Thursday, July 30, 2009

Tok Janggut

Kuharung sungai kususur bukit tujuh gua yang silam
aku murba perkasa kautuduh penderhaka celaka.

Aku tak pandai berselindung dengan tembang dan senandung
suaraku tak mungkin semerdu seruling.

Aku tak rela tanah darahku diinjak dijajah
aku tak rela hasil bumiku dicantas dipulas
aku tak rela Melayu bangsaku dipandirkadukkan
aku tak rela Islam agamaku disendatemehkan.

Tok Janggut Haji Mat Hassan namaku
tujuh lapis langit terpikul di bahu
tujuh lapis bumi tercengkam di kaki.

Aku pulang dari tanah Makkah yang putih dan suci
ingin kulihat tanah darahku tanpa penjajah.

Kubaca Jamaluddin Al-Afghani, kuhafal reformis
Muhammad Abduh dan kugenggam idelogi Rashid Redha.

Tok Janggut Haji Mat Hassan namaku
anak Kelantan kelahiran Pasir Puteh
Kampung Saring mahupun Jeram
adalah padang permainanku
adalah gelanggang silat
tempat aku memperlimaukan diri.

Aku pulang dengan siap sedia asal mula
sebagai lelaki anak jantan perkasa
aku siap sedia menitiskan darah ke ranting cempaka
ini tanah darahku, tak akan kurela kaukikis habis
kuoleng mangkuk mimpi para tiran
inilah nafasku angin bergugus menyebarkan tandus
dan, bah! Darah matahariku akan terpercik
ke tanah Pasir Puteh.

Ringkik angin topan, sedialah kau
akan kuamuk kugetus kantung nyawamu
kalaupun aku mati di tangan bangsaku
aku mati sebagai pembela sejati.

Mutiara tetap mutiara
meskipun terpendam
di perut tiran
jauh pada dasar lautan!

(Mutiara Pertiwi, DBP: 1995)

Wednesday, July 22, 2009

Menonton Sang Kancil dan Gergasi.

Lebih dua puluh tahun lepas, selesai saya berlakon dalam teater ‘Wayangan Sita’ bersama-sama Nurzailani Nuzi, Fauziah Mat, Zahari Hamzah, Saufi Mohd Nor dan beberapa teman yang lain di Gelangang Seni, Kota Bharu – saya ternampak ayah saya sedang berdiri menyaksikan anaknya. Dan tiga hari lepas di Taman Budaya Kuala Lumpur, saya hadir menonton lakonan Adib dalam drama Sang Kancil dan Gergasi. Saya menunggu satu jam, dan menyaksikan persembahan yang ½ jam sahaja. Lama tak menonton teater kanak-kanak, kerana teater kanak-kanak jarang dipersembahkan. Masalah paling utama, tentunya kerana tak ada skrip yang baik.

Ke Alor Setar dan ke Kuantan.

Julai ini agak sibuk juga rupa-rupanya. Tiga malam di Holiday Villa, Alor Setar dari 7 sampai 10 dan kembali ke KL. Dua malam di Vistana, Kuantan dari 16 sampai 18 Julai. Ke Alor Setar saya tak memandu, tetapi di sana diberikan pemandu. Di Kuantan saya memandu bersama dua sahabat saya, SM Zakir dan Hanafi Ibrahim. Kedua-dua tempat itu saya dilantik sebagai panel. Posisi yang selalunya saya cuba menolak. Mengadili persembahan orang lain dengan mood dan taste kita sendiri. Dan biasanya kita bersamaan dan adakalanya tidak bersamaan. Dan keputusannya biasanya memuaskan yang menang dan tidak memuaskan yang kalah.

Aku bukan penjual dan membeli mimpi

Sudahlah. Aku tak perlukan sebarang provokasi. Sewaktu senyumku kau pijak di dalam Pekan Buku, Univeristi Malaya tengah hari itu, aku tidak kisah. Aku, engkau dan buku – siapakah yang akan terpadam. Terpulanglah kepada sejarah. Aku tak kisah pun kau pergi ke Iowa? 100 kali pergi balik ke Iowa pun aku tak kisah kalau tak ada sebuah buku. “Spirit of Wood?” Tak kutemui pun “spirit” yang ketemui hanya “wood”. Atau memang kau kayu? Kau akan menang SEA Write? Kau ambillah. Atau kalau nak sangat Sasterawan Negara, nanti aku tolong calonkan engkau. “Berapa puisi yang kau tulis?” Soalan yang tidak sepatutnya kau tanyakan kepada aku? Aku bukan penjual dan pembeli mimpi. SM Zakir dan Lutfi tentu tahu, bagaimana aku memadam-madamkan sejarah.

Wednesday, July 15, 2009

Manik Urai

20 tahun lepas, kami membuat pementasan drama yang berjudul Iqra di Balora Manik Urai. Kami namakan kumpulan kami ketika itu dengan nama Teater Saadong. Rosli Mohd. Nor sebagai pengarah, manakala pelakon-pelakonnya Saleh Yaacob, Saufi Mohd Nor, Mohamad Ishak dan saya. Kami dijemput oleh sahabat kami, Maryam Husin yang menyelenggarakan kumpulan puisi Urai. Pada sebelah paginya diadakan Bengkel Puisi dan sebelah petangnya pementasan drama kami. Kami tidur di bilik darjah Sek. Manik Urai yang baru siap pembinaannya ketika itu. Kami tak dibayar, tetapi kami disediakan makan pagi, tengah hari dan malam. Kami tetap hadir kerana kami seronok buat drama. Dan semalam, Manik Urai menyaksikan drama besar dan hebat. Khabarnya 127 juta demi 12 ribu pengundi. Dalam drama besar itu, PAS menang 65 undi. Saya teringat watak saya sebagai Penyair Pendeta. Itu lebih 20 tahun yang lalu. Maryam barangkali dah bercucu. Rosli, Saufi, Saleh dan Mohamad – sahabat-sahabat saya itu; kami telah terpisah oleh waktu.

Friday, July 3, 2009

Tuk Selampit

Tuk Selampit berada dalam kategori yang sama dengan Awang Batil, Awang Belanga, Tuk Jubang, Tukang Kaba – kesemuanya adalah Penglipurlara yang memerikan kisah anak-anak raja yang mengalami pelbagai peristiwa sepanjang kehidupan mereka. Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Awang Malim Deman, Hikayat Malim Dewa dan yang sezaman dengannya. Pak Da Nor adalah Tuk Selampit terakhir dalam tradisi tersebut di Kelantan.

Pak Da Nor Tuk Selampit di tengah-tengah. Terakam di dalamnya penyair Rosli K.Matari dan penulis. Foto ini dirakamkan pada tahun 1992.

Thursday, July 2, 2009

Orang-orang yang tidak berfikir

Saban hari kita berdepan dengan orang-orang yang tidak berfikir. Tingkah-laku, perbuatan, tutur kata, gaya pakaian, atau ketika memandu kereta di jalan raya – kita berdepan dengan orang-orang yang tidak berfikir. Kalau berfikir, dia tak akan menunjuk isyarat lucah kerana marahkan kereta di sebelahnya, sedangkan dia memakai kopiah. (Peristiwa itu terjadi pada malam bulan Ramadan yang lepas dari Jalan Tuanku Abdul Rahman membelok di hadapan Sogo ke Jalan Raja Laut). Kalau berfikir, tentulah dia memandu dengan elok dan tidak membuang sampah dari tingkap keretanya. (yang hampir saya saksikan setiap hari). Kalau berfikir, yang jantan tak akan ingin bertukar menjadi betina dan begitulah sebaliknya. Akhirnya selepas penat berfikir, saya putuskan “seekor badut, badutlah juga.” Allah SWT memberikan akal, berfikirlah!

Wednesday, July 1, 2009

Petikan Ucap Utama

“Di Depan Nyanyian Yang Semakin Menyayup: Puisi Lisan Pada Kurun ke – 21” oleh Muhammad Haji Salleh.

“Dan kita juga harus tidak lupa bahawa kita sampai ke peringkat ini, dalam sastera dewasa ini, kerana kita telah didahului, dimatangkan oleh karya leluhur kita. Usman Awang, J.M. Aziz, dan Rahimidin Zahari meneruskan tradisi lisan mereka, dan menjadi popular kerananya.”