Friday, March 13, 2009

Penyair Pakistan

Empat hari lepas, Hafezin Khadiri singgah dan menghadiahkan sebuah majalah Heritage Volume 2, Issue 2, Fall 2008 yang dibawa pulangnya dari Pakistan. Yang menariknya kerana majalah itu memfokuskan tentang penyair Pakistan melalui artikel “Poet Of Heart & Soul Bhittai”, “Faraz Fame And Fortune’s Darling”, dan “Syed Muhammad Jafari - The poet I knew as a father”. Lebih seronok kerana di dalam terdapat dua CD “Tribute Faraz” by Naeem Buhkari dan “Syed Muhammad Jafari – The poet I knew as a father”. Walaupun puisinya dibacakan dalam bahasa ibunda mereka, tetapi kita yang mendengar dapat merasakan keindahannya. Teringat-ingat akan Dewan Sastera dan Dewan Budaya.



Thursday, March 12, 2009

SMS

Ini SMS sahabat saya Ir. Haji Kasim Muhamad kepada sahabat saya yang lain, Jimadie: “Sdr, Jimadie, selama ini saya agak yakin dgn ketelusan Malaykini. Rasanya rasa hormat saya kpd media tuan menurun dgn angka perarakan anti ppsmi pd 7 mac yg lalu. Msiakini memilih utk berbohong dgn angka sebenar. Msiakini hanya sbt 8 ribu. Ada pihak menyebut bahawa angkanya tdk kurang 150k. How come? Mana ketelusan. Msiakini jg seolah2 menyokong kaedah pendidikan yg jelas mau membodoh2kan anak2 bangsa yg miskin? Ppsmi is beyond the issue of “for or against English as a language.” It is abaout ensuring that the general masses are not deprived of the capability/ability to acquire the knowledge and skill needed in order to become trained citizens of the future. Apa guna berair petah cekap/berdebat dlm bahasa inggeris tapi otak tak ada isi? Berapa ramai parking attend yg fasih inggeris. Ada jg doctor yg tak pandai berpidato. Tpm kata gitu, bkn saya. Tgk ucapannya dlm pidato antarabangsa. Mohon faham isunya. Tak ada siapa dlm gmp yg nak buang bahasa inggeris ked lm longkang. Cina yg tak ada akar Mandarin takut pd bahasa ibunda. Bos2 u gitukah? Buta mandarin lantas benci@gerun dgn bahasa Ibunda, lalu puja bahasa Inggeris. Gitu? Tk. Harap2 saya salah. “(11 Mac, 2009 - 07:11:54pm)

Wednesday, March 11, 2009

Siapa lagi yang perlu dipercayai?

Selepas membaca dan menonton tv, ada seribu tanda tanya yang timbul. Ada akhbar yang melaporkan perhimpunan di Masjid Negara itu hanya dihadiri oleh lima ribu orang, ada yang melaporkan seribu orang, ada yang menulis beribu-ribu. Termasuk mengheret warga emas, kanak-kanak dan pelajar. Jadi siapakah lagi yang perlu dipercayakan apabila semua akhbar arus perdana dan tv membuat bohong. Belum belajar lagi dari peristiwa Permatang Pauh dan Kuala Terengganu agaknya? Rakyat muntah dan muak. Dato Hassan Ahmad sewaktu PC di Rumah PENA menyatakan yang hadir lebih 70 ribu. Itu bukan beliau yang kata, tetapi mengikut seorang profesor matematik yang berada di sana pada hari tersebut.

Hanya yang tak ada otak dan tak boleh berfikir sahaja yang menyoalkan kenapa selepas enam tahun. PENA telah menghantar memorandum sejak tahun 2002, dan lampirannya diterbitkan dalam buku Ucapan Dato’ Ahmad Sebi oleh PENA. Moga-moga Menteri Punai yang seekor ini akan diajar nanti. Lut, Saiful dan Arif – pedih mata tidak seabadinya Cinta!

Tuesday, March 10, 2009

Belasungkawa (i)

Saya menerima sms dan panggilan, Haji Muhammad Zubir Ali kembali berpulang pada pagi Jumaat lepas. 15 Januari lepas kami bersama di Malam Demimu Palastin. Dan terakhir, bulan lepas kami berjumpa di sebuah café bersama Dinsman kerana ada jemputan di persembahan di Kelantan. Selepas Jumaat saya ke masjid Seksyen 14, berpusing beberapa kali mencari masjid. Terlewat lima minit dan jenazahnya dibawa ke Bukit Kiara. Kami menuju ke sana, dan tersasar beberapa kali. Kami sampai ketika talkin sedang dibacakan.

Ketika nama dan suaranya berkumandang, saya baru menulis. Tetapi kebiasaannya, apabila berada di dunia yang sama, kita cepat akrab. Sebelumnya saya dijemput sebagai panel untuk pertandingan puisi di UM oleh Sdr Ramzi bersama T. Alias Taib (allahyarham) dan Shukri Abdullah. Kemudiannya setiap tahun (sudah 3 tahun) saya, Shukri dan Haji Zubir menjadi panel. Dan kami biasanya meminta beliau menjadi Ketua Panel.

Jumaat lepas, dia lebih disayangi. Sewaktu membuka album lama, saya temui dua keping fotonya. Fotonya pertama sedang memangku anakanda saya, Arief Afifi dan foto kedua, kami bertiga. Foto ini dirakam sewaktu beliau bermalam di rumah kami di Kuantan lebih 10 tahun lalu. Dia mengajak saya menziarahi makam guru-gurunya Ayahku Syed di Sungai Lembing, Kuantan dan Ayah Man di Pekan. Dan hari ini saya menziarahinya. Moga Allah SWT menempatkan rohnya bersama orang-orang yang salih.


































Belangsungkawa (2)

Kebenaran telah dikuburkan. Lidah dipotong bisu. Kebohongan berluluasa di angkasaraya. Hanya langit yang lembap oleh pohon awan dan tanah basah oleh gerimis tengah hari. Selebihnya, apalah yang ada pada kudrat para hamba rakyat, kecuali bermohon dan menadah tangan kepada Yang Maha Berkuasa. Kebohongan dan kekuasaan bermaharajalela. Benang yang basah tegakanlah kerana segalanya milikmu.

Diam-diam kubacakan taklin untukmu yang tidak pernah membaca masa depan.

Friday, March 6, 2009

KEMBARA KATA DI BALIK WARNA
Rahimidin Zahari

Sebenarnya tidak ada garis pemisah antara Siti Zainon Ismail sebagai penyair dan juga sebagai pelukis. Kedua bidang seni itu menyatu di dalam dirinya untuk melahirkan seorang manusia seniman. Maka berdamailah dunia dua jiwa itu di dalam satu jasad. Yang satu menumbuhkan akar kata dengan diimbangi oleh pohon suara. Manakala yang satu lagi sepercik puisi warna yang tumbuh dan membiak tanpa suara. Selebihnya kita pun membaca kata dan warna di sebalik dinding keindahan dan keinsanan. Semakin jauh menuju kata, semakin terselam akan dalamnya makna. Semakin taksub bermain warna, semakin asyiklah pula bersembunyi di balik siratannya. Terpulanglah sama ada kita berada di dalam kata dan huruf atau bersembunyi di balik warna.

Saya pun membawa diri ke dalam kembara kata di balik warna seorang Siti Zainon Ismail. Mencari arah mata ‘angin si pauh janggi’ yang berpupuk dan bertiup. Saya pun mencari ulu bani dan ilir bangsawan, mencari sinar naik dan sinar runduk. Mencari asal mula tempat bermulanya sekalian angin yang menemukan dengan rasa, negeri kalbu yang menyembunyikan seribu pintu. Siapakah yang menutup dan membuka pintu dan sekalian jendela hikmat dan jendela amanat? Laut hayat dalamnya tak terselam. Pulau jasad jauhnya juga tidak akan tergapai? Inderanya kata, inderanya rasa. Tusuk makna dan tersentuhlah kalbunya.

Sukalah saya untuk melihat dan memanggil angin. Dalam konteks kepercayaan dan amalan masyarakat saya, “angin” yang dimaksudkan itu bukanlah angin ribut atau pun angin taufan sebagaimana yang difahami dan boleh dilihat secara fizikal apabila ada fenomenanya. Bukan angin yang bertiup sehingga daunan pada pohon bergerak, daunan kelapa melambai. Bukan angin itu yang dimaksudkan dalam frasa ‘angin si pauh janggi’. Sebaliknya ‘angin’ itu adalah angin yang berkaitan dengan roh dan jiwa, yang bersangkutan dengan kalbu dan gerak hati.

Memandangkan pameran ini berkaitan ‘angin’, sukalah saya perturunkan sebuah mantera yang dinamakan “Mantera Pesenang Angin” yang penulis rakam daripada gurunya, Che Mat Jusoh (29 Jun, 2001). Versi penuh Mantera Pesenang Angin”:

He Sultan Megat Imam Melayu
Gunung berusul rasa berasal
Asal meletak mula menjadi
Mula terjeli mula tersurat
Hilang kepada kening
Timbul di masjid Rasul
Hilang di masjid Rasul
Timbul di surau ratna
Hilang di surau ratna
Timbul di wakaf Muhammad
Hilang di wakaf Muhammad
Timbul di teniat yang asal
Hilang di teniat yang asal
Lalu ditakluk oleh surat kitab
Dua kali tujuh hari
Dua kali tujuh malam.

Belum cukup bilang genap
Hari ke tujuh malam ke lapan
Lalu ditolakan tujuh sifat anggota satu
Alam dua belas martabat empat
Tanah air api angin.

He angin dulu menobat putih
Angin berkapan kuning
Berpucuk satu berdaun dua
Angin tujuh pengasuh dua belas ismu
Sang sarin bapa sekalian angin
Sua sarin ibu sekalian angin
Angin sah na’tib bertimbang na’ta
Angin hidup tiada mati
Angin sekapit sebiji lenga
Pacawaba angin pacawanu angin
Angin idram, idram Raja
Angin ikhpa, ikhpa Raja
Angin duduk menakluk

Tanah sekepal lembaga Adam
Tiada sifat tiada sapan
Tiada gerah tiada celaka
Tiada sakit tiada demam
Tiada tulah tiada apa.
Mu ingat baris yang asal
Petak yang mula
Baris yang tak ghaib
Petak yang tak hilang.

He angin hitam pasak mula
Angin putih saudara yang awal
Angin merah menunggu jalan
Angin salahabat menyusur kulit
Angin jangan bertiup kencang
Angin jangan panas hangat
Air jangan sejuk dingin
Tanah jangan lemah-lembut.

Senang mengadap Siti Putih Malim Raja Angin
He Cik Siti Putih manik berembun angin
Angin ayah timangan bonda
Angin pesaka titih bertitih
Turun temurun angkit berjangkit
Angin terjeli di dalam buih
Angin duduk di dalam syurga
Jannatulnaim.

Tanah jangan remuk redam
Air jangan pasang surut
Api jangan panas hangat
Angin jangan sua sarin
Babuk bingung gila sepera
Hulu tak jaga hilir tak sedar
Melayah gunung melenggang padang
Petak anjung tikam istana.

Senang mengadap Raja Bangsawan
Bangsawan Raja
Raja Idram, Idram Raja
Raja Maha Adil

“Mantera Pesenang Angin” ini ada kaitannya dengan “Angin Dua Belas” yang disebutkan sebagai “dua belas baso”, “dua belas ragam”. Angin pertama dikaitkan dengan semua bentuk kesenian tradisi di negeri Kelantan dengan wayang kulit, makyung, silat, main pateri, bagih, dikir barat, main kertuk, rebana ubi, dikir laba, rebana kercing, tari inai dan segala macam bentuk kesenian, semuanya dikaitkan dengan konsep angin jenis ini. Kalau tak ada angin, maka pemainannya tidak menjadi. Oleh orang yang melihatnya akan mengatakan, “ah, lewesnya”, “cap ayam” atau “bolehlah belan-belan dok saja”.

Angin kedua melibatkan angin keturunan yang berkaitan dari satu generasi kepada generasi yang lebih muda atau generasi kemudian. Dalang Wayang Kulit, Bomoh, Dukun, Bidan, Tukang Urut dalam tradisi masyarakat Kelantan dikaitkan dengan angin jenis ini. Umpamanya seorang yang mewarisi bakat sebagai “dalang asal dan dalang susul” adalah berkaitan dengan keturunan. Ini membawa erti bahawa titihan asal keturunan seseorang dalang itu berasal daripada nenek moyangnya sejak beberapa generasi sebelumnya. Begitu juga dengan “bidan yang ketujuh”. Mereka memiliki ilmu secara diwarisi.

Ini berbeza pula dengan jenis angin yang ketiga, yang dikenali sebagai “angin saka”. Angin Saka adalah sejenis pusaka nenek moyang yang diwarisi kepada anak cucu melalui perantaraan makhluk halus seperti jin, pelesit, polong, hantu raya, hala dan pelbagai bentuk sebutan mengikut daerah dan tempat. Makhluk halus ini dikatakan akan menjadi pendamping kepada anak atau saudara mara daripada pewarisnya yang terdekat. Pewaris akan didampingi sepanjang hidupnya, sehingga penanggungnya bertemu dengan pakar yang boleh memisahkannya.

Kembalilah diri ke dunia panggung dan dunia kelir. Merenung masa lalu dan melihat masa depan. Dari ‘pusat tasik pauh janggi’ tempat berpusar lagi jauh ke tengah segara. Tasiknya bukan di daratan bandar, tetapi pusar yang paling tengah dan paling dalam. Siapa terjatuh atau tergelincir, tersuruplah ia ke dalam pusar. Tempat menanti segala mara bahaya. Tempat duduk menantinya Nenek Sepit Pentala Naga di Laut Buih Gelombang Tujuh. Kalau si lemah yang sampai, maka hilang ghaiblah ia di mulut Raja Naga yang maha bisa. Tetapi kalau si kebal malim megah malim perkasa, dia berdiri di atas singa juang siap siaga. Tiada seurat bulu roma celakanya hangus terbakar, tiada seurat rambut hitam lebatnya gugur bertabur.

Dalam Makyung dan dalam Wayang Kulit Kelantan ada kaitan dengan Nenek Sepit Petala Naga. Dalam Makyung Endeng Tajali umpamanya apabila Raja Besar meninggal, maka Raja negeri dipangku oleh anaknya Raja Sulung. Namun Raja Tengah dan Raja Bongsu berasakan diri mereka juga berhak menjadi raja. Mereka tiga beradik pun berhuda tenaga (bertarung) untuk mendapatkan hak. Raja Sulung menang dan menjadi Raja, manakala yang kalah lari membawa diri ke hutan alas yang muda, dan ke laut buih gelombang tujuh. Raja Tengah bertukar menjadi Nenek Sepit Pentala Naga dan Raja Bongsu menjadi Jin Gergasi yang menghuru-harakan negeri. Munculnya Endeng Tajali yang bertahun-tahun dipasung di bawah jagaan Nenek Kebayan menyelesaikan cerita dan sengketa. Raja Sulung hilang ghaib, lalu Endeng Tajali pun ditabalkan menjadi Raja Besar Sang Nyanyor.

Berbeza dengan versi Nenek Sepit Pentala Naga dalam Wayang Kulit Kelantan. Nenek Sepit Pentala Naga adalah Raja di Negeri Lautan Buih yang mempunyai keseorang tuan puteri yang cantik jelita, yang dinamakan Tuan Puteri Ikan Selar Banum. Dalam cerita Wayang Kulit Kelantan, Nenek Sepit Pentala Naga ini menjadi besan kepada Seri Rama apabila Hanuman Kera Putih berkahwin dengan Tuan Puteri Ikan Selar Banum dan memperolehi seorang anak yang bernama Hanuman Ikan.

Apabila saya mengambil petikan latar dari panggung dan kelir, tentunya akan ada pertanyaan, apakah kaitannya Siti Zainon Ismail, sang penyair dan pelukis dengan Makyung dan Wayang Kulit? Kaitan dan silang pertindihannya amat banyak. Pameran ini sendiri adalah merujuk kepada dua genre teater tradisi tersebut. Kembara masa kecil Siti Zainon dari Kampung Paya menaiki keretapi, dan singgah mengaji Quran, bersimpuh di depan rehal Tuan Guru Haji Mohamed, ayahndanya almarhum Ustaz Abdullah Nakula antara Dusun Muda dan Makam Langgar. Wayang Kulit pun bertabuh dan gesekan rebab pun berbisik. Fizik dan geografi kedua tempat itu pun telah berubah dan terus berubah. Kampung Paya menjadi Bandar Dalam, dan Langgar juga kehilangan dusun ditumbuhi hotel dan supermarket.

Dan Siti Zainon pun merintih dalam puisi dan lukisannya. Dalam puisinya “Senja di Pelabuhan” (Puisi Putih Sang Kekasih, 1984: 40) Siti Zainon menulis:

akulah bidadari laut
mengurai rambut basah lembut
sambil
menjalin bicara senja
kaukah
melengkap sabda senja
kaukah
melengkungi sutera jingga
yang tak tergapai itu
adalah keinginan
rahsia sutera termahal
berhimpun

seperti muatan kapal yang tak pernah sarat
sedang pelabuhan kehilangan kelasi.

Pastinya ‘bidadari laut’ itu akan segera mengingatkan saya kepada Tuan Puteri Ikan Selar Banum, puterinya Nenek Sepit Pentala Naga yang ditinggalkan Hanuman di Laut Tujuh Gelombang Buih, Pusat Tasik Pauh Janggi. Tetapi Sang Hanuman sebagaimana di dalam cerita wayang adalah lelaki gagah perkasa yang selalu keluar bertarung dari satu negeri ke negeri yang lain. Kemudian bertapa dari satu gunung ke satu gunung sehinggalah di kaki-kaki awan di Nenggora Kekayangan. Anak-anaknya dibiarkan membesar di bawah jagaan ibu mereka masing-masing. Kelak setelah dewasa anak-anak itulah yang keluar mencari bapanya Sang Hanuman. Dan pertemuan seorang anak dengan bapa kebiasaannya bukan di dalam keadaan penuh kasih mesra, kerana akan berlaku peperangan dan pertarungan demi pertarungan. Apabila masing-masing tiada yang kalah, maka keduanya akan meriwayatkan keturunan mereka. Ketika itulah diketahui bahawa mereka adalah anak dan bapa. Dan sudah pastilah dalam wayang, “bidadari laut” selamanya akan menjadi isteri yang setia, membesarkan anak dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab.

Sebagaimana membaca sebuah hikayat lama, saya singgah di pinggir-pinggir alas untuk melihat “Hikayat Beringin Tenggarung”, “Beringin” dan “Zikir Beringin”. Di luar tradisi Wayang Kulit, pohon beringin dikenali dengan nama saintifiknya sebagai ‘ficus benjamina ilnn’ dan digolongkan dalam keluarga ‘Moraceae’. Poko ini juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti ara, weringin, jawi-jawi, jejawi dan kelat sega. Terdapat banyak lagi spesis yang tergolong dalam ‘genus ficus’ di Malaysia tetapi hanya ‘ficus benjamina’ sahaja yang dirujuk sebagai beringin. (Ensiklipedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1994: 456).

Beringin mempunyai beberapa mitos yang tersendiri di dalam kehidupan masyarakat Melayu. Kebiasaannya beringin tidak ditanam di kawasan rumah kerana dipercayai pohon yang mempunyai banyak akar udara yang berjuntai turun dari dahannya itu mempunyai penunggu. Di akarnya itulah tempat bergantungan segala jenis makhluk seperti pari-pari dan langsuir. (Yasok Umat, 2001). Manakala dalam perubatan tradisi Melayu pula, akar udara beringin yang telah dijampi akan diletakkan di bawah tilam pasangan suami isteri yang mandul dan ingin mendapatkan cahaya mata. Lebih jauh daripada itu, mitos Melayu amat mempercayai bahawa bayangan pada permukaan bulan mengambang sebagai Nenek Kebayan yang terbongkok di bawah teduhan beringin songsang. (Dollah Baju Merah, 2001).

Dalam tradisi wayang, pohon beringin dikenali juga dengan nama lain seperti pohon hayat dan pohon syurga dalam Wayang Kulit Kelantan. Manakala dalam Wayang Kulit Purwa ia dikenal sebagai kekayon atau juga gunungan. Reka corak yang terdapat dalam pohon beringin diangkat dari alam semulajadi yang mengandungi beberapa unsur penting seperti daun, sulur, bunga-bunga dan juga unggas. Begitu juga dengan haiwan seperti burung, ular naga, harimau, kancil dengan pilihan warna terang, cerah dan berkilau keemas-emasan. Pemilihan hiasan daripada alam dan kehidupan ini memberikan makna yang tersendiri di dalam persembahan Wayang Kulit.

‘Hikayat Beringin Tenggarung’ ‘Beringin’ dan ‘Zikir Beringin’ adalah tranformasi pohon beringin dalam tradisi Wayang Kulit ke dalam catan. Dan sudah tentunya antara pohon beringin dalam Wayang Kulit dengan siri beringin dalam catan adalah sama sekali berbeza. Tugas seorang pelukis memberikan tafsiran baru kepada subjek yang berada di hadapannya. Terpulanglah pula kepada khalayak yang menghayatinya untuk memberikan tafsiran yang lain lagi. Dalam ‘Hikayat Beringin Tenggarung’ saya berdepan dengan hutan beringin biru lembut yang berlapis-lapis dengan lapan garis yang memisahkan antara satu lapis dengan lapisan yang lain. Lapis di bawah bumi dengan segala jenis ikan dan kehidupan makhluk di sungai dan laut. Kehidupan di alam tersebut dibezakan pula dengan makhluk yang hidup di daratan.

Memang ‘Hikayat Beringin Tenggarung’ bercerita mengenai kehidupan masa lampau dan masa depan. Sebuah dunia impian yang dibina sang seniman, apakah akan kekal sebuah kelestrian kehidupan dan keindahan alam ciptaan Tuhan? Siti Zainon memberikan pertanyaan. Dan pertanyaan itu harus dijawab oleh semua orang. Pemimpin tertinggi negara, orang politk, pakar ekonomi, pentadbir budaya dan sesiapa sahaja dari makhluk yang bernafas yang berasakan bahawa alam ini adalah milik semua. Apakah segala itu hanya akan kekal tinggal di dalam hikayat semata-mata? Maka sekalian keindahan dari flora dan fauna kita musnah sedikit demi sedikit kerana beralasan kemajuan dan kemodenan. Maka pohon beringin kita yang merimbun dan berdahan, dibiarkan terpangkas dan dibongkar sehingga ke akar umbinya.

Hilang dan pupus nilai budaya yang menjadi akal budi budaya bangsa, maka akhirnya apakah yang akan tinggal pada bangsa tersebut? Kemajuan dan kemodenan? Kekayaan dan empayar ekonomi? Sedang sekalian nilai murni kita kuburkan ke dalam kerakusan globalisasi. Lalu tampil dengan tempikan bangga meninggi, bahawa diri ini telah menjadi manusia global yang hilang akal tradisi? Itu semuanya pun bukanlah sesuatu yang nisbi dan akan kekal abadi. Maka bersedih abadilah dua ekor burung bangau di dalam ‘Beringin’ dengan matahari yang sebam di balik awan.

Apakah daya, apakah upaya. Seniman bersinis menyindir dengan seni dan falsafah. Tetapi sang tiran tetap bebal dan pekak, maka biarkanlah si luncai terjun dengan labu-labunya. Dan sang tiran pun dengan herot wajah, dan tempang kaki, dan lumpuh sebelah tangannya yang memegang uncang di tampuk kuasa. Bahasa ibundanya pun roboh dengan lapis alas yang bermuka-muka. Lidah bangsanya dikerat-kerat. Di manakah letaknya maruah sang tiran yang mabuk kuasa bertopeng renta?

Apabila suara telah tiada, yang tinggal hanya kata bisu yang tidak lagi bergema. Hanya mujur Sang Pencipta memberikan hati dan rasa. Maka marilah kita sama-sama berdiam untuk memberikan ‘Zikir Beringin’ jauh-jauh di dalam kalbu dan nurani. Hanya Dia Yang Maha Mendengar akan kita, hamba-Nya yang tunduk pasrah dan menadahkan tawaduknya hati. Kembara diteruskan, sama ada dari dalam dan luar diri untuk menemukan dengan zikir abadi. Siapakah yang mendengarkan ratap dan tangis kita?

Saya memilih puisi ‘dusun’ yang ditulis penyair dalam jarak waktu yang berbeza dengan ketiga-tiga catan siri ‘beringin’ ini, tetapi mempunyai kaitan dan hubungan yang amat rapat sekali. Dalam puisi “Dusun” (Kau Nyalakan Lilin, 1990: 57) ditulisnya

Biarlah jendela terbuka
hiruplah
aroma taman
dusun kita
lebat buahnya
merah manggis
kuning langsat
harum serai
wangi pandan,
tempat serindit di ranting cempaka
kedidi mengais pasir di tepi kolam
pakis berkeluk muda
melengkap jerih bermusim lama.

Antara puisi ‘Dusun’ dengan catan ‘Hikayat Beringin Tenggarung’, ‘Beringin’ dan ‘Zikir Beringin’ adalah karya seniman berbicara persoalan yang sama, tetapi dibezakan oleh mediumnya. Dan ‘dusun’ itu memang dusun kita masa lampau, tumbuh kekal abadi dalam nostalgia. Dusun ditanam dan disiram tangan seniman, tetapi diganti besi betong oleh sang pemabuk kuasa. Ahai, indahnya alam hidup dengan membiarkan jendela terbuka, dan kita pun menghirup aroma dari taman dusun kita!

Kembara memasuki ke ‘Rimba Pauh Janggi’, ‘Kembang Malam Si Pauh Janggi’, dan ‘Hujan Mas Pauh Janggi’. Apakah yang ada di sana kalaulah bukannya tentang akal tradisi silam dan tingginya nilai budaya yang terdera? Kini menjadi nostalgia yang terbina kehebatan silam itu di dalam angan dan manis impian.

‘Rimba Pauh Janggi’ memberikan tiga gending penari gamelan Melayu tersusun dan tersangkut di celah rimba. Ke manakah pergi para penari yang cantik jelita. Terkenanglah kita kepada Mak Nang yang menghabiskan sisa usia, memperturunkan gerak dan tari. Ke manakah menghilangnya segala gerak, ‘susun sembah sulur bayur’, ‘simpuh katak melayah’ , ‘campak lenggang’, ‘campak lenggang melemak’ dan pelbagai istilah dan gerak dalam tari Gamelan? Yang tinggal hanya lagu-lagu yang semakin menghilang dan sesekali munculnya di dalam majlis rasmi. Segala alun lagu dan indahnya tari hilang lenyap sudah dibawa angin taufan?.

’Kembang Malam Si Pauh Janggi’ denga rimba hijau tebal di garis bawah, di sempadani kepak-kepak awan dan huruf tersusun. Kenapakah kembangnya di waktu malam, bukannya pagi atau sewaktu menjelang maghrib? Dan sang unggas apa yang kau cari dari kelopak ‘Kembang Malam Si Pauh Janggi’?

Memang emaslah yang dicari orang. Kalau bongkah batu buat apa, ia disimpan. ‘Hujan Mas Pauh Janggi’ memang khazanah laut dan gunung-ganang bumimu memberikan emas kehidupan. Hanya tinggal lagi usaha dan ketekenunan. Siapa yang malas, dia pastinya kandas. Dan yang tekun dan rajin, akan mengaut untung segunung intan. Dokoh emas bertatah permata lambang khazanah warisan bangsa. Hai, rama-rama emas cantik ke mana ingin kau terbang? Ke balik awan mengimbang matahari halia. Teringat saya, indah kias Cikgu Noordin Hasan, “Jangan Bunuh Rama-rama”.

‘Rumah Kita Di Rawa-rawa’ kerana datuk nenek kita yang membuka sekalian hutan rimba untuk membina keluarga bahagia. Aksara jawi disusun diajar kerana dari situlah asalnya kita mengenal Yang Esa. Kenal huruf kenallah aksara. Dengan aksara diejanya alif, ba dan ta. Sabdu di atas, titiknya di bawah. Harakat dan lafaz, kenallah diri akan Kalam Allah. Memang pun datuk nenek kita mengenal diri, mengenal tanah sejuk yang sesuai untuk dibina kampung dan dusun, yang akhirnya menjadi negeri. Setelah kampung dibina, keluarga berkembang, apakah hendak dibiarkan sesiapa sahaja datang menjarah sesukanya? Hukum apa yang ingin dipakai? Kalau di rimba, sudah tentulah pak belang yang maha kuasa. Kalau di kota, siapakah yang angkuhnya mendabik dada? Bangsaku tersempit dan terhimpit. Damai tenteram angin sentosa, bertukar panas hangat membakar dada. Memang sudahnya, rumah kita di rawa-rawa? Siapa menangis dan siapa yang ketawa?

‘Kenangan Makyung – Zikir Primadona’, dan siri ‘Kenangan Makyung’ apakah nostalgia yang semakin terhakis?. Tari yang sumbang, langkah yang songsang? Gendang yang pecah dan rebab yang terputus talinya? Dan barangkali wajar saya padankan siri ini dengan puisi ‘Pasar Seni’ (Daun-Daun Muda, 1986:48) apabila pelukis dan penyair menuliskan:


Tak muncul
lagu sendayung
tali rebab putus
pelukis berpeluh
di luar gerbang.

Tukang emas
memain gendang.

Begitukah lara dan tak tersusunnya hidup seniman di “pasar seni”? Lagu sedayung adalah lagu penting dalam Makyung, apakah tak boleh lagi dinyanyikan kerana tali rebab telah terputus? Pelukis dan penyair menanyakan kembali sejauh mana pedulinya kita kepada semua bentuk tradisi tersebut? Atau hanya sekadar pemanis kata di bibir sahaja? Apabila ‘tukang emas/memain gendang’, apakah kesudahan dengan bunyi gendang tersebut? Tukang emas itu penguasa yang kaya raya, yang menentukan segala kuasa dan meletak kerja. Bolehkah tukang emas memain gendang? Atau kalau boleh, semahir pengendang asal bermain atau hanya sekadar ikut-ikutan? Hak sesuatu benda dan perkara itu berikan kepada yang empunya. Jangan mengaku pandai kalaulah kita si pandir yang tidak pandai!

Biarlah pecah tari memanggil penonton sambil bersimpuh ‘liuk lintuk terkulai balai’ sebagaimana ‘gajah melambung belalai’, ‘sulung bermain angin’, lalu melingkar sebagaimana ‘sawa mengorak lingkaran’. ‘Buka Tari’ bukan dengan sebarang buka, tetapi dibuka dengan jampi mantera oleh perimadona pujaan:

Ribu-ribu kanan jalan
Anak naga melintas tasik
Berapa ribu makhluk berjalan
Aku juga dipandang cantik.

Terkena tiupan angin jampi mantera di celah jari-jemari itulah, adik kakak yang datangnya dari jauh dan dekat, akan masuk bersila semakin rapat. Nyanyiannya serasa berkenan di hati, suara merdu menusuk dan mengulit. Rebab berbisik, gendang bertingkah, tong dipalu semuanya menyatu dan seru pun melekat jauh di dalam kalbu.

Hamba terjaga dari tidur lena di ‘Malam Emas Bukit Seguntang’ mencari si cantik jelita dua bersaudara, Wan Empok dan Wan Malini namanya. Padinya telah berbuahkan menjadi emas, berdaunkan suasa dan berbatangkan perak. Semuanya tertumpu ke puncak emas penuh dengan kilau-kilau cahaya, mencari bahagia dan mencari reda. Pahit hempedu, dan manisnya madu dikongsi bersama. Sayangnya, malam emas hanya semalaman saja kerana esok hari akan bertukar siang. Emas warisan pusaka zaman berzaman, terbiar lalu dipugar orang, sayang Seguntang, yang tinggalnya apa? Damai abadi yang kucari, apakah masih ada di puncak Seguntang? Ah, padi yang kutanam, dimakan pagar rupa-rupanya.

‘Jentayu Kesumba’ kau bawalah lukaku untuk kau terbangkan bersama dukamu wahai jentayu. Terbanglah kau ‘Jentayu Terbang ke Awan Biru’ apabila sudah tiada pohon, bukit dan bumi indah untuk kau singgah. Dengan mata kuyu basah, dan sayap berdarah, kau carilah dunia baru. Nanti kau boleh hinggap di pohon-pohon awam yang tumbuh di Nenggora Kekayangan. Akulah burung itu yang membuka rahsia kepada Seri Rama apabila terserempak Rawana sedang melarikan Siti Dewi. Dan Rawanalah, lelaki jahat itu yang telah mematahkan sayapku. Namun, berpantang ajal sebelum maut, patah sayap, bertongkat paruh, pastikan hajatku akan kesampaian juga.

Membaca saya ‘Wasiat Pakma Kembang Berdentum’ bunga warisan berabad tumbuhnya. Bunga khasiat yang dicari dukun mengubat penyakit antara gunung ke gunung, kerana pakma tidak tumbuh di paya dan lembah. Dua kuntum pakma tumbuh dan berkembang di rimba raya dengan sepasang unggas putih setia bercanda. Khasiat apa yang akan diberikan pakma sehingga sanggup meredah belantara, duri dan onak tidak terkira? Unggas putih, kesucian apa yang kau cari antara kembang pakma di tengah rimba? Segala zat segala sifat, tentunya penawar dari alam yang akan mengembalikan makrifat. Hanya yang tahu akan kenal arti. Yang pekak dan bisu sejak dulu tercari-cari. Pakma berkembang dan terus berkembang, jangan berhiba unggasku, kalau rimbamu tiba-tiba tertebas menjadi kota. Seperti dalam mantera lama empunya kata (Abdul Wahab Othman, 2008):

Bunga kasairing
Bunga kasaerung
Kembang jisim
Kembang jirim
Kembang pagi
Menjadi payung
Kuncup petang
Menjadi jarum.

Bunga tujuh kelopak
Di tangan tuan puteri
Kelopak pertama
Cempaka wilis
Keluar dari
Tapak tangan
Naga Bota
....
Penuh mistik dan hebat ungkapan Melayu. Segala petitih segala petua, segala jampi dan segala mantera. Tetapi sayangnya, cucu cicitmu selepas ini akan menjadi apa? Itu pertanyaan saya. Dan pertanyaan itulah juga yang menyebabkan Si Siti Kecil menulis, melukis dan menerbitkan nostalgia Kasih Bonda Kampung Paya Kami (DBP:2008).

Cik Siti Wan Kembang, Raja perempuan yang memerintah Kelantan, dan Puteri Saadong, anak angkatnya demi keselamatan rakyat dan negeri merelakan diri ke tanah Siam. Lagenda itu tidak pernah padam. Dan Siti Zainon menjelmakan semula keindahan busana Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong. Teringat saya, puisi Moechtar Awang yang berjudul ‘Potret Kecil Puteri Saadong’ (DBP, 1985:42)

Wan Kembang menatang Saadong
nyamuk seekor dihalau, semut sepuak dikejar
wajah Saadong memancut sinar
rambutnya kepak gagak, ikalnya luruh kepinggang
punggungnya kembang teratai, sekilas tarian ombak
keningnya rongga mulut gua, sesat berjuta ulat

Saadong diajar berhias, mendandan gerak
kain berkemban dililit rapi, terbayang sinar kulit
dadanya lengkung pelangi, tujuh warna terpancar ke langit
tujuh pemacak sanggul terhunjam ke kepala
terkepit sayap rama-rama
sekuntum mawar menguntum di sanggul, mabuk berjuta lebah

Kembara Kata Ke Balik Warna adalah kembara kata dan kembara warna Siti Zainon Ismail di dalam dunia seni tampak yang dipilihnya. Penuh dengan buakan emosi, memori, dan nostalgik. Dia dengan santun memberikan warna-warni keindahan masa lalu tersebut. Terpulanglah kepada semua, apakah tradisi itu ingin dipadamkan atau akan ada penerusnya. Tetapi Siti Zainon penuh jujur merakamkan rasa sayang dan rasa rindunya yang amat sangat kepada masa lalu itu. Kitalah yang akan menjadi alibi sejarah terhadap segala bentuk kemusnahan dan ketidakpedulian bangsa sendiri kepada khazanah warisan milik nenek moyangnya.

Bacaan

Rahimidin Zahari, 2007. Jampi Mantera Melayu (manuskrip yang belum diterbitkan).

Moechtar Awang, 1985. Qaf, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Siti Zainon Ismail, 1984. Puisi Putih Sang Kekasih, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Siti Zainon Ismail, 1990. Kau Nyalakan Lilin, Bangi: Galeri Melora.

Siti Zainon Ismail, 1986. Daun-Daun Muda, Kuala Lumpur: Media Intelek.

Siti Zainon Ismail, 2008. Kasih Bonda Kampung Paya Kami, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.






Tuesday, March 3, 2009

Orang Ternama

Si Bejat berkuasa di pulau yang dijaganya. Tiba-tiba sepasang Orang Ternama sampai kerana ingin membuang hajat kecil dan hajat besar. Pulau tempat Si Bejat tinggal hanya sebuah pulau kecil sekitar 300 orang penduduk. Mereka makan, mandi, minum dan untuk cebok hanya mengharapkan air hujan. Di rumah Si Bejat hanya ada setempayan air untuk keperluan dirinya. Kerana hormatkan sepasang Orang Ternama, Si Bejat menyuakan setempayan air itu untuk hajat kecil dan hajat besar Orang Ternama. Orang Ternama pulang selepas melepaskan hajat kecil dan besar dengan puas tanpa sempat mengucapkan terima kasih. Si Bejat memang bejat.

Mahalnya

Sebilah tikar mengkuang di kampung kami sekitar RM20 atau RM30. Bahkan saya pernah dihadiahkan tikar mengkuang yang cantik oleh nenek kawan saya di Kg. Lubuk Pukul. Kemudiannya sewaktu membuat rakaman Lagu Indong di Ulu Tembeling, saya juga pernah dihadiahkan tikar mengkuang. Satu petang jernih beberapa hari lepas saya dibawa ke sebuah kampung di Semporna untuk melihat tikar mengkuang. Mula-mula, kawan saya tanya berapa harganya. Mak cik tersebut menunjukkan tujuh jarinya. Kawan saya tak puas hati dan bertanya lagi. RM 700! Amboi mahalnya dalam hati saya. Besoknya, kami ke Kampung Air, dengan bidang dan corak yang sama hanya baru RM70. Apabila kami tawar, kami diberikan RM50.

Nakhoda

Saya teringin untuk membeli model Lepa-lepa di Semporna, tetapi tak jadi kerana saya pernah ada model tersebut. Lepa-lepa itu dihadiahkan oleh seorang kawan lebih 16 tahun yang lalu. Saya masuk ke stor rumah saya dan mula mencarinya. Memang ada, dilitup oleh bungkusan yang cantik. Saya membuka penutupnya, berangan-angan untuk meletakkan seorang nakhoda di dalamnya. Bolehkah nokhoda pilihan saya itu mengemudikan Lepa-lepa ke laut luas. Entahnya, antara percaya dan tidak. Kalau berdarah Panglima dan Datu-Datu tentulah nakhoda pilihan saya akan kenal benar arah angin dan ribut yang bakal mendurja.

Selepas Mati

Semua orang akan mati. Selepas mati, kita menuliskan obituary atau belasungkawa yang muluk-muluk memujinya. Segala budi dan jasanya dalam bidang keterlibatannya pun kita jejerkan. Seperti “langit menangis terbelah dua kerana kehilangan seniman agung.” Tetapi semasa hayatnya kita terlupa. Terlupa. Bahkan pernah berkali-kali kita meludahi mukanya.

Dzulkifli Buyong (1948- 2004)














He was a self-taught artist and was acknowledged as a child prodigy when he produced some of his famous paintings at a very young age. At the age of 16, Dzulkifli, had already won numerous awards including gold medals from the then Raja Permaisuri Agong, Tengku Budriah Tengku Ismail and Prime Minister Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj "For the best overall entry" during the "Young Artists' competition." When he was 17 he won third placing in the National Poster Drawing contest. He was a familiar figure in the VI Art Room (now the School Museum) and there was a mural on the wall many years ago that was attributed to him.















Panorama Kuala Lumpur, 1981
Arkilik on board
44x69cm
Signed on the lower right.