saya, untuk kembali pada Ziarah Qubra pada tahun yang mendatang. Kami menapak pulang ke hotel sekitar 20 minit perjalanan.
Kembali ke hotel, dan belum sempat singgah iktikaf atau solat di Masjid Agung Palembang. Bertekad dalam hati untuk wajib hadir sebelum terbang pulang ke Kuala Lumpur. Hari mulai senja dan kami selesai solat maghrib di kamar. Selepas maghrib kami ambil beca menuju ke Masjid Agung Palembang. Besar dan gagah masjidnya. Di dinding dalamnya tergantung lukisan Amri Yahya, seorang pelukis ternama kelahiran Palembang. Sayang, malam itu tiada kuliah agama. Kami bersolat sunattul masjid dan menyelesaikan solat Isyak. Selepas Isyak diadakan majlis zikir yang dipimpin oleh oleh seorang syeikh. Kami cuba mencari-cari namanya syeikh yang memimpin majlis, tetapi acara itu tiada di dalam jadual yang terpapar di skrin elektronik masjid. Kami pulang melintasi jejantas dan makan malam di sebuah restoren Minang. Kami memutuskan untuk ambil beca dan kembali ke hotel.
MASJID AGUNG PALEMBANG
Selepas sarapan pagi, kami ke Gramedia. Saya membeli beberapa buku lagi. Masih ada banyak buku yang saya suka. Bukan masalah wang bagi kami, tetapi masalah bag kami semakin berat dan sendat. Akhirnya saya hanya beli empat buah buku, dan singgah makan tengah hari di restoren Minang. Hani Salwah, Shah dan Rebecca beria-ria ingin belanja kami makan tengah hari, dan kami setuju. Selesai makan, saya balik ke Hotel kerana ingin sekali lagi ke Masjid Agung. Dalam jadual yang tertera, ada kuliah zohor yang akan disampaikan oleh KHM Zen Syukri. Kami mengambil beca ke masjid agung, dan ternampaklah saya beberapa kedai buku. Berdetik lagi hati kami untuk ke toko-toko tersebut, tetapi kami tahankan hati.
Solat zohornya penuh oleh para makmum, lelaki dan wanita di ruang khas. Selepas zohor, kami menunggu, tetapi KHM Zen Syukri tak muncul-muncul. Saya sebaris dengan Haji Shamsudin, tiba-tiba seorang jemaah yang sudah agak berumur menghampiri kami, bertanyakan ada kuliah atau tidak? Sukar ingin kami jawab soalan tersebut kerana kami juga menunggu kiyai tersebut. Apabila sudah pasti, kuliah batal, kami menyusur beberapa toko dan cuba mencari galeri lukisan, tetapi hampa. Kami ambil beca untuk kembali ke hotel, tetapi melencong sekejap ke Ramayana. Terbeli lagi tiga helai kain batik dan dua pelikat sutera bugis. Lalu ambil beca dan kembali ke hotel. Solat asar di kamar, dan berhasrat sebelum maghrib kami akan ke Masjid Agung sekali lagi.
Selepas mandi, tubuh kami kembali segar. Dan dengan baju Melayu putih kami menapak semula menuju ke Masjid Agung. Singgah di Toko Buku Diponegoro bertanyakan kitab-kitab ulama Palembang. Tuan punya toko terus menelefon ustaz yang juga kawannya bertanyakan tentang buku tersebut. Janji kami akan jumpa ustaz tersebut selesai majlis Ratib Saman di Masjid Agung.
Selepas jemaah maghrib, terdapat kuliah yang disampaikan oleh Drs. KH. Syarifuddin Ya’cub dengan judul Perspektif Perbandingan Pelbagai Mazhab. Selepas solat Isyak diadalah majlis Ratib Saman yang dipimpin oleh Ustaz H. Andi Syarifuddin, bersamanya dengan musyidnya Tuangku Mudo Palembang. Kami mengikuti majlis ratib tersebut sehingga selesai. Kami menemui Ustaz H. Andi berkenaan dengan kitab Syeikh Abdul Samad Palembangi yang beliau telah modenkan. Selepas bersalaman, Ustaz Andi keluarkan kitab tersebut dari poket jubahnya, “Ana pun tinggal sebuah. Enta fotostatlah lepas tu kembalikan semula kepada ana.” Kami jelaskan yang besok pagi, kami akan bertolak balik ke Kuala Lumpur. Nanti kami datang lain kali.
Wednesday, February 29, 2012
Sunday, February 5, 2012
Mauludurrasul 1433
Selamat menyambut Mauludurrasul 1433, dan saya malam tadi bersempatan berada di Majlis Maulud yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Shah Alam mengikut Maulud Akbar dengan penampilan tiga oleh syeikh dan tiga kumpulan kumpukan maulud masing-masing dengan Maulid Ad-dhiya-ul Lami, Maulid Simtud-Duror dan Maulid Ad-Daiba'i. Ribuan manusia yang hadir untuk menyatakan rasa kasih kepada seorang insan terbaik dan terpilih daripada sekalian makhluk ciptaan Allah swt, Baginda Rasulullah SAW.
Saturday, February 4, 2012
Friday, February 3, 2012
dikunjungi
semalam dikunjungi oleh dua orang bekas bos, Dato' Azhar Abu Bakar dan Dato' Bisharuddin Mohd Nor Basha. bila bekas bos datang, dan masih ingat kira oklah, berbanding dengan yang tak berapa ok. Dato' A semakin segak sejak balik haji. Dato B, kesihatannya agak terganggu. sempena bulan maulud yang mulia ini, moga-moga kedua mereka di dalam jagaan Allah swt.
Thursday, February 2, 2012
Wednesday, February 1, 2012
bertanya
bertanyalah jika kamu tidak mengetahui tentang sesuatu perkara yang kamu tidak tahu, kepada yang mengetahui, nescaya kamu akan mendapat pencerahannya. tetapi masalah orang kita, selalu berasakan dirinya lebih tahu, walaupun dia sebenarnya tidak tahu. ini merupakan isyarat jelas orang yang ilmunya semakin berkurang, bukannya semakin bertambah setiap hari.
iya, bertanyalah kepada yang tahu!
iya, bertanyalah kepada yang tahu!