Friday, December 30, 2011

Jumaat

Jumaat 16 Disember, bersolat jumaat di Masjid Tabung Haji di Jalan Tun Razak bersama rombongan ITNM. Sepanjang menjadi warga KL, itulah pertama kali bersolat jumaat di sana. Khutbahnya mengenai pertabalan dan minggu sebelumnya di Masjid Ibnu Sina, Titiwangsa khutbahnya juga mengenai persaraan. Jumaat 23 disember, solat jumaat di Masjid Al-Husain, di tepi jeti Kuala Perlis. Dan pagi ini, pagi jumaat terakhir 2011 bersamaan 5 safar 1433, ada beberapa pilihan masjid yang ingin pergi. Dan insyaAllah, Dia yang Maha Besar akan menentukan!

Friday, December 16, 2011

saya memohon maaf

pagi jumaat yang mulia, yang menjadi penghulu sekalian hari - saya memohon kemaafan yang amat putih dan dari lubuk hati yang paling tulus atas segala kekhilafan yang tersengaja mahupun yang tidak disengajakan. semua manusia terdedah kepada pelbagai kelemahan dan kealpaan. dan saya antara manusia yang amat lemah. jadi maafkanlah saya!

Wednesday, December 14, 2011

HADIAH SAKO 3

Menghadiri majlis pengumuman dan penyampaian Hadiah Sako 3 - Bagi Novel Nasional.Saya dijemput oleh ITNM untuk menyampaikan puisi, dan kena duduk sebelah ustaz yang baca doa di baris paling depan sebelah kiri pentas. Awal-awal lagi orang PNM kata dia tunggu saya dari semalam, kerana nak test suara. Saya bukan penyanyi pop. Dan seperti saya sebut kepada Sdr. Anuar Manshor, saya tak akan hadir kalau PNM yang jemput. Apabila Sdr. Syed Munawar yang jadi pengacara menjemput saya ke pentas- dengan beberapa tambahan gelaran: sasterawan, penulis prolifik dan budayawan, saya terpinga seketika. Mujur dia tak sebut saya ini bekas dalang wayang kulit dan segala macam yang lain.

KEMERDEKAAN
Episod Lilin dan Mutiara
buat Pak Sako

kemerdekaan
adalah bunga berkembang
dari tititisan darah
ia membiak
pada keluk rajah
berjantung pisang
peta geografi
yang cukup cantik

tuan wartawan dan sasterawan
wira sebelum sebelum perang
nasionalis karismatik
yang menyucuk
mata penjajah
dengan sebatang pena
hingga berdarah

majistret dan ADO
bukanlah pilihanmu
kautinggalkan jawatan
dan kaupilih Tumpat
yang asing di hujung
rel kereta api
yang berdebur oleh
angin laut China

di depanmu
lilin yang mencair
petanda usia
akan berakhir

pada kelip api
di sumbu yang terpadam
yang tinggal
kata berkias dan
teluk ingatan
yang panjang

sejak semula
kau tidak memilih
kemewahan dan kuasa
kau penentang
yang merintis
jalan masa depan

kalau pun anugerah
tidak memilihmu
zaman selamanya
tetap mengenang
-Putera Gunung Tahan
dan Anak Mat Lela Gila

mutiara tetap mutiara
meski terpendam
di perut tiram
jauh pada dasar
lautan.

Tahniah untuk SN Dato Dr. Anwar Ridhwan, Haji Rahman Haji Yusof (sahabat lama saya di Kuantan), Khaidir Ahmad (daripada percakapannya baru saya tahu yang beliau anak saudara kepada Pak Sako. Saya pernah membaca bukunya tentang Penan), Ali Jusoh dan Aminah Mokhtar.

Tuesday, December 13, 2011

TINDAKAN

Dalam hidup kita, telah banyak tindakan dan keputusan yang kita ambil. Sama ada tindakan dan keputusan yang diambil itu, ketika kita sedang marah-marah dan ketika berada di bawah tahap "kurang kewarasan" - yang juga akan menghasilkan ketidakbijaksanaan. Kadang-kadang kita berasa cerdik dan bijaksana amat, sehinggakan orang lain - selain daripada diri kita sendiri, semua tidak cerdik belaka. Dan pada hari yang lain pula, kita berasakan diri kitalah yang paling bodoh, dan orang lain semuanya cerdik dan bijaksana belaka.

Ada tindakan dan keputusan yang harus kita buat sendirian, tanpa memerlukan pandangan sahabat jauh dan dekat. Apatah lagi sekiranya hal itu mencakupi ruang peribadi yang amat peribadi. Tetapi sekiranya, tindakan yang melibatkan institusi yang melibatkan sejumlah manusia yang lain, maka keputusan secara sendirian - barangkali kurang tepat dan kurang bijak. Tindakan itu seperti meruntuhkan institusi tersebut kerana tindakan dan keputusan kita yang seringnya tidak bijaksana. Sejauh mana glamour kita rasakan diri kita, sebenarnya kita ini sampah sarap belaka.

Hari akhir itu akang datang juga. Lambat atau cepatnya.

Monday, December 12, 2011

BERILAH KEPERCAYAAN

Seorang kawan saya, pada suatu malam yang dingin tiba-tiba marah-marah, "Ini latuk tarak guna punya, dia bagi kita koleja, dia talak percaya sama kita. Ini latuk taraf babi ini." "Tak baik marah-marah sama bos," saya memujuknya. "Bos, tentu dia ada banyak perkara yang nak fikir dan nak selesai. Lu kena tolong dia. Jangan bagi tekan lagi sama dia."

Dia diam seketika. Menghirup teh tarik yang dia suka. "Wa punya bos ini, manyak cilaka. Dia pikir dia tau semua menda. Dia pandai semuanya. Lu tau..dia tu lagi bodoh dari wa. Dia suruh wa buat itu ini, tapi dia tarak percaya sama wa..."

"Wa...nak berenti kelijo.."

"Lim, lu kena pikir..lu punya anak bini...mahu makan apa?"

"Lahimi...lu Islam...lu tahu Tuhan itu ada..."

"Iyalah..kerana Tuhan itu ada...maka kita ini ada..."

"Kalau dia tarak bagi kepercayaan sama gua, gua mahu behenti..."

Dia menghirup teh terakhirnya.

KAPAL

"Kalau kapal dua nakhoda, alamak kapal akan tenggelam." Saya suka membaca kembali kesilaman datuk nenek ini. Tentunya sebuah kapal tidak memerlukan dua nakhoda. Cukuplah seorang nahkoda yang benar-benar jantan untuk mengemudikan kapalnya. Tak tahulah kalau nakhoda itu memang tidak bertelur dan ada nakhoda betina pula yang lebih jantan mengemudikan kapal. Paling-paling, kita akan katakan, "kesian kat kapal!".

Tuesday, December 6, 2011

DARI LUAR

Bercakap, menulis dan melukis dari luar tak sama dengan bercakap, menulis dan melukis dari dalam. Dari luar kita mendengar kata-kata yang macam hebat. Kita juga membaca tulisan yang macam hebat. Dan kita juga menatap lukisan (visual?) yang macam hebat.Kehebatan yang kita rasakan hebat itu, mungkin hebatnya pada diri kita sendiri, tetapi tidak sedikit pun hebatnya kepada orang yang mendengar, membaca dan memandangnya.

Kadang-kadang hanya kata-kata retorika, dan kerana murid-murid kita yang tak bertelur menghebatkan kita, maka hebatlah kita di mata murid-murid kita. Maka yang jenis ini, teringat saya kata-kata seorang penyair dan pelukis, "kesian dia!" Kesian ini berada dalam banyak kategori. Kesian dia kerana dia tidak faham tentang apa yang dibuatnya, tetapi teorinya melebihi apa yang terhasil. Yang terhasil, seperti kita tidak ingin mendengar, membaca dan menatapnya. "Dia tak tahu tentang apa yang ingin disampaikannya, dia tak kenal pun akan dirinya.." komenter seorang kawan yang lain.

Perbincangan menjadi semakin sukar. Saya menjenguk-jenguk dari luar. Saya tidak berhasrat untuk masuk ke dalam. Mujurlah kerana saya tidak berguru kepada buku yang sebuah dua itu!

Sunday, December 4, 2011

RUPA DAN SUARA

Jarang ada majlis baca puisi di pagi minggu. "Rupa dan Suara" berlangsung di Yayasan Seni Berdaftar di 333 Jalan Rinchie of Jalan Ampang. Saya semeja dengan Sutung Umar RS, Uwei Haji Saari, Sani Sudin dan Fakharudin Sulaiman. Saya memang tak baca puisi, tetapi puisi saya "Rawana" disampaikan oleh Sutung. Kebetulan judul "Rupa dan Suara" itu pun dicadangkan oleh Sutung sewaktu kami berbincang pada 4 Nov lepas di sebuah cafe mahal di Jalan Ampang. Seronok kerana dah lama tak dengar puisi protes. Kali ini Ibrahim Ghafar dan Sani Sudin baca puisi protes. Selepas habis puisi Ibrahim Ghafar, menteri yang hadir rasmikan majlis terus minta diri untuk balik.

Sempat berkenalan dengan pengarca, Rosli Zakaria dari UiTM Melaka.

MALAM PUISI RIONG

Saya pensajak ke kedua selepas Tuan Mohd. Khair Ngadiron. Tak nak baca mantera, sekarang nak baca sajak yang sayu-sayu je. Selepas tu saya pusing KL untuk melihat-lihat malam dan hujan.

KEMBALI KE SARANG SENI

Jumaat petang menghadiri perasmian "Kembali Ke Sarang Seni" pameran lukisan solo oleh Ali(Mabuha)Rahamad di NAG. Hujan di luar lebat sekali. Di dalamnya ada beberapa gerai buku tentang seni. Kali ini tak beli sebuah buku pun. Tentang karya, saya suka kepada karya-karya lama Mabuha berbanding dengan yang baru.

Friday, December 2, 2011

AIB

Kawan baik saya ini, macam abang saya juga. Kalau lama saya tak telefon, dia yang akan telefon. Suaranya tak pernah tinggi. Kalau saya mengata-ngatanya kat depan pun, dia senyum. Mengata-ngata institusi tempat dia bekerja pun dia senyum. Sejak belum ada ijazah pertama sehinggalah memiliki PhD, dia masih sama. Saya tak pernah panggil dia Dr. Dia memang abang yang baik, dan saya yang selalunya tak baik, seringkali menyakatnya. Tetapi dia ini, setiap kali ajak minum, dia yang ingin bayar, dan tak mahu saya bayar. Dia abang yang baik. Saya harap, dia tidak pernah ambil hati dengan saya.

Petang semalam ada miss callnya, saya tak perasan. Saya call semula. Ayat pertamanya, "Kenapa aibkan sahabat kita tu dalam mesyuarat?. Dia sahabat kita, sama ada buruk atau baik," dia soal saya. "Balik ke rumah pun tak boleh tidur, masih terngiang-ngiang, macam nak kenakan dia..."
"Kan saya dah tegur...macam nak sindir dia jer..." saya ingin memperjelaskan.
"Tak baik mengaibkan sahabat kita macam tu..."

Saya kehilangan kata-kata.

Thursday, December 1, 2011

EDITOR

Editor berperan penting sebagai orang yang membantu memperjelaskan pemikiran penulis. Yang jelas nyata, harus disembunyikan intinya dan yang kabur kelam harus dijernihkan kilaunya. Jadi, editor bukanlah sekadar pembaca pruf yang memperbetulkan tanda baca, koma, titik, "k" dua atau satu, "di" jauh atau pun dekat. Dan editor tidak semestinya pandai menulis, tetapi editor yang bijaksana akan menjadi kamus kepada sekalian kamus. Dalam tradisi Barat, editor berada di tampuk yang terhormat. Bahkan sasterawan ternama dunia, hampir semuanya menggunakan khidmat editor. Usman Awang pun khabarnya menggunakan khidmat Asraf sebagai editornya.

Tetapi, orang Malaysia jarang melihat editor itu sebagai satu tugas yang penting dan penuh tanggungjawab.